11 July 2013

Peniaga bazar Ramadan diingatkan pamer harga

SHAH ALAM - Peniaga bazar Ramadan di Selangor diingatkan supaya mempamer tanda harga di gerai mereka bagi memudahkan pengguna selain mengelak berlaku kekeliruan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor Azizan Ariffin berkata mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.


"Untuk tempoh dua hingga tiga hari ini pegawai kami akan melakukan pemantauan termasuk seperti hari ini kita mengedarkan notis pemberitahuan kepada peniaga yang tidak meletakkan tanda harga supaya berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam Seksyen 13 di sini, hari ini.
Beliau berkata peniaga yang gagal mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Azizan berkata pihaknya juga menempatkan beberapa pegawai di bazar Ramadan tertentu bagi memastikan peniaga mematuhi arahan selain mengekang perbuatan menjual barangan larangan seperti mercun dan bunga api misalnya.

Ditanya mengenai harga jualan di bazar Stadium Shah Alam yang menempatkan lebih 300 peniaga itu, beliau berkata secara keseluruhannya memuaskan dan sesuai dengan jenis juadah yang dijual.

"Di sini semuanya memuaskan dan mengenai tanda harga hanya sebilangan kecil yang masih tidak mempamerkannya," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias yang turut menyertai pemeriksaan berkenaan, berkata peniaga bazar Ramadan di seluruh Selangor juga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kebersihan.

"Kita faham ada peniaga yang hanya berniaga di bulan Ramadan, namun mereka kena mempraktikkan etika perniagaan yang sepatutnya dari semua aspek terutama kebersihan dan ketelusan," katanya. - Bernama

Nuffnag ads