30 December 2010

SESI ORIENTASI DAN PENDAFTARAN MURID 2011


Dimaklumkan bahawa esok, 31 Disember 2010 (Jumaat) merupakan Cuti Umum sempena kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF. Memandangkan persiapan awal telah dibuat oleh banyak sekolah untuk sesi orientasi dan pendaftaran murid pada hari esok sebagai persediaan sesi persekolahan 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyarankan supaya aktiviti tersebut diteruskan demi kepentingan pelajaran dan kemudahan ibu bapa.

PM: Jumaat diisytiharkan cuti umum, Malaysia juara Piala AFF-Suzuki 2010


Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lewat malam semalam mengisytiharkan 31 Disember sebagai cuti umum. Dalam kenyataannya kepada Bernama itu, beliau mengisytiharkan cuti umum berkenaan bagi meraikan kemenangan pertama Malaysia dalam sejarah 14 tahun dengan Malaysia menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala AFF-Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia malam tadi.
Sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali berpeluang melangkah ke perlawanan akhir iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger pada 1996. Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan itu disempurnakan pemain negara Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-53 dalam perlawanan timbal balik berkenaan.

Gol berkenaan memberikan kemenangan kepada negara setelah perlawanan akhir pertama menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan keputusan 3-0 pada 26 Disember lalu.

Indonesia kemudiannya memperolehi satu gol melalui pemainnya Mohammad Nasuha pada minit ke-71.

Satu lagi gol diperolehi Indonesia pada minit ke-87.

29 December 2010

PELAKSANAAN LORONG KHAS BAS SECARA PERCUBAAN DI PUTRAJAYA


Perbadanan Putrajaya akan melaksanakan lorong khas bas secara percubaan di Putrajaya seperti berikut:

Tarikh : 20 Disember hingga 14 Januari 2011

Masa : 7.00 pagi - 8.30 pagi (Isnin - Jumaat)

Lokasi : Lebuh Perdana Barat dan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

28 December 2010

2010 dalam ingatan: Jenayah paling ngeri dalam sejarah negara.


Pembunuhan kejam dan ganas yang melangkaui pemikiran waras manusia normal hangat diperkatakan sepanjang tahun ini.

Berikut adalah antara episod tragis yang juga dianggap antara perlakuan jenayah paling ngeri dalam sejarah negara.
Pembunuhan Sosilawati Lawiya

* 30 Ogos - Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi terdiri daripada pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38; dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang selepas ke Banting, Selangor atas urusan pembelian tanah.

* 9 dan 10 September - Polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun termasuk dua peguam adik beradik dan pekerja Ladang Gadong, Jalan Tanjung Sepat, Morib.

* 12 September - Polis mengesahkan Sosilawati dan tiga yang lain menjadi mangsa pembunuhan kejam di Ladang Gadong. Siasatan lanjut mendapati selepas dibunuh, mayat mereka dibakar manakala abu dibuang ke sebatang sungai berhampiran.

* 15 Oktober - Dua daripada suspek dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok atas tuduhan melupuskan bahan bukti dengan membakar mayat dan membuang abu keempat-empat mangsa.

Pembunuhan di Gemencheh

* 5 Januari - Rasidi Ismail, 34, membunuh adik perempuan, bapa, datuk dan neneknya di kediaman keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan.

- Mayat Atan Daud, 90, dan isterinya Sutiah Katas, 80, Ismail Awang, 76, dan
Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui sama ada dipenggal, ditikam atau anggota mereka putus dalam serangan ganas menggunakan parang.

- Rasidi memenggal kepala Ismail sebelum menanamnya di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

* 7 September - Rasidi dibebaskan daripada pertuduhan membunuh empat anggota keluarganya setelah didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan itu.

Dera kanak-kanak sehingga mati

* 25 Februari - Syafiah Humaira Sahari, 3, didera dengan tendangan dan pijakan menggunakan kasut bola oleh teman lelaki ibunya Mohd Fazli Azri Jamil sehingga menyebabkan kematiannya di Ulu Yam Lama, Batang Kali.

- Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek.

* 22 September - Mohd Fazli dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

* 4 Mac - K Haresvarran, 18 bulan, dipijak yang menyebabkan tulang rusuknya retak selain hatinya pecah ketika berada di taman permainan di Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya.

- Kanak-kanak malang itu dipercayai didera oleh suami kepada bekas penjaganya yang merupakan seorang kelindan lori berusia 33 tahun di sebuah taman permainan di Pangsapuri Seri Ara, Damansara.

Pembunuhan Siti Mazni Abdul Rahman

* 17 Disember - seorang gadis tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah, Siti Mazni Abdul Rahman,14, ditemui mati di ladang kelapa sawit yang terletak 150 meter dari rumahnya di Batu Pahat, Johor.

- Mayatnya ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya disorok di bawah timbunan daun-daun kelapa sawit di ladang berkenaan.

- Siti Mazni dilaporkan hilang dua hari sebelum itu apabila dia tidak pulang ke rumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, yang dia keluar untuk berjumpa dengan rakan-rakannya.

* 19 Disember - Lima orang termasuk empat pelajar ditahan berkaitan kejadian itu.

--Bernama

Peristiwa 2010 dalam ingatan.....


Dunia: Peristiwa 2010 dalam ingatan....


27 December 2010

PUTRAJAYA TREASURE HUNT 2011 (PTH2010)


MAKLUMAT

PUTRAJAYA TREASURE HUNT 2011 (PTH2010) adalah gabungan di antara “Amazing Race” dan “Treasure Hunt”. Para peserta akan mengharungi beberapa jenis cabaran di samping menyelesaikan soalan-soalan treasure hunt yang berbentuk teka-teki berdasarkan kepada panduan-panduan yang akan diberikan.

Tarikh : Sabtu, 15 Januari 2011
Lokasi : Putrajaya
Sesi Taklimat : Khamis, 13 Januari 2011
Masa & Tempat : 6.00 pm – Perbadanan Putrajaya
: Seorang peserta dari setiap pasukan wajib menghadiri sesi taklimat ini
Lain-lain : Lain-lain maklumat berkenaan acara ini akan diberitahu semasa sesi taklimat


SYARAT PENYERTAAN

Jumlah peserta untuk setiap pasukan mestilah tidak kurang dari tiga (3) dan tidak melebihi empat (4) orang. Pemandu setiap pasukan mestilah mempunyai Lesen memandu yang sah dan masih belum tamat tempoh.

YURAN PENYERTAAN & KAEDAH BAYARAN

Yuran penyertaan sebanyak RM300.00 satu pasukan boleh dijelaskan melalui kaedah berikut :
i) INTERNET BANKING – BILL PAYMENT
Maybank - Maybank2u, Cimb - CimbClicks, Bank Islam - Bank Islam Online, Ambank - AmOnline
** isikan bahagian BILL ACC NO/ ACC. NO dengan “TREASURE”
** cetak resit daripada website bank berkenaan dan fakskan bersama borang penyertaan

ii) DEPOSIT KE AKAUN BANK PPj ATAS NAMA PERBADANAN PUTRAJAYA
Bank : Maybank (Cawangan Putrajaya)
No Akaun : 566 010 601 600
Sila isikan Butiran Bayaran/ Reference dengan: PUTRAJAYA TREASURE HUNT 2011
** sila depositkan bayaran di kaunter juruwang kerana Butiran Bayaran/ Reference tidak terdapat di Mesin Deposit Tunai
** fakskan slip bayaran bersama borang penyertaan

iii) PEMBAYARAN DI KAUNTER BAYARAN, PUSAT KHIDMAT PELANGGAN PPj
Tunai / Cek/ Draf Bank/ Wang Pos/ Kad Kredit dengan membawa bersama borang penyertaan.

Sila faks borang penyertaan bersama bukti/ slip bayaran ke nombor: 603-88875013. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Kheirul Nazib Mahmud di nombor 014-7184908 atau email ke krollnazib@gmail.com.

Setiap peserta akan mendapat sehelai round neck T-shirt rasmi pertandingan, goodies bag dan jamuan ringan semasa acara pembentangan jawapan dan penyampaian hadiah.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 10hb Januari 2011. Pihak penganjur berhak menolak penyertaan yang dihantar lewat.

HAK PENGANJURAN

Pihak penganjur berhak untuk meminda tarikh atau membatalkan penganjuran acara di atas sebab-sebab yang dirasakan perlu. Dalam situasi tersebut, semua yuran penyertaan akan dikembalikan secara penuh.

HADIAH PERTANDINGAN

Hadiah wang tunai lebih dari RM20,000.00 menanti para pemenang disamping hadiah-hadiah sampingan dan cabutan bertuah. Hadiah-hadiah istimewa untuk pasukan Novice terbaik juga akan disediakan. Hadiah utama pertandingan adalah seperti di bawah;

Kedudukan Hadiah
Juara RM5,000.00
Naib Juara RM4,000.00
Ke-Tiga RM3,000.00
Ke-Empat RM2,000.00
Ke-Lima RM1,000.00
Ke-Enam hingga ke-Sepuluh RM500.00


PERINGATAN

Setiap peserta diwajibkan mematuhi semua peraturan dan undang-undang jalan raya disepanjang tempoh acara berlangsung. Pihak penganjur berhak membatalkan penyertaan mana-mana pasukan yang melanggar mana-mana peraturan dan undang-undang jalanraya.


25 December 2010

Talian hotline polis KL


Polis Kontinjen Kuala Lumpur mengeluarkan senarai talian hotline yang boleh dihubungi orang ramai.

Talian bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ialah 03-26977099, IPD Brickfields (03-90571086), IPD Cheras (03-92840083), IPD Sentul (03-62562325) dan IPD Putrajaya (03-88862144).


Bagi Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur (IPKKL) sendiri, orang ramai boleh menghubungi talian Hotline IPKKL di 03-21159999 yang beroperasi 24 jam.

Talian-talian tersebut membolehkan orang ramai menghubungi polis Kuala Lumpur dengan segera, demikian menurut IPKKL.

24 December 2010

Mahfuz persoal swasta kendali 6 juta saman ekor


Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mempersoal bentuk saman ekor yang baru dengan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta.
Katanya, dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, timbalan menteri pengangkutan menjelaskan, urusan itu akan dikendalikan oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd.

"Ia bukan dikendalikan oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) atau polis. Betul kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa peruntukan, (kerana) mesin, kamera dan semuanya akan disediakan oleh dua syarikat ini.

"Tetapi syarikat ini akan mendapat habuan mereka daripada jumlah saman yang dikeluarkan," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu itu hari ini.

Menurut sistem ini, AES - sistem penggunaan kamera - akan mengambil gambar kenderaan yang melakukan kesalahan, memprosesnya dan kemudiannya mengeluar dan menghantar saman kepada pesalah trafik.

Mahfuz berkata enam juta saman yang dikeluarkan, seperti disebut dalam parlimen baru-baru ini, sejumlah 35 peratus hasilnya akan diperolehi oleh kedua-dua syarikat tersebut.

"Itu baru enam juta saman, (berapa) kalau 10 hingga 14 juta saman. Maknanya, saya tidak nampak bagaimana hendak mendidik rakyat (untuk) mencapai 'zero' saman.

"(Maknanya) saman mesti kena ada, kalau tidak, syarikat itu akan rugi lah. Dia pasang kamera, tapi tak dapat habuan untuk dia (syarikat itu)," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan memberikan kontrak pengendalian kepada Beta Tegap dan Commercial Circle sebelum pindaan RUU itu diluluskan.

Mahfuz yang juga naib presiden PAS, turut mempertikaikan masalah saman ekor yang dikekalkan dalam pindaan undang-undang itu terutama sekali kepada pesalah trafik yang telah disenaraihitam.

"Walaupun mahkamah memutuskan tidak boleh disenaraihitam, tetapi akta ini, masih mengekalkan penyenaraihitam," katanya sambil mendakwa amalan itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan berhubung kebebasan menggunakan harta milik sendiri. -Malaysiakini bm

23 December 2010

Rakyat M'sia didakwa di Sydney miliki dadah A$14j


Seorang rakyat Malaysia dihadapkan ke mahkamah di Sydney atas pertuduhan memiliki dadah sintetik "ice" bernilai A$14.4 juta dan mengendalikan urusan jual-beli dadah itu.
Kok Loong Wong, 35, dijadual hadir di mahkamah yang sama pada 16 Februari, menurut laporan Australian Associated Press.

Pemeriksaan rutin oleh polis persekutuan di rumah suspek di barat Sydney berjaya menemui 90kg "ice", rampasan ketujuh terbesar dadah dalam sejarah Australia.

Polis berkata nilai dadah itu di pasaran dianggarkan A$14.4 juta.

Wang tunai kira-kira A$500,000, dikatakan hasil daripada urusan jual-beli dadah itu turut dirampas dalam serbuan itu.

Pegawai Kanan Polis Persekutuan Australia, Komander David Stewart memberitahu pemberita, polis telah mengawasi Wong sudah agak lama dan polis tidak menyangka akan menemui dadah pada jumlah yang begitu besar.

Hasil pemeriksaan di dalam enam kotak telefon bimbit yang dibawa Wong, polis menemui kira-kira A$300,000 dan sejumlah kecil ice.

Selepas ditahan, Wong membawa polis ke apartmen dua biliknya di Blairmount, dekat Campbelltown dan dalam satu daripada bilik itu, polis mendakwa menemui 90kg ice yang diisi dalam empat beg dan wang tunai A$120,000.

Stewart berkata dadah itu kemungkinan diimport dan bakal dijual melalui rangkaian pengedaran dan percaya Wong "orang penting" dalam pengedaran itu.

Dokumen mahkamah menunjukkan Wong, yang mengakui dirinya sebagai pelajar hanya tiba di Australia pada Ogos. Menurut dokumen, dia tidak mempunyai kawan atau keluarga di Australia.

Semasa prosiding di mahkamah, Wong menggunakan jurubahasa Mandarin.

- Bernama

21 December 2010

Putrajaya AGROBAZAAR 2010


Senarai Nama Mangsa Kemalangan Bas Di Simpang Pulai


IPOH, 20 Dis (Bernama) -- Pihak polis setakat ini mengeluarkan senarai nama dua rakyat Malaysia dan 25 rakyat Thailand daripada 27 orang kesemuanya yang terbunuh dalam kemalangan di Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada pukul 11.40 pagi Isnin.
1. Omar Shahidan, 48, pemandu, rakyat Malaysia

2. Soontorn a/l Kian, 38, (pemandu pelancong lelaki keturunan Siam Malaysia)

3. Charcart Knagsuwan, 48, (lelaki)

4. Thanvaraj Poolsang, 36, (perempuan)

5. Nutthiya Inyyim, 50, (perempuan)

6. Poonporn poolsaene, 41, (lelaki)

7. Sumruay Swatphet, 48, (lelaki)

8. Putharee Akkrarachaw Wanont, 42, (perempuan)

9. Ponethanest Akkrarachaw Wanont, 45, (lelaki)

10. Suchanchida Chaiaueai, 40, (perempuan)

11. Sriwai Swatphet, 42, (perempuan)

12. Prinya Prassakulchai, 48, (perempuan)

13. Chutima Throukool, 25, (perempuan)

14. Thitisak Pongtanarat, 51, (lelaki)

15. Junpen Pongtanarat, 50, (perempuan)

16. Phayong Kruanjinli, 59, (lelaki)

17. Ekachai Na Bangxang, 64, (lelaki)

18. Mantana Phromduag, 51, (perempuan)

19. Rungnada Klungsawan (perempuan)

20. Darunee Songserm (perempuan)

21. Isariya Thiangtham, 25, (perempuan)

22. Ampaiwan Thiangtham, 50 (perempuan)

23. Maliwan Mekmahaprom, 53, (perempuan)

24. Achara Wiwat, 36, (perempuan)

25. Natkritta Poolsaeng, 6, (perempuan)

26. Weera Chuntanagon, (lelaki)

27. Areena Songserm (perempuan)

-- BERNAMA

27 terbunuh kemalangan bas di Simpang Pulai

Dua puluh tujuh orang, kebanyakannya pelancong dari Thailand, terbunuh selepas sebuah bas persiaran yang membawa pelancong negara itu, terlibat dalam kemalangan di Km 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai jam 11.40 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Katanya, bas dua tingkat itu milik syarikat San Express Holiday yang beribu pejabat di Jitra, Kedah, membawa 37 pelancong Thai manakala pemandu, pembantu pemandu dan pemandu pelancong adalah rakyat Malaysia.

Zakaria memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat.

Katanya, ketika kejadian, bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di longkang.

Menurutnya, identiti dan jantina mangsa yang terbunuh belum dikenal pasti.

--Bernama

20 December 2010

SPR umum tarikh p'raya kecil DUN Tenang 24 Dis


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor, Jumaat ini.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata pihaknya telah menerima notis berhubung kekosongan kerusi DUN itu selepas dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor pada 17 Disember lepas.

"SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan pilihan raya kecil DUN Tenang pada 24 Dis di ibu pejabat SPR di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerusi DUN Tenang dalam kawasan Parlimen Labis, kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada pukul 1.10 pagi.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

- Bernama

Bekas timbalan ketua pengarah dipenjara 6 tahun


Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Yusof Abu Bakar, 56, hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau didapati bersalah terhadap 14 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 pada 2008.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Pada 14 Okt 2008, Yusof didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

Semua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.

Skim Kawalan Harga Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas (SKHMP KMS) 2010


YBM telah mengumumkan harga maksimum borong dan runcit Skim Kawalan Harga Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas (SKHMP KMS) 2010 pada hari jumaat 17 Disember 2010 di KPDNKK Putrajaya.

Sebanyak 14 jenis barang diwartakan sebagai barang harga terkawal SKHMP KMS 2010.

Tempoh kuat kuasa SKHMP KMS 2010 adalah 23 hingga 27 Disember 2010 (5 hari).

Penggunaan tanda harga khas berwarna merah jambu masih diteruskan bagi barang harga terkawal.

Daging paha kambing biri-biri import bertulang adalah barang baru ditambah pada skim ini. Senarai harga maksimum tersebut boleh dicapai melalui laman web kementerian.

Senarai Barang Harga Terkawal
Skim Kawalan Harga Musim Perayaan
Krismas 2010


1) Ayam hidup

2) Ayam standard (yang disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal)

3) Ayam super (yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

4) Ayam belanda import

5) Daging kerbau import (India)

6) Daging kambing tempatan

7) Daging kambing biri-biri import bertulang

8) Daging kambing biri-biri import tanpa tulang (tidak termasuk daging paha)

9) Daging paha kambing biri-biri import bertulang

10) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram dan 69.9 gram sebiji)

11) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram dan 64.9 gram sebiji)

12) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram dan 59.9 gram sebiji)

13) Tomato

14) Cili benggala hijau / capsicum

17 December 2010

"KEMPEN HARI SABTU TANPA BEG PLASTIK" di Seluruh Negara.


ADUN Tenang, Sulaiman Taha meninggal dunia


ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada jam 1.10 awal pagi ini. Allahyarham berusia 59 tahun.

Allahyarham meninggalkan isteri Seri Noraini Yaakop, 6 anak perempuan dan seorang lelaki.

Menurut Umno Online, Allahyarham diirawat di Hospital Ampang Puteri kerana penyakit kencing manis sejak 24 November lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menjalani rawatan lanjut.
Sebelum ini, dilaporkan Allahhyarham yang juga ketua Umno Labis dimasukkan ke Hospital Segamat selepas mengadu tidak sihat dan terlantar hampir sebulan.

Pada 24 November lalu, Allayarham memohon dipindahkan ke hospital swasata di ibu negara itu.

Tenang dilihat sebagai kubu kuat Umno dan pada pilihan raya umum 2008, apabila Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.
Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 49.66 peratus pengundi Melayu, manakala Cina 38.13 peratus, India 12.11 peratus dan bangsa-bangsa lain 0.10 peratus.

Awal petang semalam, Bernama memetik setiausaha Umno Labis, Abdul Razak Abdul Rashid, sebagai berkata Sulaiman dirawat di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan dalam keadaan stabil.

Katanya, Sulaiman, 59, menghidap demam biasa sekembalinya daripada menghadiri majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada petang 23 November dan dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat pada hari yang sama setelah doktor mendapati kadar kandungan gula dalam badannya tinggi.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri pada hari berikutnya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menjalani rawatan selanjutnya.

Abdul Razak berkata beliau difahamkan oleh pihak hospital keadaan Sulaiman adalah stabil namun perlu menjalani rawatan lanjut kerana disyaki terdapat kuman dalam darahnya.

16 December 2010

Hanafi mengaku masih presiden AKIM


Hanafi Hamat tetap menganggap dirinya sebagai presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang sah walaupun ada pihak lain mendakwa diri mereka presiden AKIM.
Sebelum ini Bernama melaporkan Pengarah ROS Kelantan, Wan Rahimah Wan Hamat mengesahkan Hanapi kekal menjadi presiden parti AKIM berikutan kemelut perebutan pihak lain terhadap jawatan itu sehingga menjejaskan penubuhan parti berkenaan.

Sehubungan itu, Hanafi berkata beliau tidak mengiktiraf atau bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penukaran nama baru bagi parti itu iaitu Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), seperti yang diputuskan dalam mesyuarat penubuhannya, di Kuala Lumpur hari ini.

AKIM merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu mempunyai prinsip perjuangannya yang tersendiri untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh negara, katanya kepada Bernama di sini.

Hanafi mengulas laporan sebuah portal berita mengenai bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang dilaporkan menerajui parti KITA yang ditukarkan namanya daripada AKIM dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan Akim di Kuala Lumpur.

Zaid, yang juga bekas ahli Parlimen Kota Bharu, juga dilaporkan sebagai berkata parti baru yang diterajuinya itu tidak akan menyertai pakatan
pembangkang.

Hanafi berkata mereka yang cuba menukar nama parti itu kepada nama baru, seolah-olah mencabul hak AKIM sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Ini sebagaimana terkandung dalam perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Mereka yang cuba menghidupkan AKIM dengan nama lain, seolah-olah melelong parti itu kepada pihak lain untuk kepentingan peribadi mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab dengan tindak tanduk segelintir anggota AKIM yang terlibat dengan penubuhan parti KITA, bagi menggantikan nama asal AKIM serta berniat untuk menggulingkannya.

- Bernama

15 December 2010

Pakej Umrah & Pakej Melancong di KB Mall


Pakat mari KB Mall Kota Bharu belako... ada promosi akhir tahun Al Quds Travel Sdn Bhd. Harga jatuh mendadak.. Bermula pada 16, 17 dan 18 Disember 2010 mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pakej murah sungguh!

Pakej melancong semurah RM99!
...
Diskaun pakej Umrah sehingga RM999!

Layari laman web rasmi Al Quds Travel Sdn Bhd: http://alquds.com.my/

1 PUTRAJAYA INTER-PARK RIDE @ PROMENADE


Tarikh : 31 Disember 2010 (jumaat)
Masa : 8.00 malam - 11.00 malam
Lokasi : Jambatan Putra, Presint 1
Basikal: Bebas

14 December 2010

Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia gegar Putrajaya


PUTRAJAYA akan sekali lagi digegarkan dengan acara futsal terbesar selepas kejayaan Rentap Futsal Kosmo! Putrajaya pada Mei lalu.

Kali ini, Kompleks Futsal Putrajaya di Presint 18 akan menjadi pentas pusingan akhir Futsal 1Belia 1Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kejohanan yang diperkenalkan hasil inisiatif Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara KBS itu akan berlangsung di Kompleks Futsal Putrajaya, Presint 18 pada 17 hingga 19 Disember ini.
Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala naib juara pula menerima RM7,000 dan ketiga RM5,000.

Hadiah saguhati berupa hamper turut disediakan kepada pasukan yang menduduki tempat keempat dan kelima.

Selain itu, para pengunjung yang hadir juga akan dimeriahkan lagi dengan beberapa acara sampingan yang menarik sepanjang tiga hari kejohanan tersebut.

Antaranya ialah pertandingan mewarna dan melukis untuk kanak-kanak, muay Thai Fit Warrior, pertandingan tarian kecergasan, cabutan nombor bertuah, pertandingan gusti lengan serta persembahan daripada artis-artis tempatan. Datanglah beramai-ramai memeriahkan acara ini

Cut Tari mengaku seks dengan Ariel


BANDUNG - Pengacara popular, Cut Tari, 33, mengaku di sebuah mahkamah di sini semalam bahawa dia merupakan wanita yang disiarkan di dalam klip video seks penyanyi band Peterpan, Ariel.

"Dia mengaku bahawa dalam video itu adalah dirinya dengan Ariel. Benar dia melakukannya (hubungan seks) bersama Ariel," kata pendakwa raya, Rusmanto kepada pemberita selepas perbicaraan kes Ariel mengedarkan video lucah di sebuah mahkamah di Bandung.
Menurut Rusmanto, Cut Tari bagaimanapun tidak pasti mengenai tempat dan waktu dia melakukan perbuatan itu tetapi memberitahu bahawa ia berlaku sekitar 2005-2006.

Cut Tari yang mengaku masih menonton klip video itu juga memberitahu bahawa dia melakukan seks bersama Ariel di bawah katil sebanyak tiga kali, kata Rusmanto.

Setelah selesai perbicaraan, Cut Tari keluar dari kamar perbicaraan dan berkata kepada para pemberita: "Saya tetap konsisten dengan pendirian saya bahawa yang ada dalam video tersebut adalah saya. Tetapi, Ariel tetap mengaku bahawa yang ada dalam video tersebut bukan dirinya," kata Cut Tari.

Dia turut menjelaskan kenapa matanya kelihatan berair dengan berkata: "Di dalam sidang (perbicaraan) tadi, dia (peguam Ariel) mengorek-ngorek luka lama saya."

Dia yang ditemani suaminya, Johannes Joesoef Soebrata, meninggalkan pekarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam.

Dalam perkembangan sama, Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham masih tidak mengaku bahawa dia terlibat di dalam video lucah itu.

Itukan pendapat orang lain," kata Ariel ringkas kepada pemberita bagi mengulas pengakuan Cut Tari itu.

Peguam Ariel, Alfian Bonjol juga menyatakan bahawa Ariel menafikan bahawa dia adalah individu dalam klip video seks berkenaan.

"Anak guam saya menafikan dia adalah lelaki dalam klip video itu," kata Alfian kepada para pemberita.

Bagaimanapun, kekasih Ariel, Luna Maya, 27, yang juga seorang pengacara tidak hadir pada perbicaraan semalam dan pihak pendakwaan berusaha bagi memastikan kehadirannya pada perbicaraan pada minggu hadapan.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup.

Jika didapati bersalah mengedarkan klip video lucah, Ariel berdepan hukuman penjara 12 tahun dan denda hingga AS$672,000 (RM2.1 juta) kerana beberapa kesalahan termasuk menyebarkan pornografi di Internet.

Pemberita-pemberita tidak dibenarkan untuk berada di dalam bilik mahkamah.

Namun, mereka dibenarkan melihat sesi perbicaraan tersebut dari luar tingkap bilik mahkamah.

Pemberita-pemberita itu dapat melihat Cut Tari menonton salah satu klip video tersebut menerusi komputer riba.

Ariel yang ditahan di sebuah penjara di sini dituduh mengedarkan klip video lucah yang menampilkan seorang lelaki miripnya melakukan hubungan seks dengan Cut Tari dan kekasihnya, Luna Maya. - Agensi

13 December 2010

Kicap Manis Cap 'Kipas Udang' Tiruan Dirampas


SEREMBAN, 13 Dis (Bernama) -- Sebanyak 3,360 botol kicap manis tiruan yang menggunakan jenama 'Kipas Udang' bernilai hampir RM10,000 dirampas dalam operasi Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, hari ini.
Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong di Jalan Tuanku Antah di sini, kata Ketua Pengerusi PPDNKK Mohd Nor Musa.

"Kami mendapat aduan dari orang ramai menyebabkan kita membuat pemeriksaan di setor syarikat pemborong terbabit. Pemilik syarikat itu yang berusia 50-an bagaimanapun tidak mengetahui kicap itu adalah tiruan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata sampel daripada kicap tiruan itu akan dihantar ke makmal untuk melihat sama ada ia menggunakan bahan merbahaya atau tidak.

Terdapat perbezaan yang agak ketara di antara kicap tiruan itu dengan yang asli iaitu tulisan tamat tempoh penggunaan kicap tiruan itu tidak dicetak dengan laser sebaliknya menggunakan pencetak komputer biasa, katanya.

Beliau berkata pihaknya kini mengesan pembekal kicap itu dan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

-- BERNAMA

Tetap azam lanjut pelajaran walau cacat mata


KOTA BHARU: Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 20 tahun, berasal dari Kampung Kedai Lalat, dekat sini, tidak mahu kecacatan mata menjadi penghalang baginya melanjutkan pelajaran.

Pemuda yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Kampung Demit itu hilang mata kanannya akibat terkena kelongsong gas pemedih mata semasa berlaku rusuhan ketika perlawanan separuh akhir Piala FA antara Kelantan dengan Negri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed IV tahun lalu.
Bekas pelajar Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa itu bertekad akan melanjutkan pengajiannya sehingga mendapat diploma dalam jurusan Penyejukbekuan dan Selenggaraan Penyaman Udara.

'Saya tidak akan berputus asa daripada mencapai cita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya,' tegas beliau seperti ditulis di akhbar New Straits Times semalam.

'Saya sedar keluarga saya tidak dapat menanggung biaya kursus. Jadi saya akan mula mengumpul wang dari sekarang,' kata Huzaifah.

Anak bongsu daripada 12 adik-beradik itu meraih pendapatan sekitar RM650 sebulan daripada pekerjaannya sekarang.

Menurut beliau, keluarganya berpendapatan rendah dan tidak mampu hendak membiayai pelajaran beliau.

'Ibu saya, Kamariah Husin, 60 tahun, seorang ibu tunggal dan suri rumah, manakala adik-beradik saya yang lain sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga untuk disara.

'Tetapi ini tidak akan menghalang saya daripada melanjutkan pelajaran saya,' kata beliau, yang kini memakai mata palsu pada mata kanannya.

'Setiap dua jam saya perlu mengeluarkan mata palsu itu untuk direndam menggunakan air panas bagi mengelakkan bahagian mata bernanah akibat peluh,' jelasnya, yang berbuat begitu atas arahan doktor.

Setiap bulan, beliau terpaksa membayar RM100 hingga RM150 untuk membeli ubat khusus bagi penjagaan matanya itu.

Dalam rusuhan bola sepak itu, 16 orang, termasuk empat pelajar, ditahan polis untuk disoal siasat.

Tiga bulan selepas insiden itu, Encik Huzaifah menyaman kerajaan dan polis Malaysia dan menuntut ganti rugi RM10 juta kerana cuai.

Kes itu masih menunggu perbicaraan di mahkamah. Huzaifah berharap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kecacatan matanya dibawa ke muka pengadilan. -- BMM

Dedah siapa penyerang lepas sedar dari koma

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis yang koma selama sebulan sedar semula Rabu lalu.

Beliau kemudian memberi maklumat tentang orang yang menyerang- nya iaitu kekasih isterinya.

Ekoran maklumat itu, penyerang tersebut ditahan polis.

Menurut laporan, serangan berlaku selepas kedua-dua lelaki itu bertengkar dan kemudian berkelahi.
Pegawai polis berpangkat lans koperal dan berpangkalan di Balai Polis Gombak itu mendakwa beliau dihentak dengan kuat di kepalanya dan dibawa ke hospital oleh penyerangnya.

Pegawai polis itu dimasukkan ke Hospital Slim River pada 11 November lalu dan menjalani pembedahan kerana kecederaan di kepala.

Menurut sumber, isteri lans koperal yang berusia 27 tahun itu membuat laporan polis bulan lalu bahawa suaminya hilang sehari sebelum itu.

Beberapa hari selepas laporan dibuat, saudara lelaki polis yang hilang itu menerima panggilan telefon daripada seorang tidak dikenali yang mendakwa dia menculik lans koperal itu.

Pemanggil memberi amaran supaya keluarga mangsa tidak mencari pegawai polis berkenaan.

Menurut laporan, wanita yang kini menjadi isteri pegawai polis itu dipaksa berkahwin dengannya meskipun beliau mempunyai hubungan dengan penyerang berusia 27 tahun itu.

Lans koperal tersebut hanya mengetahui perkara itu selepas beliau mengahwini wanita berkenaan.

Sebaik saja lans koperal itu sedar Rabu lalu, kakitangan hospital menghubungi pihak polis.

Menyusuli dakwaan pegawai polis itu, isterinya dan kekasih isterinya diberkas polis di Selangor Jumaat lalu untuk disoal siasat.

Wanita itu ditahan di sebuah perhentian bas di Rawang, manakala kekasihnya ditahan di Kuala Kubu Baru.

Mereka ditahan reman hingga 17 Disember ini.

Ketua Polis Gombak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rahim Abdullah, mengesahkan kes itu yang dianggap masalah keluarga.

'Namun, polis membuka siasatan kerana kecederaan serius yang dialami lans koperal berkenaan,' katanya.

'Kami serahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindak selanjutnya,' tegas beliau.

10 December 2010

Piala Emas Raja-Raja, Kelantan lawan Kedah


KOTA BHARU – Skuad bola sepak Kelantan menjanjikan aksi permainan menarik semasa menghadapi Kedah dalam perlawanan akhir Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam esok.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, pertemuan dengan Kedah, mereka sememangnya tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai kehebatan pasukan masing-masing apatah lagi kedua-duanya pernah merasai nikmat berada di pentas final.

“Pertemuan dengan Kedah merupakan perlawanan yang menarik apabila kita muncul juara pada 2008 ketika menewaskan Pulau Pinang 4-0, sementara Kedah dikecewakan Perlis 0-2 pada edisi musim lalu dan kedua-dua pasukan memasang impian bergelar juara pada edisi kali ini.

“Apa yang dapat saya simpulkan, kita akan menurunkan barisan terkuat bagi mengekang asakan pemain Kedah, lebih melegakan, semua pemain bebas daripada digantung perlawanan dan juga masalah kecederaan. Pasukan yang meminimumkan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang terhidang bakal bergelar juara dalam perlawanan ini,” katanya sambil menambah, Khairan Eruan Razali yang sebelum ini mengalami kecederaan juga telah kembali menjalani latihan, ketika dihubungi semalam.

Zahasmi berkata, keadaan cuaca yang tidak menentukan di Kota Bharu ketika ini mungkin merencatkan persiapan pasukannya, namun beliau percaya itu bukan alasan tidak boleh menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi naib juara edisi musim lalu itu.

“Persiapan kita dalam tempoh dua tiga hari ini sedikit tergendala tetapi saya percaya kita mempunyai formula khusus mengekang asakan pemain Kedah, dari segi mental dan fizikal, pemain sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan malam esok,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya kemampuan lawan, Zahasmi merendah diri sambil mengakui Kedah yang mengulangi kejayaan mara ke pentas final buat kali kedua membuktikan pasukan tersebut harus dihormati.

“Kedah bukan calang-calang pasukan, sudah pasti jurulatih mereka, Mohamad Ramlee mempunyai resipi tersendiri bagi menghadapi Kelantan malam esok, saya fikir ini bukan perlawanan yang mudah bagi kita.

“Mereka diperkuatkan pemain Liga Super seperti Wan Mohd Ashraf Wan Ali, Shafizan Hashim, dan Shafiq Jamal, yang pasti pengaruhi pemain Kedah untuk bermain dengan baik,” katanya.

Isu Sultan Kelantan: Terima saja keputusan majlis perajaan


KUALA LUMPUR - Pemasyhuran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, tidak perlu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan kerana Majlis Perajaan lebih berkuasa dalam perkara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beliau berkata, apabila berlakunya sesuatu lantikan oleh majlis terbabit, apa yang perlu dilakukan ialah pemasyhuran iaitu memaklumkan kepada rakyat.

“Sebagai kerajaan, sebenarnya tidak boleh campur tangan dalam apa yang berlaku dalam institusi beraja di Kelantan kerana ada Majlis Perajaan yang boleh menentukan siapa berhak menjadi sultan.

“Apabila mereka menentukan siapa yang menjadi raja, proses seterusnya ialah pemasyhuran, maknanya memaklumkan kepada rakyat. Jadi, kalau kita faham sistem ini, tidak ada ruang dan sebab mengapa pihak Kerajaan Pusat, mengapa kerajaan negeri dan mengapa rakyat perlu mempertikaikan apa yang berlaku di istana Kelantan itu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan tokoh veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, baru-baru ini yang meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Ketika membuat kenyataan itu, Tengku Razaleigh turut mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.

“Ini hak mereka (pemasyhuran) dan tidak ada kena mengena dari segi mesti mendapat persetujuan, malahan recognition daripada Kerajaan Pusat pun tidak perlu kerana apa yang diputuskan Majlis Perajaan itulah mesti diterima oleh semua,” kata Mohamed Nazri.

Tuanku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei tahun lalu setelah ayahanda baginda menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu. Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei tahun lalu.

Mohamed Nazri berkata, permintaan Tengku Razaleigh tidak perlu diberi perhatian kerana institusi beraja di Kelantan wujud sebelum kewujudan Kerajaan Pusat pada 1957 malah tidak pernah berlaku pemasyhuran sultan perlu membabitkan persetujuan Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri.

“Saya katakan di sini tak ada masalah pun sebenarnya dalam pemasyhuran itu. Jadi, takkanlah jika hanya seorang, iaitu Tengku Razaleigh tidak berpuas hati kita akan ambil kira pandangan beliau dan tidak pernah berlaku pun rakyat, Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri dibabitkan dalam soal pemasyhuran sultan,” katanya. - Bernama

3 pemimpin siswa ditahan


PUTRAJAYA, 10 Disember - Tiga pemimpin siswa ditahan selepas mereka mengadakan perhimpunan di luar Masjid Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula minggu lalu.
Mereka yang ditahan itu ialah setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli.

Kedua-duanya adalah sebahagian daripada 100 pelajar yang berhimpun di situ. Pada mulanya dihalang oleh anggota polis untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Kumpulan pelajar yang memakai baju berwarna hitam itu turut menerikkan slogan-slogan seperti "Kuasa Mahasiswa" ketika berkumpul di hadapan masjid tersebut.

kira-kira lima anggota polis menemui mereka dan meminta mereka bersurai.

Seorang anggota polis memberitahu mereka tidak boleh berkumpul di situ atau mereka akan ditangkap.

Setelah berunding seketika, anggota polis membenarkan lima wakil pelajar tersebut menuju ke JPM yang terletak berhampiran masjid tersebut, untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Dalam memorandum tersebut, mereka menyuarakan rasa kesal dan kecewa terhadap kenaikan harga barangan baru-baru ini.

Selepas menyerahkan memorandum tersebut pada kira-kira jam 2.15 petang, polis mengarahkan mahasiswa berkenaan bersurai.

Ketika itu, Ridzuan kelihatan bercakap dengan anggota polis di situ, difaham dia meminta kebenaran untuk berucap, tetapi dia ditahan dan dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ridzuan dan Shukri kini ditahan di ibupejabat polis (IPD) Putrajaya. Mohd Shahruldeen pula ditahan di hadapan IPD Putrajaya. (Malaysiakini)

08 December 2010

'Tok Guru sakit tenat tu tak betul'-setiausaha akhbar MB Ahmad Fadhli Shaari


Khabar angin yang mendakwa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat sakit tenat dan dikejarkan ke hospital adalah tidak benar.

Perkara tersebut disahkan oleh setiausaha akhbarnya Ahmad Fadhli Shaari ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
"Dakwaan yang menyatakan beliau sakit tenat dan dikejarkan ke hospital itu tidak betul," katanya yang juga ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Fadhli bagaimanapun berkata petang semalam Nik Aziz ada mengadu sakit pinggang.

"Beliau solat subuh pagi ini. Hari ini beliau cuti rehat kerana ada sedikit keuzuran," katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai desas desus tersebut malam semalam dan akan menziarahi Nik Aziz untuk mendapatkan perkembangan berhubung kesihatan tokoh PAS itu tengah hari ini.

Sementara itu, penulis blog Merah Tinta, Mohd Sayuti Omar turut menulis perbualannya dengan salah seorang anggota keluarga Nik Aziz yang memberitahu bahawa "Tok Guru sakit tenat tu tak betul".

"Semalam ayah ada mengurut dengan tukang urut baru. Entah guana (macam mana) dia urut kuat ba'kali (barangkali) mungkin kerana tak serasi tangan, ayah sakit urut.

"Dia jadi tidak boleh bergerak... tetapi Alhamdulilah pagi tadi sudah solat Subuh tetapi tak jadi tok imam," coret Mohd Sayuti dalam blognya hari ini.

