29 July 2010

Argentina gugurkan Maradona


BUENOS AIRES – Karier Diego Maradona sebagai jurulatih Argentina berakhir awal pagi semalam.Kontraknya tidak disambung dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) membuat keputusan mengejut untuk tidak memperbaharuinya.
Masa depan Maradona sememangnya dilihat terumbang-ambing selepas Argentina dibelasah 4-0 oleh Jerman pada pusingan suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, kurang dua tahun selepas dia menggalas tugas tersebut.

“Kami tidak memperbaharui kontrak barisan kejurulatihan di bawah Maradona dalam skuad kebangsaan. Kami rasa tiada keperluan untuk berbuat demikian,” kata Presiden AFA, Julio Grondona.

Jurucakap AFA turut mendedahkan bahawa terdapat perbezaan pendapat di antara mereka dan juga Maradona yang pernah menjadi kapten skuad negara itu ketika menjulang Piala Dunia 1986.

Pada Piala Dunia 2010, Argentina tersingkir awal daripada jangkaan tetapi Maradona tetap diberi sambutan umpama wira apabila skuad negara itu kembali dari Afrika Selatan dan Presiden Argentina, Cristina Fernandez turut memintanya kekal sebagai jurulatih.

Pada Ahad lalu, Maradona memberitahu bahawa dia akan terus berkhidmat sekiranya barisan kejurulatihan yang dipilihnya sebelum ini turut dikekalkan AFA.

Dengan ketiadaan Maradona, selepas ini Argentina perlu mencari jurulatih baru bagi mengendalikan pasukan itu ke saingan Copa Amerika 2011.

Media tempatan Argentina melaporkan bahawa bekas jurulatih Boca Juniors, Carlos Bianchi disebut-sebut sebagai calon popular menggantikan tempat Maradona itu. Nama lain yang turut dikaitkan sebagai calon jurulatih baru Argentina termasuklah jurulatih Estudiantes, Alex Sabella, bekas jurulatih Independiente, Americo Gallego, bekas jurulatih Argentina, Marcelo Bielsa serta bekas penyerang River Plate, Inter Milan dan Argentina, Ramon Diaz sementara jurulatih skuad remaja Argentian, Sergio Batista bakal menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan. – Sumber Reuters

Peniaga ikan rentung kereta dirempuh lori










KEADAAN kereta Mohd. Zahazeri yang hangus dalam kemalangan di Kampung Pak Mayong, Tok Bali, Pasir Puteh semalam.

PASIR PUTEH - Seorang peniaga ikan rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di Kampung Pak Mayong, Tok Bali di sini semalam.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, mangsa, Mohd. Zahazeri Mat Yaman, 28, yang memandu berseorangan rentung selepas terperangkap dalam kereta yang terbakar pada pukul 5 pagi.

Menurut beliau, kemalangan itu berlaku ketika mangsa yang tinggal di Kampung Kuala Semarak di sini dalam perjalanan mengambil ikan di Kampung Mayong untuk dijual di Pasar Basah Tok Bali.

Katanya, seramai sembilan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

"Anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengumpil pintu kereta yang hangus itu untuk mengeluarkan mayat mangsa yang rentung," katanya di sini semalam.

Mohd. Zahazeri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa, Wan Manziana Wan Mamat, 26, pengsan apabila melihat mayat suaminya yang rentung dikeluarkan dari kereta tersebut.

Sumber akhbar Kosmo!

Pelaburan auta syarikat MLM


sebahagian daripada 18 buah kereta mewah yang dirampas daripada 59 individu di Subang Jaya semalam.

KUALA LUMPUR - Keghairahan golongan muda yang ingin mendapatkan keuntungan cara mudah melalui satu skim jualan langsung (MLM) dengan cara mencari orang bawahan yang mampu melabur sehingga RM41,000 musnah apabila mendapati mereka sebenarnya ditipu.
Modus operandi sindiket tersebut ialah dengan mengedarkan risalah di sekitar kawasan perniagaan dan perumahan di Subang Jaya. Risalah tersebut mengandungi kata-kata manis untuk mengecap kekayaan dengan usaha yang minimum.

Anggota-anggota sindiket itu pula akan menggunakan kereta-kereta mewah seperti BMW pelbagai siri, Mercedes Benz, Toyota Aplhard dan Nissan Fairlady setiap kali hadir menyampaikan ceramah di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Difahamkan, kesemua kereta itu didaftarkan dengan digit nombor yang sama bagi meyakinkan orang ramai.

Mangsa-mangsa dikehendaki membayar antara RM10,000 dan RM41,000 mengikut pakej yang ditetapkan dan perlu mencari orang bawahan bagi melayakkan mereka menerima imbuhan iaitu sebanyak RM2,500 dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, kegiatan penipuan sindiket yang beroperasi di Subang Jaya sejak dua tahun lalu itu terbongkar apabila seramai 59 ahli sindiket termasuk sembilan wanita ditahan selepas polis menerima tiga laporan daripada mangsanya yang terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Serbuan pada pukul 10 malam kelmarin di dua buah restoran di kawasan Mentari Court Subang Jaya itu dilakukan ketika ahli sindiket berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an itu sedang leka mengadakan ceramah.

Difahamkan, ketika serbuan terdapat lebih 30 pengunjung berada di situ.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa (gambar) berkata, selain pulangan wang, sindiket itu juga menawarkan hadiah berupa barangan serta percutian.

Katanya, mangsa yang gelap mata akan mudah terpedaya dengan imbuhan serta hadiah yang ditawarkan dan terus membuat pinjaman untuk melabur ke dalam skim tersebut.

"Sindiket juga membantu menyediakan bantuan kewangan bagi pelabur yang berminat. Mereka kemudian akan mengarahkan mangsa supaya mencari orang bawahan bagi merancakkan perjalanan wang tersebut.

"Itu hanyalah taktik sindiket di mana mereka akan menggunakan wang yang dicari daripada orang bawahan untuk dibayar kepada pelabur berkenaan dan begitulah seterusnya. Skim tersebut sebenarnya tidak membuat sebarang keuntungan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rohaimi berkata, tiga kakitangan kerajaan yang membuat laporan polis tersebut mendakwa mereka ditipu sindiket berkenaan apabila langsung tidak menerima pulangan wang yang dijanjikan.

sumber Kosmo!

28 July 2010

7 pemuda di tahan menyamar pelajar

gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tujuh pemuda ditahan polis selepas menyamar pelajar di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati di sini, semalam. Semuanya yang berumur 20 tahun di tahan dalam berpakaian seragam sekolah termasuk seorang berbaju kurung ditahan ketika sedang mengikuti pembelajaran dalam kelas.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan semua Mereka masuk ke sekolah itu kira-kira jam 7.30 pagi dan menyertai perhimpunan pagi sekolah. Selepas tamat perhimpunan, ketujuh-tujuh bekas pelajar itu masuk ke kelas lama masing-masing iaitu kelas mereka ketika tingkatan lima sesi 2007.

Kehadiran ‘pelajar baru’ di dalam kelas itu disedari guru yang kemudian menghubungi polis. “Hasil soal siasat, kami mendapati punca mereka menyamar pelajar sekolah itu atas alasan ingin kembali semula ke alam persekolahan. Mereka duduk dalam keadaan sopan tanpa sedikit pun mengganggu sesi pembelajaran,” kata Abdul Jalil.

kes itu disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan ketujuh-tujuh lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

TheRedWarriorsFM (Trw.FM) tercatat dalam Malaysia Book of Records


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi persatuan bola sepak pertama di negara ini mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai radio online rasminya, TheRedWarriorsFM (Trw.FM) selain mengeluarkan produk perniagaan jenama Warriors.

Sijil rekod tersebut diserahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan disaksikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Leona Paul.

Majlis penyerahan sijil itu diadakan sempena perasmian Karnival The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Trw.FM dilancarkan oleh Ahmad Shabery pada 21 Mei lalu manakala produk perniagaan jenama Warriors ialah jersi, seluar, jam, baju-T, topi, pelekat kenderaan dan beg.

Selain itu, KAFA juga membuka kafe The Red Warriors Stations yang terletak di bangunan Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu.

Ahmad Shabery pada sidang akhbar selepas majlis tersebut berkata, beliau kagum dengan kemajuan KAFA dalam usaha mengangkat imej bola sepak tanah air setaraf kelab-kelab bola sepak tersohor luar negara.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha persatuan itu untuk memastikan bola sepak menjadi sebuah industri perniagaan yang menguntungkan dan mampu menjana pendapatan kepada pasukan.

Tambahnya, keupayaan KAFA dalam menjadikan bola sepak sebagai satu perniagaan memberikan peluang kepada mereka untuk berdikari.

“Di negara maju, konsep ini sudah lama diamalkan apabila pasukan bola sepak menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, inisiatif KAFA merupakan contoh yang perlu diteladani oleh persatuan bola sepak lain di negara ini.

“Ini cara baru dan gelombang baru yang bermula di Kota Bharu. Idea ini memberi konsep baru dalam pembangunan sukan bola sepak negara,” ujarnya.

-Sumber Kosmo

27 July 2010

Pengambilan Ubat Melalui SMS Di Hospital Dan Klinik Kerajaan


PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan mungkin akan memperluaskan kemudahan pengambilan ubat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu 'SMS Take N Go' di kesemua hospital dan klinik kerajaan seluruh negara tidak lama lagi.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, ini berikutan sambutan menggalakkan terhadap kemudahan itu di Hospital Putrajaya, 14 buah klinik kesihatan di Wilayah Persekutuan dan 62 Klinik Kesihatan di Kedah.

Beliau berkata bagi Wilayah Persekutuan, sejak 12 Julai lalu seramai 192 pelanggan telah menggunakannya manakala di Kedah pula sejumlah 202 pelanggan memanfaatkannya sejak 27 April lalu.

"Jika sambutan orang ramai terus meningkat, inisiatif 'SMS Take N Go' itu akan diperluaskan ke hospital dan klinik kesihatan yang lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Sektor Awam di sini.

Mohd Sidek berkata inisiatif 'SMS Take N Go' itu adalah gabungan sistem beratur dan SMS bagi pengambilan ubat yang mulanya dilaksanakan oleh Hospital Putrajaya.

"Kemudahan itu hanya untuk mengambil ubat ulangan dan pesakit juga boleh membuat tempahan melalui SMS. Selain itu, ia melibatkan panggilan telefon atau e-mel serta boleh datang ke hospital atau klinik kerajaan pada kemudian hari untuk mengambil ubat," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya jabatan dan agensi kerajaan mencari jalan untuk membolehkan segala urusan dibuat secara online sepenuhnya dan bukan hanya setakat muat turun borang yang diperlukan tetapi juga untuk mengisi serta menghantarnya secara online lain.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Mohd Sidek berkata kemudahan e-Filing, Semakan Keputusan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam, e-Declare Kastam Diraja dan Status Pendaftaran Pekerjaan adalah perkhidmatan kerajaan secara online yang mencatatkan penggunaan tertinggi bagi April, Mei dan Jun tahun ini.

Katanya, bagi tempoh itu, e-Filing mencatatkan sebanyak 1.2 juta transaksi manakala Semakan Keputusan Kemasukan ke IPTA adalah 12.2 juta transaksi.

"Selain itu, e-Declare Kastam Diraja adalah 776,275 transaksi dan Status Pendaftaran Pekerjaan pula mencatatkan 537,048 transaksi," katanya.

-- BERNAMA

524 Termasuk 175 Laman Web Lucah Disekat Dari Januari Hingga Julai


KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 524 laman web yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk 175 laman web lucah, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata tindakan menyekat laman-laman web tersebut dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menawarkan kandungan yang berunsur lucah, ganas, jelik, palsu dan mengancam.

"Tindakan undang-undang di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil terhadap individu yang menyalahgunakan internet untuk kegunaan menyebarkan maklumat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

"Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya di Dewan Negara, di sini.

Beliau berkata penyedia perkhidmatan internet yang memegang lesen di bawah akta yang sama juga dikehendaki membantu SKMM dan pihak berkuasa berkaitan bagi mencegah sebarang kelakukan yang salah menerusi internet mengikut mana-mana undang-undang negara ini.

Mereka juga dikehendaki menyekat mana-mana laman web yang terlibat memberi kandungan berunsur lucah dan ganas di negara ini.

-- BERNAMA

1,000 peluang kerja

Putrajaya, 26 Julai- PEMBANGUNAN empat program di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, sekali gus membantu masyarakat tempatan meningkatkan taraf hidup masing-masing dalam usaha merapatkan jurang sosio ekonomi antara wilayah.
Ketua Pegawai Eksekutif NCER, Datuk Redza Rafiq berkata, program pembangunan membabitkan pelaburan RM835 juta itu akan merangkumi tiga sektor utama iaitu penternakan, pembuatan dan pelancongan.


“Setiap pelaburan yang diserapkan ke sesebuah negeri akan mewujudkan peluang pekerjaan baru kerana setiap pelaburan akan ada komponen rangkaian sokongan, dan setiap komponen akan beri peluang pekerjaan lain.


“Bermakna akan wujud peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung. Sebagai contoh, pihak Advanced Micro Devices Export Sdn Bhd (AMD) saja akan mewujudkan sekurang-kurangnya 500 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan dan teknikal,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

Janin ditemui dalam plastik bersama longgokan sampah


KUALA LUMPUR: Janin yang dipercayai baru berusia sebulan ditemui di dalam plastik bersama longgokan sampah sarap di Sungai Batu di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, janin itu ditemui oleh seorang lelaki yang sedang mengutip sampah di kawasan itu kira-kira jam 12.30 malam tadi.
"Ketika lelaki itu menguis plastik di kawasan itu, beliau menemui satu bungkusan plastik yang agak mencurigakan dan apabila membukanya beliau mendapati ia mengandungi janin," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata, lelaki yang berusia lingkungan 20an itu membuat laporan polis berhubung penemuan itu. Polis yang datang ke lokasi itu kemudian membawa bungkusan janin itu ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.-Bernama

22 July 2010

Konsert Suria FM 2010, Dataran Putrajaya


Putrajaya-Pada 24 Julai 2010 nanti Dataran Putrajaya akan digegarkan dengan Konsert Suria FM 2010 anjuran Radio Suria FM dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya.

STAGE RUNDOWN - KONSERT KEMUNCAK SURIA FM 2010

Carnival – 12:00 noon to 7:00pm

12:00nn – 1:00pm DJ DIAMOND SPIN

1:00pm – 3:00pm SONGS PLAYBACK & CROSSOVERS

3:00pm – 4:00pm DJ DIAMOND SPIN

4:00pm – 5:00pm SONGS PLAYBACK & CROSSOVERS

5:00pm – 7:00pm Mini konsert SuriaFM announcers (Halim, Zizi, Myra, Naim, Bob, Linda, Tuah & Linn)
JINBARA
AZHARINA
ALIFF AZIZ
THE 5
VINCE
BLACK MENTOR

5:00pm – 8:30pm SONGS PLAYBACK & CROSSOVERS

8:30pm – 9:00pm Video & audio clip

ATURCARA KONSERT SURIA FM 2010, DATARAN PUTRAJAYA

8.30 malam Ketibaan para tetamu jemputan

8.50 malam Ketibaan tetamu VIP

9:00 malam Opening gimmick (Halim, Zizi, Myra, Naim, Bob, Linda, Tuah & Linn)

9:15 malam Persembahan oleh : DAYANG NURFAIZAH

9:30 malam Persembahan oleh : ONE NATION EMCEES dan JOEY BPR

9:55 malam Persembahan oleh : HATTAN

10:10 malam Persembahan oleh : AIZAT

10:25 malam Persembahan oleh : ANUAR ZAIN

10:40 malam Persembahan oleh : SLAM dan MAWI

11:05 malam Persembahan oleh AKIM

11:20 malam Persembahan oleh : ALYAH dan JAMAL ABDILLAH

11:50 malam Persembahan oleh : FAUZIAH LATIFF

12:05 malam Persembahan oleh : XPDC

12:20 malam Bersurai

Penjawat Awam Perlu Cipta Pembaharuan Seiring Keperluan Pelanggan


PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Penjawat awam perlu sentiasa mencipta pembaharuan dalam perkhidmatan yang disampaikan agar seiring dengan keperluan pelanggan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau berkata ini kerana pelanggan perkhidmatan awam sekarang sudah lebih bersikap pendesak terhadap keperluan mereka.

Katanya para pegawai perlu dibimbing untuk lebih berinovasi dan kreatif ketika melaksanakan tugasan yang dapat membantu organisasi untuk lebih berjaya dan kekal dalam arus perdana.

"Syarikat yang diasaskan oleh William Wrigley masih kukuh selepas 60 tahun dalam pasaran kerana kejayaan mereka mencipta pelbagai jenis dan perasa gula getah.

"Kreativiti kakitangan syarikat ini telah membantu mereka sentiasa mengikuti peredaran masa dengan keperluan pelanggan.

Ini berbeza dengan syarikat Motorola dan Polaroid, yang dahulunya gah dengan penghasilan telefon bimbit dan kamera, tetapi tidak mampu bertahan lama kerana gagal mencipta sesuatu yang baru dalam era digital," katanya pada majlis Khidmat Bakti Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Seramai 40 pegawai kanan yang telah dan akan bersara serta tamat lantikan kontrak, dan 19 lantikan baru yang dinaikkan pangkat diraikan pada majlis itu.

Sementara itu, Mohd Sidek mengalu-alukan pandangan dan teguran yang positif serta membina daripada rakan-rakan yang telah bersara bagi memastikan perkhidmatan awam lebih berkualiti dan rakyat berpuas hati.

Katanya sumbangan dan sokongan serta pengamatan sebagai pemerhati di luar sistem perkhidmatan awam boleh diberikan, khususnya dalam mendokong gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata bagi pegawai tinggi yang baru dilantik, kejayaan mencapai aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak harus dimulakan dengan usaha yang gigih, keupayaan pengetahuan yang tinggi, kesediaan untuk berubah dan berani mengambil risiko.

"Keluarlah dari zon selamat, terokai peluang yang ada untuk kita berjaya. Janganlah kita sentiasa selesa berada dalam zon selamat yang belum tentu dapat membawa apa-apa peningkatan kualiti atau produktiviti dalam jabatan," katanya.

-- BERNAMA

Sikap Saling Pelajari Bahasa Kaum Lain Satu Kelebihan Buat Negara


KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Sikap masyarakat yang saling mempelajari bahasa kaum lain tanpa meminggirkan kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi merupakan satu kelebihan berbanding masyarakat di negara lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata melalui satu proses sosialisasi atau permasyarakatan, rakyat pelbagai kaum bukan saja dapat menguasai satu bahasa malah lebih dari itu.

"Ini sememangnya menjadikan negara kuat dari segi kepelbagaian atau 'diversity' dan itulah gagasan 1Malaysia.

"Di mana kita ingin capai perpaduan dalam kepelbagaian, tetapi dengan mementingkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan di samping menghormati bahasa lain untuk dipelajari dan dibangunkan," katanya ketika berucap merasmikan Festival Bahasa dan Sastera 2010 di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Festival kali kedua itu dianjurkan DBP dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia.

-- BERNAMA

Majikan beri amah RM14 juta


SINGAPURA - Seorang amah Filipina yang setia berkhidmat selama lebih 20 tahun menjadi jutawan segera kerana majikannya memberikannya sebanyak S$6 juta (RM14 juta) menerusi wasiat, lapor sebuah akhbar semalam.
"Sama ada memiliki atau tidak wang itu, saya merupakan amah yang paling bertuah di Singapura," katanya yang dikenali dengan nama Christine.
Berusia 47 tahun dan masih belum berkahwin, dia enggan mendedahkan identiti dirinya dan mahu dikenali sebagai Christine kerana bimbangkan keselamatannya di Filipina yang merupakan negara yang sering menjadi lokasi penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.
Dia mendapat wasiat itu daripada majikannya yang juga seorang wanita, Dr. Quek Kai Miew yang meninggal dunia pada tahun lalu semasa berusia 66 tahun.
Kekayaan segera itu meliputi wang tunai dan sebuah pangsapuri mewah berhampiran pusat beli-belah Orchard Road.
Dia sangat rapat dengan majikannya.
Christine yang kini sedang memohon menjadi penduduk tetap Singapura menyatakan bahawa kekayaan itu tidak akan dapat mengubah gaya hidupnya.
Amah tersebut turut menjaga ibu doktor itu dan dia diberitahu akan menjadi seorang penerima wasiat yang sedang disediakan oleh majikannya pada 2008.
"Tidak ada rahsia di antara kami. Saya tidak terkejut apabila diberitahu berapa banyak yang saya akan perolehi" katanya.
Christine berasa kecewa setahun lalu apabila majikannya meninggal dunia.
"Kematian itu amat mengecewakan saya kerana tempoh saya bersama dengan doktor itu lebih lama daripada saya bersama ibu saya," tambahnya.
"Saya akan berasa sedih setiap kali saya teringatkan dia (majikannya)," kata amah tersebut. - AFP

Bebelanja mewah dengan kad kredit


ALOR SETAR, 21 Julai - Tiga lelaki berusia 28 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan reman kerana telibat dalam memalsukan 137 keping kad kredit luar negara Isnin lalu.


Ketiga-tiga suspek tersebut yang turut memiliki sebuah kereta mewah dan menyewa di sebuah rumah teres dipercayai menggunakan kad kredit luar negara dengan menunjukkan pasport antaranbangsa dan lesen memandu luar negara bagi meyakinkan peniaga.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Deputi Supritendan Idris Abdul Rahman, suspek membeli kad-kad kredit tersebut daripada seorang lelaki dipercayai anggota satu sindiket pemalsuan kad kredit di Kuala Lumpur yang dijual bersama pasport antarabangsa, lesen memandu luar negara dan kad kosong.

"Sekeping kad kredit dibeli dengan harga RM480, kad kosong pula RM35, lesen memandu RM200 dan pasport antarabangsa RM200," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

21 July 2010

Mewah hasil ‘usahawam ketum'


JERLUN - Seorang lelaki warga emas mampu hidup senang termasuk membina rumah ‘mewah’ dan membeli kereta selain menyara ahli keluarga dengan mengedar dan memproses air ketum .

warga emas berusia 65 tahun yang pernah empat kali ditahan kerana mengedar dan memproses air ketum sejak lima tahun lalu, di tahan bersama anak lelaki, berusia 20-an serta anak saudara lelaki, 20, di dua rumah berasingan di Kampung Tandop Kedabu.

Warga emas tersebut bertindak mengaburi pihak berkuasa dengan menyimpan air ketum di seberang sungai kira-kira 50 meter dari rumahnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua JSJN Kedah, Superintendan Baharom Othman berkata, operasi diketuai Cif Inspektor Shahran Termizi membabitkan 15 anggota itu menyerbu dua rumah di kampung berkenaan yang juga milik pasangan adik-beradik, yang mana, kedua-dua rumah berkenaan pernah diserbu empat kali kerana disyaki mengedar dan memproses air ketum kepada penduduk berhampiran.

Turut di tahan dalam serbuan tersebut, tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an dipercayai pelanggan berada di dua rumah berkenaan yang terletak selang sebuah. Dalam operasi itu, polis merampas 350 bungkus air ketum siap diproses, lima kilogram daun ketum, dua tong gas, dua dapur masak dan dua periuk besar bernilai lebih RM10,000.

Semua mereka dibawa ke IPK, dan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum empat tahun dan denda maksimum RM10,000.

Sekatan terhadap laman web lucah


Kuala Lumpur- Sekatan terhadap internet dengan menapis akses pengguna kepada laman-laman web lucah telah dilaksanakan di kebanyakkan negara-negara maju.


Menurut sebuah organisasi bukan kerajaan, Reporters Without Borders (RWB) dari Perancis, sebanyak 12 negara yang melaksanakan sekatan tersebut iaitu China, vietnam, Mesir, Myanmar, Tunisia, Cuba, Iran, Korea Utara, Uzbekistan, Syria, Turkmenistan dan Saudi Arabia.

Bagi menjaga kepentingan moral rakyat, sekatan itu dilaksanakan secara sistematik bagi menyekat aliran maklumat menerusi internet. Selain itu menerusi agensi berita Reuterrs pula melaporkan, negara yang pernah diterajui Hitler iaitu Jerman juga telah meluluskan peraturan menyekat akses kepada laman-laman web lucah yang membabitkan kanak-kanak selepas mencotohi model yang dilaksanakan di Britain, Itali serta negara-negara Scandinavia.

Selain laman web lucah, laman-laman web berkaitan dengan politik dan agama juga tidak berkecuali dari sekatan tersebut kerana ia berkaitan dengan kepentingan negara, politik dan agama.

Terapi hentikan tabiat merokok


KUALA LUMPUR – Berita baik untuk golongan perokok tegar untuk berhenti merokok!
Kini anda boleh mencuba Terapi Gantian Nikotin atau dikenali sebagai NiQuitin yang didakwa mampu menghentikan tabiat itu.
Produk yang didatangkan dalam dua variasi iaitu pelekat dan lozenges yang mampu menghentikan seseorang perokok tegar mahupun biasa daripada tabiat merokok dalam masa 12 minggu sahaja.
Naib Presiden merangkap Pengurus Besar Asia Selatan, GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn. Bhd. (GSK), Akhil Chandra berkata, nisbah perokok adalah dua orang lelaki bersamaan dengan seorang perokok di negara ini dan ia satu statistik membimbangkan.
"Kajian yang dibuat oleh National Morbidity Survey pada tahun 2006 mencatatkan bahawa 21.5 peratus atau lebih kurang empat juta orang di negara ini ketagih merokok yang mencatatkan kematian sebanyak 10,000 setahun.

"GSK yakin bahawa penyelesaian yang kami tawarkan dengan NiQuitin akan membantu perokok mengurangkan pergantungan mereka pada nikotin dan meningkatkan peluang mereka yang tidak merokok," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Berita baik juga, produk itu boleh dibeli di mana-mana farmasi di negara ini tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor kerana ia dijamin selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan.

Penduduk temui mayat bogel terikat


MACHANG - Penduduk kampung gempar Mayat seorang remaja perempuan ditemui tanpa identiti dan dalam keadaan berbogel dengan kesan tikaman di dada kiri di Sungai Bagan, Pulai Chondong dekat sini petang semalam.


Semasa ditemui mangsa, berada dalam keadaan tertiarap dan terapung di permukaan sungai berkenaan dengan kaki kanannya diikat pada sebatang pokok, ditemui oleh seorang penduduk yang ingin memikat burung pukul 1.15 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat mangsa walaupun pakaiannya ditemui kira-kira 250 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata, berikutan itu polis mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Mazlan meminta ibu bapa yang kehilangan anak perempuan supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya.

Remaja Melayu paling ramai melayari web lucah


KUALA LUMPUR – Melayari laman web lucah mendorong anak-anak muda khususnya remaja mudah terjebak dengan gejala seks bebas, dan masalah perlakuan jenayah iaitu buang bayi .

Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Pengajian Tinggi Awam, mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber, berbanding dengan kaum lain.


Daripada kajian tersebut, turut menunjukkan bahawa 15 peratus remaja Melayu suka melepak, menghisap rokok (13.7 peratus) manakala ponteng sekolah dan memaki hamun orang masing-masing 11.5 peratus.
Menurut kajian tersebut, bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menerusi Internet menjadi punca utama remaja Melayu terjebak dengan gejala tersebut dan, lebih mendukacitakan, ada ibu bapa yang ditemu bual tidak mengaku kesilapan anak masing-masing sedangkan si anak mengakui kesalahan salah laku yang dilakukan mereka ketika disoal selidik.

