19 July 2013

Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menawarkan pemeriksaan sukarela secara percuma kepada pemilik kenderaan persendirian sempena Aidilfitri mulai 22 Julai hingga 7 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammed Shukor Ismail berkata pemeriksaan secara percuma itu merangkumi pengesahan identiti kenderaan, ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, suspensi dan ketelusan cermin yang akan dijalankan oleh pemeriksa kenderaan Puspakom yang bertauliah.


"Pemeriksaan kenderaan secara percuma ini merupakan antara tanggungjawab korporat Puspakom dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan kenderaan semasa musim perayaan.

"Lebih daripada 150 orang pelanggan bertuah akan dipilih dan berpeluang untuk menerima hadiah saguhati yang disediakan oleh Puspakom," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, pelanggan boleh menjalani pemeriksaan percuma itu di semua cawangan Puspakom seluruh negara yang dibuka Isnin hingga Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

"Bagi cawangan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Puspakom dibuka dari Ahad hingga Khamis mulai 8 pagi hingga 5.30 petang manakala Sabtu dari 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

Pelanggan hanya perlu menghubungi cawangan yang ingin dikunjungi terlebih dahulu seterusnya pelanggan akan diberi satu waktu pemeriksaan yang spesifik.

Selain itu, Mohammed Shukor berkata pelanggan juga boleh mendapatkan pemeriksaan percuma yang disediakan oleh perkhidmatan Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom iaitu pada 29 Julai dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di Plus R&R Seremban (arah selatan) dan 30 Julai dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di Plus R&R Dengkil (arah utara).

Untuk sebarang pertanyaan lanjut pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau melayari laman sesawang Puspakom di www.puspakom.com.my. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads