17 May 2011

'Pihak dakwa Kelantan rampas tanah akan disaman'


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media dan pihak yang menuduh kerajaan PAS Kelantan merampas tanah rakyat bagi membangunkan projek Ladang Rakyat.
Beliau, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata hakikatnya kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merampas tanah dan kerajaan hanya membangunkan projek ladang rakyat itu di atas tanah kerajaan negeri.

"Kami mana boleh ambil tanah rakyat. Tanah Rakyat adalah tanah yang ada geran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program hari himpunan anggota koperasi peserta Ladang Rakyat Negeri Kelantan Berhad, di Tumpat, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan ratusan anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Kelantan yang mengadakan perhimpunan bagi membantah berhubung dakwaan penyelewengan projek ladang rakyat di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim di Kota Bharu.

Perhimpunan yang berlangsung selama sejam itu bermula pada pukul 9.30 pagi disertai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri Kelantan, Belia 4B dan Pemuda Umno Kelantan dan penduduk Orang Asli di Gua Musang yang mendakwa kehilangan tanah mereka akibat projek itu.

Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak menghalang jika ada pihak mengadakan demonstrasi tetapi kesal dengan fitnah yang dibuat oleh mereka yang berdemonstrasi kononnya kerajaan merampas tanah rakyat.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yacob menjelaskan sehingga kini 50,000 hektar tanah di negeri Kelantan telah dibangunkan untuk projek ladang rakyat.

"Projek itu melibatkan 4,500 peserta dengan 10 buah syarikat dilantik untuk membangunkan kawasan projek itu dan hasil keluaran ladang rakyat sejak 2006 sehingga sekarang adalah RM49 juta," katanya.

- Bernama

04 May 2011

Nik Aziz doakan rahmat, keampunan pada Osama


Datuk Nik Aziz Nik Mat menganggap pihak yang menyifatkan dunia lebih selamat dengan kematian Osama Laden sebagai tidak cermat dan "bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika".

"Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?" soal menteri besar Kelantan itu.

Kenyataan Nik Aziz itu dipercayai cuba 'menyiku' Najib yang semalam dilaporkan berkata dunia akan lebih selamat dan aman dengan kamatian pemimpin al-Qaeda itu.

Perdana menteri juga dilaporkan berkata kematian Osama adalah juga satu pengajaran bahawa keganasan tidak membuahkan sesuatu kebaikan sebaliknya membawa kemudaratan kepada semua pihak.

Nik Aziz bekata, jika benar Osama dibunuh oleh Amerika Syarikat semalam, sebagai seorang Islam beliau perlu mendoakan rahmat dan keampunan saudara seagamanya itu.

"Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya.

Amerika juga pengganas

"Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslim yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Mursyidul am PAS itu bagaimanapun menyerahkan kepada Allah berhubung dakwaan keterlibatan Osama dengan keganasan kerana ia disebarkan melalui propaganda yang dipelopori Amerika Syarikat.

"Jika benar beliau terlibat dengan kegananasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.

"Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti," katanya.

Nik Aziz sebaliknya menyelar Amerika Syarikat yang melancarkan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq sebelum ini untuk mencari senjata pemusnah yang tidak dijumpai sehingga ke hari ini.

"Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin? Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel.

"Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas," tegasnya. -Berita Malaysiakini

Nuffnag ads