20 July 2010

Nestle' Tidak Naikan Harga Produk Keluarannya


KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Nestle' (Malaysia) Bhd tidak menaikkan harga produk keluaran syarikat itu susulan pengumuman pengurangan subsidi gula sebanyak 25 sen oleh kerajaan baru-baru ini.
Nestle bekata ia sentiasa mengelak daripada melepaskan peningkatan kos kepada pengguna, kecuali benar-benar perlu.

"Kami melaksanakan peningkatan berterusan dalam keberkesanan kos dan inisiatif pengurangan kos yang lain untuk memastikan operasi kami kompetitif dari segi kos.

"Kami akan menyerap kos bahan mentah yang tinggi menerusi langkah-langkah rasionalisasi kos dalaman," kata Nestle' menerusi satu kenyataan di sini Selasa.

Nestle' berkata ia menyokong kempen Kementerian Kesihatan mengurangkan pengambilan gula, dan kandungan gula dalam produk syarikat adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menjadi syarikat makanan, pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan terkemuka.

"Kami akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan memperbaharui produk-produk sedia ada bagi memastikan ia lebih berkhasiat dan sihat, dengan mengurangkan kandungan garam, gula dan lemak, dalam menyediakan penyelesaian sihat dan produk bernilai tambah untuk memenuhi keperluan pengguna yang bekembang dan dinamik."



-- BERNAMA

Kopi Luwak Atau Kopi Tahi Musang, Difatwa Halal Majlis Ulama Indonesia


JAKARTA, 20 Julai (Bernama) -- Kopi Luwak atau Kopi Tahi Musang, kopi termahal di dunia dari Indonesia, difatwa halal oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan syarat biji kopi berkenaan telah dibersihkan dari kotoran.

"Kopi Luwak dihukumkan mutanajis, ertinya terkena najis. Kopi luwak dinyatakan halal setelah melalui proses pembersihan. Meminum kopi luwak dihalalkan, kemudian mengeluar, menjual beli, meminum kopi luwak, hukumnya boleh," kata Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI Ma'ruf Amin di sini.
Kopi luwak adalah sejenis kopi yang diproses dengan fermentasi secara semulajadi dalam pencernaan haiwan luwak, binatang yang sejenis dengan musang yang tinggal di pepohonan.

Biji kopi yang masih berkulit, ditelan kemudian sisanya yang berupa biji kopi dengan kulit dalam kopi, keluar bersama kotorannya. Sebelum diolah, biji kopi yang telah keluar tadi dipisahkan dari kotoran luwak secara manual.

MUI mengeluarkan fatwa tersebut berikutan banyak pertanyaan dan keluhan umat Islam mengenai perkara itu, dan berharap dengan adanya fatwa berkenaan, hukum mengenai pengambilan kopi luwak menjadi lebih jelas.

Sementara itu, setiausaha Suruhanjaya Fatwa MUI Aminuddin Yakub berkata MUI telah melakukan kajian dan mendapati haiwan luwak hanya makan kulit luar buah kopi dan menyisakan kulit dalam buah tersebut.

"Dan kalau ditanam, biji kopi itu boleh tumbuh. Dengan demikian, itu bukan najis, melainkan mutanajis," katanya.

Mutanajis berbeza dengan najis kerana ia suatu benda yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam, seperti daging babi, namun mutanajis adalah keadaan apabila sesuatu benda terkena najis, ia dapat dikatakan halal jika najis itu dibersihkan.

Kopi luwak sangat masyhur di kalangan penggemar kopi di Indonesia serta di peringkat antarabangsa kerana memiliki cita rasa unik, hasil daripada proses pembuatan yang "aneh".

Harganya yang mahal juga turut menjadi penarik kepada para penikmat kopi.

Di Amerika Syarikat, Kopi Luwak dikenal sebagai kopi kotoran kucing atau "cat-poo coffee" dan dijual dengan harga AS$190 untuk 500 gram.

Kopi tersebut juga didakwa dikategorikan sebagai langka atau jarang ditemui kerana setiap tahun, hanya 250 kilogram dihasilkan.

Di pasaran antarabangsa, harganya berkisar antara AS$$100 hingga AS$350 sekilogram.

-- BERNAMA-Oleh Ahmad Fuad Yahya

Najib ikuti edaran zaman dengan iPhone


Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri yang sentiasa mengikuti perkembangan.

Beliau tidak mahu ketinggalan mendapatkan alat perhubungan terbaharu di dalam pasaran.

Dengan memiliki satu Apple iPhone 3GS, walaupun bukan model iPhone 4 yang terbaharu yang masih belum terjual di Malaysia, Perdana Menteri berkata telefon pintar itu boleh membantunya sebagai "kamus bergerak" pada bila-bila masa.
Sambil mengharapkan inovasi itu akan subur di dalam ekosistem optimum, beliau berkata fakta dan maklumat hari ini boleh diperolehi secara meluas.

“Lihatlah pada Wikipedia, ensaiklopedia terbesar di dunia yang boleh diperolehi secara online dan percuma sepenuhnya bagi sesiapa sahaja untuk menggunakannya."

"Wikipedia adalah satu contoh baik mengenai idea "kemusnahan kreatif" pakar ekonomi (Amerika), (Joseph Alois) Schumpeter, yang memberi maksud bahawa ensaiklopedia tradisional tidak lagi menarik seperti dahulu."

“Dan, malah kamus juga tidak lagi berguna dan malah, dengan menggunakan iPhone, saya memiliki kamus bergerak bersama-sama dengan saya pada setiap masa," katanya, semasa berucap kepada para pelajar dan peserta pada pelancaran "Malaysia: Konvensyen Nasional Negara Inovasi" di Limkokwing University of Creative Technology di Cyberjaya hari ini.

Siapa tahu, Najib, yang akan berusia 57 tahun tiga hari lagi, akan menerima Apple iPad terbaharu sebagai hadiah harijadinya.

Tetapi, seseorang perlu pergi ke selatan tanah air kerana alat iPad, yang dikatakan sebagai "produk luar biasa," akan dilancarkan di sembilan negara lagi, yang termasuk Singapura, pada Jumaat.

Lapan lagi negara itu ialah Austria, Belgium, Hong Kong, Ireland, Luxembourg, Mexico, Belanda dan New Zealand.

- Bernama

Tikam dada isteri


SANDAKAN: Seorang ahli perniagaan yang mempunyai hutang keliling pinggang menikam dada isterinya tiga kali selepas mendakwa diminta berbuat demikian oleh wanita itu yang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan selepas mengelar pergelangan tangannya sendiri.
Lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan berbuat demikian selepas dirayu isterinya yang berusia 41 tahun supaya mempercepatkan kematiannya, dalam kejadian di sebuah rumah tiga tingkat di Batu 1, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin. Difahamkan, lelaki terbabit yang juga pemilik sebuah syarikat pengangkutan, menggunakan senjata tajam sama digunakan isteri untuk mengelar pergelangan tangan sendiri. Sebulan lalu, pasangan terbabit dipercayai merancang membunuh diri bersama berikutan tekanan hidup kerana mempunyai banyak hutang. Pasangan terbabit dipercayai pernah menjalankan perniagaan di Johor Bahru sebelum ini tetapi ia berakhir dengan kegagalan, lalu mereka membuka perniagaan pengangkutan minyak kelapa sawit di bandar ini beberapa tahun lalu. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata, sebelum kejadian mangsa yang tidak bekerja dipercayai mengelar kedua-dua pergelangan tangannya untuk membunuh diri di sebuah bilik di tingkat tiga rumah berkenaan.


Katanya, suami wanita itu kebetulan masuk ke bilik berkenaan menemui mangsa dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan isterinya meminta dia menikamnya sehingga mati menggunakan senjata tajam sebelum itu dipercayai digunakan untuk mengelar tangannya.


“Suami mangsa dipercayai menikam dada mangsa bertubi-tubi menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, suspek melarikan diri ke tingkat bawah tetapi terserempak dengan anak perempuannya berusia 22 tahun baru pulang kerja.


Berikutan itu, suspek lari semula ke bilik tempat dia menikam isterinya dan mengunci pintu dari dalam menyebabkan anaknya mengesyaki sesuatu dan menghubungi polis.


Sepasukan polis menjumpai mayat mangsa dalam keadaan terlentang berlumuran darah, selain sekeping nota antara lain mengingatkan empat anaknya dia akan meninggalkan keluarga dan meminta mereka meneruskan kehidupan dengan baik.


Suspek kini ditahan reman seminggu mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dengan niat.

Program subsidi beras untuk rakyat diteruskan


Program Subsidi Beras untuk Rakyat (SUBUR) akan diteruskan bagi memastikan golongan sasar dapat menikmati subsidi beras daripada kerajaan.

Kerajaan tidak bercadang memberhenti atau menggantikan program itu, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Chua Tee Yong pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata sehingga 25 Mei lalu, kementerian itu menerima 514,993 permohonan baru bagi program SUBUR yang dikemukakan oleh semua 222 urusetia Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP).

"Senarai nama yang telah diperaku di peringkat MPPP ini merupakan tapisan peringkat awal dan akan disemak dengan lebih terperinci bagi memastikan kesahihannya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Pau Chiong Ung yang ingin tahu sama ada program SUBUR masih dilaksana dan jika ia tiada lagi apakah rancangan kementerian untuk menggantikannya.