Khabar angin kononnya Nik Aziz tenat di hospital juga dinafikan oleh anak keduanya, Nik Omar, lapor Bernama.

Kesan balik Mekah

"Ayahanda saya sihat, Alhamdulillah...kesan balik Mekah menunaikan haji ayahanda mengadu sakit di bahagian pinggang sahaja.

"Alhamdulillah (beliau) boleh ke masjid dan sembahyang berjemaah (tetapi) dalam keadaan duduk," katanya kepada pemberita di rumah Menteri Besar itu di Pulau Melaka di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak menemui pemberita kerana sedang diurut.

Pada jam 12 tengah hari, beliau dibawa ke Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mursyidul Am PAS itu sempat menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar ketika berada dalam kenderaan yang membawanya itu.

Nik Omar berkata masalah kesihatan ayahnya sebenarnya juga tidak mengganggu urusan kerajaan negeri.

"Kalau bercuti pun ayahanda tetap ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa tugasnya," katanya.

Nik Omar berkata sebagai anak beliau lebih mengetahui masalah kesihatan yang berlaku terhadap bapanya itu.

"Tak perlu sampai nak menerima rawatan di hospital sebelum ini. Kalau demam tu lainlah dan ini cuma sakit orang tua. Dan mengenai blog yang mendakwa ayahanda sakit tenat itu sayapun tak baca lagi," katanya.

Nik Aziz, 79, menjadi Menteri Besar sejak 1990 dan pernah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara beberapa tahun lalu. (Malaysiakini)

06 December 2010

SPRM Tahan Khir Toyo Di Pejabatnya Di Shah Alam


KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) - Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di pejabatnya di Shah Alam kira-kira pukul 9 pagi Isnin.

Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali berkata Khir Toyo akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam untuk dituduh di bawah Sekyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan rasuah.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penangkapan tersebut.

Di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan, penahanan Khir Toyo berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau menerima rasuah berhubung pembelian tanah untuk 'Istana Khir' iaitu rumahnya yang ala Bali di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Khir Toyo, 45, menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 pada Ogos 2000 ketika berumur 35 tahun dan merupakan penjawat jawatan Menteri Besar yang termuda.

-- BERNAMA

Khir Toyo didakwa atas tuduhan rasuah

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.

NONEKedua-duanya tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika tuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Azhanis menetapkan ikatjamin sebanyak RM750,000 tiap seorang.

Khir Toyo diwakili peguam M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.
Beliau menjadi menteri besar Selangor ke-13 dari Ogos 2000 hingga Februari 2008.

Sebelum itu, SPRM menahan Khir Toyo ditahan di pejabatnya di Shah Alam kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum dibawa ke mahkamah.

Difahamkan kedua-duanya disoalsiasat pagi ini di ibupejabat SPRM Selangor di Wisma PKPS di Shah Alam.

Ketua pendakwaraya SPRM, Abdul Razak Musa tiba di mahkamah kira-kira jam 11.10 pagi dan terus menuju ke kamar DPP.

Khir Toyo pula tiba kira-kira jam 11.25 pagi.
SPRM telah menyiasat kes tersebut ekoran dakwaan yang dibuat oleh ADUN Sekincan, Ng Suee Lim.

Ng mendakwa hartanah seluas 50,000 kaki persegi itu dibina pada anggaran kos RM20 juta, manakala tanah itu dibeli dengan harga RM3.8 juta.

Khir Toyo telah menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan beliau membeli rumah dan tanah tersebut pada harga RM4 juta. Beliau juga telah memfailkan saman fitnah terhadap Ng.


Mahkamah tolak permohonan lafaz cerai Sultan Ismail Petra


Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu semalam menolak permohonan pengesahan lafaz cerai bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra terhadap isteri keduanya Cik Puan Elia Suhana Ahmad yang difailkan seorang wanita Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada Mac lalu.
Hakim Abdullah Man yang membuat keputusan itu berkata ini kerana mahkamah mendapati plaintif gagal mengemukakan saksi yang mencukupi mendengar pengesahan lafaz cerai itu selain tiada saksi lain ketika Abdullah menghadap Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota, Kubang Kerian pada 30 Oktober lalu.

"Mahkamah telah membuat keputusan berdasarkan kepada tiga perkara iaitu yang pertama sama ada pihak ketiga boleh memohon bagi pengesahan lafaz cerai, yang keduanya apakah plaintif mempunyai saksi yang mencukupi dan ketiga apakah yang berlaku di Istana antara saya dan Sultan boleh diterima di mahkamah.

"Berdasarkan itu mahkamah hari ini menolak permohonan plaintif (Nik Rorhana) bagi memohon pengesahan lafaz cerai ini dan plaintif boleh membuat rayuan berhubung keputusan ini dalam tempoh 14 hari," kata Abdullah sewaktu membacakan penghakimannya.

Dalam prosiding semalam Nik Rorhana hadir manakala defendan Elia Suhana, 31, tidak hadir atas alasan tidak sihat.

Pada 21 Mac lalu, Elia Suhana melalui peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan mengemukakan permohonan untuk membatalkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Sultan Ismail Petra terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac lalu.

Sultan Ismail Petra yang ketika itu masih Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak tiga terhadap Elia Suhana pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Sebelum itu, Abdullah berkata atas isu yang pertama mahkamah memutuskan pihak ketiga iaitu Nik Rorhana berhak memfailkan permohonan lafaz cerai bagi pihak Sultan Ismail Petra itu berdasarkan kepada hukum syarak.

"Bagi isu yang kedua mahkamah mendapati plaintif telah gagal mengemukakan saksi yang mencukupi dan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu seorang doktor dan mahkamah berpuas hati dengan keterangannya.

"Bagaimanapun keterangan saksi yang kedua mahkamah tidak berpuas hati kerana keterangannya tidak mencukupi sebagai saksi," katanya.

Abdullah berkata dalam isu yang ketiga Sultan Ismail Petra hanya membenarkan seorang hakim sahaja untuk ditemubual berhubung pengesahan lafaz cerai baginda itu yang diadakan di Istana Mahkota pada 30 Oktober lalu.

"Jika saya yang menjadi saksi dalam pertemuan itu siapa pula yang boleh menjadi hakim dan hakim tidak boleh menjadi saksi," katanya.

Peguam mewakili Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan ketika ditemui di luar mahkamah berkata sepatutnya apa yang berlaku di Istana Mahkota pada ketika itu ia perlu dihadiri plaintif, defendan, peguam yang mewakili kedua-duanya dan termasuk hakim.

"Apa yang berlaku ia sudah tidak mematuhi prosedur kerana hakim pada masa yang sama tidak boleh menjadi saksi.

"Dengan keputusan mahkamah hari ini Cik Puan Elia Suhana dan Al-Sultan (Sultan Ismail Petra) masih lagi merupakan suami isteri yang sah," katanya.

Sementara itu, peguam plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya itu sama ada untuk memfailkan rayuan atas keputusan itu atau sebaliknya.