Chua (kanan) berkata semakan terperinci terhadap senarai nama yang dikemukakan akan dibuat bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak mendapat bantuan dan manfaat daripada program itu.

Beliau berkata pada 20 Nov lepas kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan program SUBUR susulan aduan dan rungutan daripada orang ramai yang mengatakan senarai kumpulan sasar dalam sistem e-Kasih tidak merangkumi semua golongan layak.

Penangguhan itu perlu bagi membolehkan kementerian dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perangkaan serta agensi lain yang berkaitan menyemak dan membuat pengesahan senarai nama dalam e-Kasih dan memasukkan nama keluarga yang tercicir.

"Oleh itu, kementerian sedang berusaha mengemaskini senarai penerima dan mekanisma pelaksanaan SUBUR dan akan memperakukan semula untuk persetujuan pihak kerajaan," katanya.

- Bernama

19 July 2010

Daging kerbau India bukan daging kelas ketiga


Putrajaya, 19 Julai-Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini menafikan daging kerbau yang diimport dari India adalah daging kelas ketiga sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

Ketua Pengarah JPV Datuk Dr Aziz Jamaluddin berkata daging itu berasal daripada kerbau yang menghasilkan susu dan bukan kerbau tua yang diguna untuk mengerjakan sawah.

"Terdapat 11 loji penyembelihan kerbau di India perlu diaudit dan disemak secara bersama oleh JPV, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Kesihatan pada setiap tahun untuk memastikan kualitinya terjamin," katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang mendakwa daging kerbau dari India itu adalah daging kelas ketiga yang dihasilkan daripada kerbau tua.

Katanya daging kerbau yang diimport dari India itu juga digunakan secara meluas untuk menghasilkan makanan di negara ini termasuk stik, sate, nasi kandar, serunding, burger, daging salai dan sosej, selain menjadi pilihan beberapa pengeluar makanan berasaskan daging yang popular.

Beliau berkata daging kerbau itu juga telah menjadi sumber protein yang murah untuk rakyat negara ini sejak 1982 dan harganya jauh lebih murah berbanding daging premium yang diimport dari Australia, New Zealand dan negara-negara Amerika Latin yang dijual antara RM120 hingga RM150 sekilogram.

Selain Malaysia yang merupakan pengimport penting, daging kerbau India turut dieksport ke Timur Tengah, Rusia dan Afrika, katanya.

Dalam pada itu, Aziz berkata kerajaan sedang berusaha untuk mencapai tahap sara diri sebanyak 40 peratus bagi daging lembu dan kerbau menjelang tahun 2015.

Ia dilakukan menerusi projek berimpak besar dan pembangunan 71 buah ladang satelit di seluruh negara dengan menggunakan anak lembu dari Australia dan Thailand, kata beliau.

"Felda Global Ventures Sdn Bhd melalui syarikat Felda IffcoAllana Malaysia Sdn Bhd juga melaksanakan projek ternakan lembu bersepadu di ladang milik Felda," katanya.

- Bernama

Bunuh pembantu rumah Indon, lelaki dihukum mati


Shah Alam, 19 Julai-Seorang peniaga pasar malam, A Murugan, 36, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani, Oktober lalu.
Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu hari ini selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas tertuduh.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata pembelaan diri Murugan adalah penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai.

Seramai 50 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Murugan didakwa membunuh Muntik, 36, di rumah No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 hingga 20 Oktober tahun lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

- Bernama

Pengeluar, peniaga setuju tak naikkan harga


Kuala Lumpur, 19 Julai-Harga makanan dan minuman yang mengandungi gula di seluruh negara tidak akan dinaikkan, walaupun harga bahan itu naik 25 sen minggu lalu.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan persatuan terlibat, di kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri berkata dalam pertemuan itu, lebih 500,000 pengeluar dan peniaga makanan, yang diwakili 34 persatuan komited untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman yang mengandungi gula.

"Saya harap dengan komitmen yang diberikan persatuan pada hari ini akan melegakan pengguna dan mereka boleh melaporkan kepada kementerian jika terdapat sebarang kenaikan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Pemborong Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Kumpulan Pengeluaran Makanan Malaysia (MAFMAG), Persatuan Pengilang-Pengilang Roti Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Ismail Sabri berkata persatuan dan pengeluar makanan itu memahami keperluan kerajaan menstruktur semula subsidi dan mereka sedia menyerap kesan kenaikan harga gula itu kerana ia tidak terlalu tinggi.

Pegawai penguatkuasa dan pemantau kementerian akan sentiasa memantau harga makanan dan minuman bergula di seluruh negara dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika mana-mana pihak didapati menaikkan harga, katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Datuk Mohamad Mahmud berkata beliau menerima langkah kerajaan menaikkan harga gula kerana ia dapat mengelak masalah kekurangan bekalan.

"Daripada kita sukar untuk mendapatkan bekalan, lebih baik kerajaan naikkan harga gula kerana kebanyakan ahli menggunakan gula ini dalam perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata penjelasan juga akan diberi kepada lebih 400,000 anggota persatuan itu supaya mereka tidak menaikkan harga makanan, namun tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit penyesuaian dari segi saiz makanan.

Presiden Primas Datuk R Ramalingam Pillai berkata satu edaran akan dibuat kepada lebih 1,300 anggota persatuan itu yang melibatkan lebih 5,000 restoran di seluruh negara untuk memaklumkan mengenai hasil pertemuan hari ini bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga makanan dan minuman.


Beliau berkata walaupun ia akan meningkatkan kos, ia hanya menyebabkan kenaikan yang nominal dan boleh diserap.

- Bernama

Sultan Kelantan selamat jalani rawatan di Singapura


KOTA BHARU- Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang bertolak ke Singapura dengan menaiki pesawat khas Kerajaan Malaysia, 15 Julai lalu, selamat menjalani prosedur Angiogram dan Angioplasty di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Pengelola Diraja Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, keberangkatan baginda bertujuan mendapatkan rawatan susulan dan kini masih dirawat pakar perubatan hospital berkenaan.
“Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, yang begitu prihatin terhadap kesihatan ayahanda baginda berasa amat gembira dengan perkembangan ini.


“Baginda Pemangku Raja akan mengatur penerbangan pulang Sultan ke Kota Bharu seberapa segera, walaupun pada mulanya dijadualkan berangkat pulang pada 21 Julai ini,” katanya.


Menurutnya, Tengku Muhammad Faris Petra sentiasa mendoakan yang terbaik kepada Tuanku Ismail Petra, selain mengharapkan rakyat turut sama mendoakan yang terbaik terhadap ayahanda baginda.


“Pemangku Raja Kelantan sudah mengatur solat hajat di beberapa masjid di negeri Kelantan dan berharap dapat diteruskan oleh rakyat di negeri ini.


“Pada masa sama, ribuan terima kasih diucapkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyediakan pesawat khas membawa baginda Sultan ke Singapura,” katanya.


Menurutnya, ingatan kepada semua turut diberikan supaya tidak membuat sebarang andaian atau kenyataan semata-mata untuk mengambil kesempatan serta bagi kepentingan diri sendiri.


“Semua pihak perlu mengambil langkah supaya tidak mengaibkan keluarga diraja Kelantan. Biarkan segala kemelut diselesaikan secara kekeluargaan. Berat mata kita memandang, berat lagi keluarga diraja memikul,” katanya.

Lori bapa gilis anak

CHUKAI, 18 Julai- Seorang lelaki tidak menyangka kenderaan berat yang memberikan sumber pendapatan kepada seluruh ahli keluarganya akan meragut nyawa anak kesayangannya selepas tidak menyedari mangsa digilis ketika mengundurkan kenderaan berkenaan, petang kelmarin.
Tragedi ‘lori berdarah’ di Felda Neram 1, dekat sini, itu berlaku ketika mangsa berusia dua tahun mengekori bapanya dan tanpa disedari lelaki berkenaan mengundurkan kenderaan itu untuk mengalihkannya ke garaj berhampiran.
Ketua Polis Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata kejadian berlaku di hadapan rumah mangsa kira-kira jam 6.30 petang menyebabkan mangsa, Farida Nasuha Muhd terbunuh di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 52 tahun hanya menyedari dia terlanggar sesuatu selepas berhenti dan terkejut melihat anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Lelaki berkenaan sudah memerhatikan anaknya, malah ketika kejadian dia sempat melihat seorang lagi anak lelakinya yang berusia 3 tahun di tepi rumah, tetapi tidak menyedari kelibat anak perempuannya itu.

“Lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu lori dan mengalihkan kepala lori terbabit selepas diarahkan isterinya berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, ketika sibuk mengalihkan kepala kenderaan berat itu, dia tidak sempat memerhatikan pergerakan mangsa dan hanya mengetahui kemalangan selepas memberhentikannya.

Berikutan kejadian itu, laporan polis dibuat dan siasatan awal mendapati mangsa digilis tayar kanan bahagian belakang lori.
Click Here

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala bapa mangsa sudah diambil keterangannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian.

Berikutan kejadian itu, Abdullah Sani meminta semua pemandu lebih berhati-hati ketika mengalih atau mengundur kenderaan terutama di halaman rumah bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Saya berharap mereka memeriksa bahagian belakang kenderaan ketika mengundurkan kenderaan berkali-kali kerana keselamatan anak-anak terletak di tangan ibu bapa,” katanya.

Gempar lihat UFO terapung










(gambar hiasan)

KOTA KINABALU: “Ketika berada dalam dewan, tiba-tiba seorang wanita menjerit melihat suatu objek mirip piring terbang di langit berhampiran pusat peranginan itu.
“Lalu kami keluar untuk mengesahkan dakwaannya dan apa yang saya lihat ia memang satu objek berbentuk bulat dan berwarna biru sedang terapung, tetapi selepas beberapa saat kemudian ia bertukar menjadi warna hijau,” kata seorang tetamu Tuaran Beach Resort, Jemas Dungil, 27.
Suasana di pusat peranginan ketika itu gempar apabila satu objek asing seakan-akan piring terbang (UFO) muncul di ruang udara berhampiran pantai peranginan Tuaran di sini, petang kelmarin.

Kemunculan objek berkenaan disaksikan beberapa kakitangan dan tetamu pusat peranginan itu yang kebetulan berada di kawasan terbabit.

Mereka mendakwa objek mengeluarkan cahaya biru dan hijau itu terapung di ruang udara selama seminit sebelum hilang dalam sekelip mata.

Malah, ada di kalangan mereka sempat merakamkan gambar piring terbang itu menggunakan telefon bimbit masing-masing tetapi apa yang menghairankan, ada telefon bimbit berkenaan tiba-tiba ‘mati’ dengan semena-mena sebaik merakam gambar objek berkenaan.

Jemas berkata, dia ternampak satu objek terapung yang besar dan tidak bergerak ketika menghadiri majlis jamuan makan seorang rakannya di pusat peranginan itu.

Menurutnya, dia sempat merakamkan objek misteri itu menggunakan kamera telefon bimbitnya, malah beberapa pengunjung pusat peranginan itu turut melakukannya.

“Saya tidak percaya UFO, tapi apa yang saya lihat itu benar-benar luar biasa kerana ia berlaku di depan mata.

“Apa yang pelik, telefon bimbit milik beberapa pengunjung yang merakam kemunculan objek itu tiba-tiba ‘mati’. Namun, saya bernasib baik kerana dapat merakamkan imej objek itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Donny Benedict, 29, berkata, dia tidak percaya dengan kewujudan UFO, namun pandangannya berubah sebaik menyaksikan kejadian itu.

“Saya hanya sempat melihat objek berkenaan terapung selama 20 saat sebelum ia hilang begitu sahaja. Apa yang peliknya, ia tidak mengeluarkan sebarang bunyi seperti dihasilkan pesawat udara.

“Ini pengalaman pertama saya melihat UFO, namun mengecewakan gambar diambil menggunakan telefon bimbit hilang,” katanya.

Kemunculan UFO di negara ini dikesan bermula pada tahun 1950-an apabila seorang lelaki melihat satu piring terbang di Petaling Jaya. Sejak itu, beberapa objek menyerupai piring terbang didakwa dilihat rakyat negara ini.

Kali terakhir UFO muncul di negara ini pada 1999 di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Penantian 7 tahun berbaloi- kembar 4

JITRA: Penantian sepasang suami isteri dari Kampung Sungai Batu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, selama tujuh tahun untuk menimang cahaya mata menjadi kenyataan apabila dikurniakan bayi perempuan kembar empat di Hospital Pulau Pinang (HPP), Mei lalu.

Bagi pasangan Mohd Rizal Shaari, 33, dan Norhayu Mat Hanafi, 29, kelahiran bayi kembar empat itu memang tidak dijangka dan bersyukur kerana dikurniakan empat cahaya mata sekali gus.
Bagi pasangan Mohd Rizal Shaari, 33, dan Norhayu Mat Hanafi, 29, kelahiran bayi kembar empat itu memang tidak dijangka dan bersyukur kerana dikurniakan empat cahaya mata sekali gus.

Mereka terharu dengan anugerah tidak ternilai itu kerana sudah lama berusaha mendapat zuriat sendiri.

Mohd Rizal yang ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Baru Asun, dekat sini, berkata, mereka terkejut apabila doktor yang melakukan pemeriksaan ketika permulaan isterinya hamil memberitahu bakal mendapat kembar tiga.

“Kami sudah membuat persiapan menyambut ketiga-tiga cahaya mata termasuk membeli pakaian dan peralatan mereka.

“Bagaimanapun, kami terkejut apabila isteri bersalin pada 4 Mei lalu anak kembar empat, namun amat bersyukur dengan anugerah itu.

“Keempat-empat bayi dilahirkan itu tidak cukup bulan menyebabkan mereka ditahan di HPP, tetapi isteri dibenarkan pulang pada 28 Jun lalu manakala semua anak kami dibenarkan keluar pada 1 Julai lalu.

“Kami bersyukur semua kembar sihat dan tidak menang tangan melayan kerenah mereka,” katanya.

Mohd Rizal, juruteknik di sebuah kilang plastik di Pulau Pinang berkata, keempat-empat anak kembar seiras itu diberi nama Putri Nur Adlina seberat 1.2 kilogram (kg), Putri Nur Adriana (900 gram), Putri Nur Afina (1kg) dan Putri Nur Aina (1.1kg).

Sementara itu, Norhayu, suri rumah sepenuh masa berkata, suaminya terpaksa membeli barangan dan keperluan untuk seorang lagi kerana sebelum ini hanya membuat persiapan untuk tiga bayi.

Katanya, mereka berdua puas berusaha mendapatkan zuriat sebelum ini termasuk menggunakan kaedah rawatan moden dan tradisional selain berdoa.

“Pada peringkat awal kehamilan, saya amat risau kerana mengalami alahan serius termasuk kerap muntah dan tiada selera makan.

“Namun, saya bersyukur keempat-empat bayi kami selamat dilahirkan dan sihat.

“Penantian kami selama tujuh tahun untuk mendapat zuriat berbaloi apabila dikurniakan empat anak kembar perempuan yang comel,” katanya yang mahu menambah lagi zuriat pada masa depan.

Kerajaan timbang hak eksklusif warna biru seragam polis


TELUK KEMANG 18 Julai – Kerajaan akan mempertimbangkan permintaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan hak eksklusif warna biru hanya kepada uniform pasukan itu sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu perlu dikaji kerana ia melibatkan banyak pihak.

“Kita tidak boleh membuat keputusan sekarang kerana ia tentu ada pro dan kontranya. Tetapi saya faham sangat dengan kehendak polis ini, jadi kita perlu periksa dan lihat terperinci.
“Ini termasuk melihat uniform pasukan lain yang ada persamaan dengan polis dan berapa agensi menggunakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Kemang, di sini hari ini.

Beliau mengulas permintaan PDRM agar uniform pasukan itu digazetkan sekali gus memberikan mereka hak eksklusif menggunakan warna biru.

Dalam laporan akhbar hari ini, Timbalan Pengarah Pengurusan dan Latihan Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, persamaan uniform anggota PDRM dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain mencetuskan kekeliruan.

Beliau berkata, persamaan itu turut melibatkan soal integriti PDRM di kalangan masyarakat ekoran ada anggota pasukan terbabit yang disalah anggap sebagai anggota daripada agensi lain.

Menurut Hishammuddin, pihaknya tidak akan tergesa-gesa untuk melaksanakan perkara tersebut kerana ia melibatkan banyak pihak termasuk agensi di bawah kementerian lain.

“Walaupun dikatakan mencetuskan kekeliruan, namun kita harus memikirkan pasukan lain seperti kastam misalannya, akan tergugat kerana mereka sudah membuat beribu-ribu uniform,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan pihaknya tidak berhasrat untuk menyelesaikan isu uniform itu dalam tempoh terdekat kerana ada perkara lain yang lebih penting.

“Saya tidak mahu sebarang kekeliruan. Pasukan polis semakin diterima baik oleh masyarakat kerana penurunan kadar jenayah. Jadi kita tidak mahu isu uniform menjadi penghalang,” katanya.

Tambah beliau, tugas serta tanggungjawab polis tidak berkisar kepada uniform yang mereka pakai kerana lebih penting adalah persepsi dan harapan rakyat.

“Bagi saya soal uniform boleh kita selesaikan kemudian,” katanya lagi.

Industri iklan radio terus berkembang


PETALING JAYA 18 Julai – Industri pengiklanan radio tempatan dijangka terus berkembang pada tahun ini berdasarkan prestasi pertumbuhan pada Januari hingga April sebanyak 19 peratus, kata Radio Komersial Malaysia (CRM).

Ahli jawatankuasanya, Malek Ali berkata, peningkatan tersebut disebabkan oleh beberapa faktor termasuk penambahan jumlah pendengar yang kini telah mencecah 15.5 juta.
‘‘Medium radio yang begitu dekat dengan pendengar juga telah membantu meningkatkan pertumbuhan pengiklanan tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan kenaikan jumlah jam pendengar radio kepada 21.1 jam seminggu berbanding 20.4 jam sebelum ini.

‘‘Melalui kaji selidik Nielsen perolehan bagi pengiklanan telah menunjukkan tanda-tanda sihat apabila telah berjaya melepasi paras RM100 juta iaitu kepada RM112.6 juta untuk tempoh Januari hingga April berbanding tahun lalu iaitu hanya RM94 juta,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

CRM sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Penggendali Radio Komersial Malaysia (MACRO) sebelum ditukar nama pada 2007. Sehingga kini mereka mempunya 19 stesen radio swasta yang menyertainya.

CRM ditubuhkan untuk membangunkan industri radio Malaysia, melindungi ahli-ahlinya, mempromosi penyiaran radio baik, meningkatkan piawaian, etika, untuk melindungi hubungan baik dengan kerajaan dan pembuat polisi serta mendidik dan melatih ahli-ahli dalam peniagaan penyiaran radio.

Katanya, secara keseluruhan, industri radio mempunyai potensi untuk berkembang pada tahun ini dengan pertumbuhan dalam angka berganda.

Tambah Malek, beberapa perkara istimewa yang turut menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah radio berasaskan penyelidikan pasaran.

‘‘Ia merupakan satu platform untuk mengetahui apa yang konsumer perlu dan orang ramai selalunya sangat vokal mengenai apa yang mereka mahukan. Pasaran akan mendengar apa yang orang ramai perlukan.

‘‘Selain itu, radio juga mempunyai kemampuan untuk mencipta permintaan kerana radio terkenal dengan pembahagian mengikut segmen. Sebagai contoh saluran radio Melayu dapat mengetahui kehendak mereka seperti inginkan produk halal begitu juga dengan saluran yang lain,’’ jelasnya.

Malek berkata, apabila telah mempunyai segmen tertentu ini memudahkan pengiklan memberikan apa yang diinginkan dan akan menjadi lebih dekat dengan konsumer.

Walaupun perkembangan positif dapat dilihat terhadap industri radio, namun terdapat beberapa cabaran untuk mengekalkan momentum tersebut.

‘‘Cabaran utama adalah menyampaikan mesej kepada pendengar. Kami telah menjalankan penyelidikan dan terpaksa menerangkan dengan lebih lanjut kepada semua termasuk pembuat polisi mengenai apa yang diperlukan atau permintaan pendengar.

‘‘Cabaran kedua adalah melahirkan bakat dalam industri ini, untuk mempunyai penyampai adalah mudah tetapi untuk menghasilkan program yang menarik dan terbaik memerlukan jurutera, penerbit dan promosi baik,’’ ujarnya.

Dalam menghadapi cabaran tersebut, CRM telah menganjurkan Siri Radio Planet iaitu program yang menjemput pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dari pelbagai bidang diberi penerangan mengenai industri secara keseluruhan.

‘‘Pada tahun ini kami menganggarkan 200 pelajar akan menyertai program tersebut dan ia akan dilakukan pada setiap tahun. Program itu penting dalam menggalakkan lebih ramai pelajar memilih radio sebagai salah satu bidang bakal diceburi,’’ katanya.

Daging import India adalah daging kerbau


ALOR SETAR 18 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan daging import dari India yang berada di pasaran ialah daging kerbau dan bukannya daging lembu seperti yang mungkin difikirkan oleh ramai pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sehubungan itu pengguna dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan istilah daging import atau Indian Beef dari negara berkenaan.
“Saya nak buat perisytiharan supaya rakyat tidak terkeliru. Daging import dari India atau dikenali sebagai daging kotak sebenarnya ialah daging kerbau dan bukannya lembu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.

Dalam kolum Bisik-Bisik Mingguan bertajuk Kisah daging kerbau semalam, Awang Selamat menulis mengenai kekecewaan seorang pensyarah yang membuat kajian berkaitan daging import kerana hampir 80 peratus daripadanya adalah dari India.

Pensyarah itu memberitahu Awang Selamat bahawa beliau kecewa kerana rakyat kita disajikan dengan daging kelas ketiga. Lebih menyedihkan, selama ini kita tidak dimaklumkan bersungguh-sungguh bahawa daging yang diimport dari India adalah kerbau.

Menurut Awang Selamat, berdasarkan kajian pensyarah itu juga, ramai pengguna tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

Noh berkata, dianggarkan 80,000 tan daging import India dibawa masuk setiap tahun dan kebanyakannya bergred utiliti.

“Rakyat boleh buat pilihan, hanya kita mahu mereka tidak terkeliru,” katanya.

Beliau menambah, pegawai-pegawai bertauliah daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihantar ke India bagi memastikan daging yang diimport ke Malaysia adalah halal.

Noh berkata, pemeriksaan meliputi ciri-ciri kebersihan serta cara penyembelihan mengikut prosedur dan hukum syarak yang betul supaya menepati piawaian yang ditetapkan.

“Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan persatuan pengguna, daging kotak ini haruslah dilabelkan sebagai daging kerbau supaya tidak mengelirukan.

“Masalah yang timbul adalah kemungkinan wujud sesetengah pihak yang tidak mematuhi garis panduan ini dan enggan melabelkan kotak tersebut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga peniaga yang menyahbekukan daging itu dan menjualnya ke pasaran sebagai daging lembu.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan ayam dan daging bagi keperluan musim perayaan ini adalah mencukupi.

Noh berkata, kementeriannya menubuhkan jawatankuasa khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk perancangan berterusan dan teliti berhubung perkara itu.

Selain menjalankan pemantauan mengenai bekalan di pasaran, katanya, keutamaan akan diberikan kepada pengeluar dan penternak tempatan jika ia tidak mencukupi.

“Kalau belum mencukupi, kita akan keluarkan kuota untuk permit import,” katanya.

18 July 2010

Bayi 6 bulan bukan kena diabetis

Kuala Lumpur (17 Julai) Sukar untuk dipercayai apabila bayi berusia enam bulan turut dilaporkan mengalami diabetes di negara ini.

Mendedahkan perkara itu pada program Kem Diabesiti 1Malaysia 2010 di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Putrajaya, Dr Fuziah Md Zain berkata bayi tersebut menghidap kencing manis apabila antibodi dalam badannya telah merosakkan pankreasnya yang mengeluarkan insulin hingga mengakibatkan bayi tersebut mengalami kekurangan insulin.
"Kes yang melibatkan bayi pada usia semuda ini adalah sangat jarang berlaku kerana kebiasaannya pesakit diabetes di kalangan pesakit muda melibatkan kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun.

"Jadi diabetes tidak mengenal usia. Sesiapa sahaja berisiko untuk menghidapnya," katanya kepada Bernama.

Dr Fuziah berkata kebanyakan kanak-kanak yang menghidap diabetes adalah dari jenis 1 di mana mereka memerlukan rawatan suntikan insulin sepanjang hayat mereka.

Mengikut statistik, antara 2006 hingga 2008 seramai 630 kanak-kanak dan remaja dikesan menghidapi diabetes di mana 80 peratus daripada mereka menghidap diabetes jenis 1 manakala 20 peratus lagi penghidap diabetes jenis 2, jelasnya.

Beliau menerangkan bahawa diabetes jenis 2 kebiasaanya dialami oleh orang dewasa manakala kanak-kanak yang mengalaminya adalah kerana mempunyai masalah berat badan.

Diabetes jenis 1 berlaku apabila pankreas pesakit langsung tidak boleh menghasilkan insulin, manakala bagi jenis 2, pankreas pesakit masih boleh menghasilkan insulin tetapi insulin itu tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Diabetes di kalangan kanak-kanak bukan hanya berpunca daripada faktor keturunan atau riwayat keluarga, pemakanan dan cara hidup, tetapi boleh juga disebabkan oleh jangkitan virus.

"Penyakit ini tidak boleh diatasi tetapi boleh dikawal sekiranya kanak-kanak ini memiliki disiplin dan semangat yang tinggi serta mengamalkan cara hidup dan pemakanan yang sihat," kata Dr Fuziah.

Beliau berkata, ibu bapa, guru dan anggota masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam memotivasi dan menyokong kanak-kanak yang menghidapi diabetes agar mereka tidak rasa tersisih.

"Ini kerana apabila dia (kanak-kanak) sudah kena (diabetes), dia rasa lain daripada kanak-kanak lain. Ini menyebabkan mereka merasa rendah diri sekaligus tidak mahu terlibat dalam apa-apa aktiviti di sekolah," katanya.

Melalui kem tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Pediatrik Hospital Putrajaya, kanak-kanak obesiti dan diabetes dikumpul untuk menjalani pelbagai aktiviti bagi meningkatkan pengetahuan mereka terhadap diabetes dan cara penjagaannya.

Antara pesertanya ialah Muhammad Hafizuddin Abu Hasan, 15, yang terkejut apabila mengetahui dia menghidap diabetes tiga tahun lepas sedangkan dia dikatakan tidak mempunyai keluarga yang menghidapnya.

"Masa itu saya selalu rasa pening dab cepat penat. Bila saya dibawa untuk pemeriksaan doktor, saya terkejut apabila diberitahu mengenainya," katanya yang tidak mempunyai masalah obesiti atau pemakanan.

Muhammad Hafizuddin yang perlu mendapatkan suntikan insulin setiap hari berkata diabetes yang dialaminya tidak menghalangnya untuk terus bersukan terutama sukan bola sepak yang menjadi kegemarannya.

Indran Kumren, 14, pula menghidap diabetes setahun yang lalu. Dia juga tidak mempunyai keturunan yang menghidap diabetes.

Dia memerlukan suntikan insulin dua kali sehari.

"Saya merasa malu pada peringkat awal. Namun kawan-kawan saya tidak pernah mengejek saya," katanya.

Bernama

Tiga Maut Kereta Bertembung Di Port Dickson



PORT DICKSON, 17 Julai (Bernama) -- Tiga maut manakala empat lagi cedera parah apabila dua buah kereta bertembung di Km 7.2, Jalan Linggi-Rantau dekat sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baljeet Singh berkata kejadian itu berlaku kira-kira 2.40 petang membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah kereta Proton Satria Neo.

"Pemandu kereta Proton Saga, Ibrahim Bachik, 68, dan isterinya Zainab Long, 64, maut di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

Katanya pemandu kereta Proton Satria Neo, Mohd Halit Ibrahim, 55, meninggal dunia ketika dibawa ke HTJS manakala isterinya Rosella Abdullah, 40, dan anak mereka Nor Mohammad Fadli, 24, serta anak tiri Mohd Halit, Nor Ashima Yahya, 20, dan menantu mereka Hazlijam Hashim, 25, cedera parah dan dimasukkan ke HTJS.

Baljeet berkata kejadian berlaku ketika kereta Proton Saga itu sedang dalam perjalanan menghala ke Rantau apabila dikatakan gagal memotong sebuah kereta lain, lalu bertembung dengan kereta Proton Satria Neo yang datang dari arah bertentangan.

-- BERNAMA

17 July 2010

1 Ogos: Pemilik kenderaan asing tak boleh beli RON95

Bermula 1 Ogos ini, pemilik kenderaan asing tidak lagi dibenarkan membeli petrol RON 95 di stesen-stesen minyak di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilik kenderaan tersebut hanya dibenarkan membeli petrol RON 97 yang diapungkan secara terkawal melalui penyelarasan subsidi yang diumumkan kerajaan.
"Pelaksanaan ini adalah sesuai dengan dasar kerajaan yang mana subsidi hanya untuk rakyat Malaysia dan bukan kepada pemilik kenderaan asing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Koperasi Negara yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuantan hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan subsidi petrol RON 95 dan diesel dikurangkan lima sen manakala petroleum gas cecair (LPG) dikurangkan 10 sen sekilogram berkuatkuasa hari ini.

Petrol RON 97 pula tidak lagi diberikan subsidi dan harga akan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penyelarasan subsidi itu tidak sepatutnya memberi kesan kepada harga barangan pada masa ini.

Beliau berkata, kenaikan bahan terbabit adalah kecil dan pihaknya telah melakukan kajian terhadap kos yang terpaksa ditanggung peniaga.

"Contohnya harga teh tarik, dengan kenaikan gula sebanyak 25 sen sekilogram ini, kenaikan kos adalah sebanyak 1.2 sen sahaja, tidak ada sebab kalau kedai-kedai teh tarik mahu menaikkan harga di antara 10 hingga 20 sen," katanya.

Justeru, katanya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengeluar, pemborong dan peruncit Isnin ini dalam mendapatkan komitmen mereka supaya tidak menaikkan harga barangan.

Selain itu, katanya, kementeriannya juga akan menggerakkan 1,600 pemantau harga dan 2,000 pegawai penguatkuasa di seluruh negara bagi memastikan tiada berlaku kenaikan harga barangan.

Beliau turut meminta para pengguna memaklumkan segera kepada pihaknya jika terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati untuk tindakan lanjut.

- Bernama

5,936 laporan rasuah tahun lepas

Orang ramai perlu tampil dan membantu memerangi amalan rasuah bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Katanya semua usaha memerangi rasuah hanya akan tercapai jika ada kesedaran yang berterusan dengan disertai sokongan masyarakat.

Sambil menyatakan keyakinan bahawa "kita boleh lakukannya bersama", beliau berkata bahawa "perubahan mesti bermula dari sekarang dan ia perlu bermula dari
kalangan kita.
Ia perlu bermula dengan memerangi rasuah dan bukan dengan "menentang" SPRM, yang diamanahkan dengan tanggungjawab yang mulia untuk memerangi rasuah," katanya dalam laporan tahunan SPRM 2009.

Abu Kassim berkata SPRM membuka sejumlah 939 kertas siasatan tahun lepas daripada 5,936 laporan maklumat yang diterima.

Mengenai kertas siasatan, 633 atau 67.4 peratus telah diselesaikan, kebanyakannya dalam tempoh enam bulan siasatan.

Abu Kassim berkata pada tahun lepas, 500 orang ditangkap kerana amalan rasuah dan 176 didakwa di mahkamah.

Beliau mendedahkan bahawa kadar sabitan di mahkamah rendah adalah 64.4 peratus. Kadar sabitan bagi kes-kes rayuan di Mahkamah Tinggi adalah 65.8
peratus manakala di Mahkamah Rayuan adalah 86.2 peratus kes.

Abu Kassim juga berkata bahawa 88.9 peratus kes yang membabitkan penyitaan harta adalah menyebelahi SPRM.

SPRM juga mendapat kebenaran untuk mengambil 2,620 kakitangan termasuk 1,839 pegawai dan 781 lagi sebagai kakitangan biasa.

Daripada jumlah itu, 1,382 atau 75.1 peratus daripada jawatan pegawai telah dapat diisi tahun lalu.

Sementara itu, Lembaga Penasihat Anti Rasuah berkata SPRM telah menunjukkan prestasi cemerlang walaupun berdepan dengan suasana yang mencabar.

Menjelang akhir 2009, ia secara berperingkat-peringkat menunjukkan perubahan yang baik dan meyakinkan dan ini dapat dibezakan daripada peningkatan signifikan
dalam penangkapan ahli politik (23) dan pendakwaan terhadap ahli politik (15) tahun lepas.

Lembaga itu yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad, juga mencatatkan peningkatan dalam penangkapan orang awam yang memberi rasuah
kepada pegawai awam (108) dan individu yang berprofil tinggi -- 31 pegawai kanan dari sektor awam dan 65 pegawai eksekutif di sektor swasta -- juga ditangkap.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, satu badan yang diketuai Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata ia berharap SPRM akan memberi
perhatian bagi kes-kes kepentingan awam dan berprofil tinggi.

SPRM juga mesti bertindak "tanpa rasa takut dan memihak" dalam usahanya memerangi rasuah, katanya.

Jawatankuasa itu juga menasihatkan SPRM untuk menghebahkan usaha anti-rasuahnya agar ia dapat memperbaiki persepsi di kalangan orang awam.

--Bernama

16 July 2010

Harga teh tarik naik 1.25 sen?


Harga bagi teh tarik - minuman paling popular di Malaysia, sepatutnya hanya naik 1.25 sen segelas berikutan pengurangan subsidi harga gula sebanyak 25 sen.

Harga baru teh tarik itu mengambil kira kesan pengurangan subsidi minyak dan pelarasan harga semasa iaitu RM1.0155.
"Ini adalah anggaran sahaja - perubahan harga mungkin berbeza berdasarkan faktor lain," kata kenyataan mengenai rasionalisasi subsidi Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan itu berkata kesan pengurangan subsidi terhadap teh tarik ialah RM0.0030, manakala untuk barangan lain ia lebih rendah, seperti RM0.0024 untuk sekeping roti canai, RM0.0060 untuk beras, RM0.0630 untuk daging dan RM0.0105 untuk mi goreng.

Kerajaan hari ini mengumumkan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa esok.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Kenyataan itu turut memberi perbandingan harga minyak di rantau ini yang menunjukkan harga petrol di Malaysia adalah paling murah, iaitu RM1.85 untuk RON95 berbanding Thailand (RM4.12), Indonesia (RM2.48) dan Filipina (RM6.60).

Harga baru gula di Malaysia iaitu RM1.90 juga adalah jauh lebih murah dari Thailand RM2.60, Indonesia (RM3.68) dan Filipina (RM3.46).

Harga gula yang murah di Malaysia itu telah menyumbang kepada peningkatan masalah penyeludupan. Pihak berkuasa merampas lebih 200 metrik tan gula dalam 109 tangkapan berhubung kes penyeludupan pada 2009, dan pada 2008, dianggarkan RM628 juta minyak diesel subsidi untuk nelayan, dinikmati rakyat asing.

Sumber Bernama

15 July 2010

Harga petrol, diesel, gula dan gas naik


Harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.
Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.

Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok.

Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010.

Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.

Berikut adalah harga baru:

* Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
* Diesel - RM1.75 seliter.
* Gula - RM1.70 sekilogram
* Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)

* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)

* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.

Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.

Buruh di penjara angkara rogol budak bawah umur


KOTA BHARU- Mahkamah Sesyen di sini semalam menyaksikan seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan dikenakan 14 sebatan setelah didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama serta hukuman 14 tahun penjara dan tujuh sebatan bagi pertuduhan kedua terhadap tertuduh, 42, dari Kampung Limbat, Kubang Kerian.


Rofiah turut mengarahkan hukuman penjara untuk tempoh berkenaan berjalan secara serentak berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan iaitu semalam.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, tertuduh didakwa merogol seorang perempuan Melayu berusia 12 tahun tujuh bulan pada 20 September 2003.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Likong, Limbat dekat Kubang Kerian kira-kira jam 12 tengah hari.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa merogol mangsa yang sama di rumah yang sama pada awal bulan Disember 2003 kira-kira jam 10 malam.

Atas kesalahan itu, dia didapati melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Nuffnag ads