- Bernama

05 December 2010

Kandungan memo air kepada Agong


Memorandum
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan

Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan

2010

Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.

Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010. (Malaysiakini)

MB Serah Memorandum Air : Polis Tahan 48 Peserta


KUALA LUMPUR 5 DIS : 48 orang ditahan manakala ribuan lagi ditembak dengan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia bagi menyuraikan perhimpunan bantah kenaikan harga air anjuran kerajaan negeri.

Jumlah yang ditahan itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala lumpur, Zulkefli Abdullah dalam satu sidang media petang tadi.

Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin lain Pakatan Rakyat berjaya menyampaikan memorandum itu kepada wakil Istana Negara sebagaimana yang dirancangkan.
Lebih 15,000 berpakaian baju merah hadir pada perhimpunan itu untuk menyampaikan bantahan mengenai kenaikan harga air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan restu kerajaan persekutuan Umno- Barisan Nasional.

Antara tempat yang menjadi sasaran serangan polis adalah Masjid Negara, dan di hadapan Stesen Keretapi Tanah Melayu.

Perhimpunan aman itu bertukar menjadi kecoh apabila polis mengangkat senjata dan meriam air untuk menyuraikan hadiran yang tidak melakukan sebarang provokasi.

Sebilangan orang ditangkap dalam Masjid Negara manakala yang lain dalam perkarangan masjid itu dan Stesen KTM.

Polis bertindak liar apabila cuba menghalang Tan Sri Khalid sendiri daripada mengadakan sidang media di depan pintu utama Istana Negara.

Meskipun menjadi sasaran pelbagai provokasi oleh polis, Tan Sri Khalid dan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor mencapai hasrat mereka untuk menyampaikan memorandum kepada Istana Negara sebagaimana yang telah diatus dengan wakil Istana.

Antara yang mengiringi Khalid ke Istana Negara ialah Exco kerajan negeri Yaakob Sapari, Elizabeth Wong, Xavier Jayakumar, Iskandar Abdul Samad serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Mereka diiringi ribuan rakyat berbaju merah berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara. Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, polis merempuh Masjid Negara untuk bertindak ke atas kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang berhimpun di situ.

Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.

Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.

Sebelum itu dalam ucapannya Tan Sri Khalid menegaskan penswastaan air pada 2004 lalu membebankan rakyat di Selangor ,Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Usaha kerajaan negeri katanya, adalah untuk menghentikan episod kerakusan rejim terdahulu demi kebajikan rakyat. Khalid juga menyeru ribuan peserta supaya berjalan berarak ke istana dengan tenang dan berdisiplin.

Presiden Persatuan Mahasiswa atau Perwasis, Mohamad Izuddin Zaini memberitahu Tv Selangor, pihaknya berkumpul bersama-sama kerajaan negeri atas tiket kuasa pelajar dalam usaha menyokong kempen 'Kembalikan Hak Air kepada Rakyat'.

Lebih 400 wakil mahasiswa dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) turut menyertai perhimpunan pada hari ini.

Dua Maut Apabila Kancil Yang Dinaiki Berlanggar Dengan Pacuan Empat Roda Berhampiran Cherating.


KUANTAN, 4 Dis - Dua sepupu maut manakala seorang yang lain cedera parah selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dinaiki satu keluarga di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating, dekat sini. Azlan Ahmad, 33, dari Taman Kemajuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan Bernard Arasad, 34, yang berasal dari Kampung Peringatan Petagas, Penampang, Sabah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Datu Kumpasan Ali, 30-an, yang merupakan pemandu kereta Kancil terbabit mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Sementara itu pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford tersebut, Ahmad Amri Mahmad Razali, 33, dan lima ahli keluarganya yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 8 pagi tadi itu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata ketika kejadian, kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari Kuantan ke sebuah asrama kilang di Kemaman, Terengganu itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya. "Bagaimanapun kereta berkenaan gagal untuk memotong dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan," katanya.. Beliau berkata akibat pertembungan itu kereta Perodua Kancil berkenaan remuk teruk dan dua penumpang kereta itu mati di tempat kejadian.

Sementara itu, Ahmad Amri yang merupakan pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut berkata berkata ketika kejadian, dia bersama isteri, Rohaida Awang, 33, dan empat anak mereka dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke kampung mereka di Pekan. Katanya dia menyaksikan kereta Perodua Kancil berkenaan yang datang dari arah hadapan yang secara tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan dia tidak sempat mengelak kenderaannya itu kerana jarak sudah terlalu dekat. "Akibat perlanggaran, kenderaan saya berpusing sebelum terbabas ke tepi jalan namun saya bersyukur kerana isteri dan empat anak berusia lingkungan satu hingga enam tahun hanya cedera ringan," katanya.

04 December 2010

Siasat dakwaan pelajar IPT jadi pelacur


Kementerian Pengajian Tinggi diminta segera menjalankan siasatan yang menyeluruh mengenai dakwaan terdapat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa "menjadi pelacur" bagi membiayai kos pengajian mereka.
ADUN kawasan Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat berkata masalah itu perlu diberi perhatian serius oleh kementerian kerana bukan sahaja menjejaskan nama baik IPT tetapi juga bagi menyelamatkan masa depan golongan yang terlibat.

"Kita amat berharap ada maklum balas segera daripada pihak kementerian kerana isu ini telah lama diperkatakan dan kini dibangkitkan sekali lagi.

Terpaksa melacur

"Isu pelajar IPT 'terpaksa' melacur ini ibarat barah yang jika tidak diubati dan diambil langkah-langkah pencegahan boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

prostitution, desa mentari, police raidHamisa berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr Jaina Sintian pada simposium parti itu Khamis lalu bahawa ada pelajar IPT yang terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka.

Jaina dipetik sebagai berkata kebanyakan mereka yang terlibat datang daripada keluarga yang bermasalah seperti berlaku perceraian ibu bapa mereka menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat bergantung bagi menanggung kos pengajian dan kos.

Hamisa yang juga Ketua Wanita Umno Kalabakan berkata masalah itu mungkin akan menambah rantaian gejala sosial lain termasuk kes buang bayi, jangkitan HIV dan AIDS dan penagihan dadah.

human trafficking tip report 131607 parading prostitute"Dalam keadaan ini, semua pihak perlu berfikiran terbuka dan tidak terburu-buru membuat penafian bagi menjaga imej dan kedudukan masing-masing kerana kita tahu bahawa cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar IPT hari ini cukup hebat.

"Mereka bukan sahaja berdepan dengan tekanan untuk menamatkan pengajian tetapi kos pengajian itu sendiri yang semakin meningkat tidak termasuk kos makan minum, tempat tinggal, pengangkutan, buku-buku, komputer dan bil Internet," katanya.

Sehubungan itu, Hamisa berharap para pelajar IPT dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat itu.

03 December 2010

Harga petrol RON95 naik 5 sen, gula pula naik 20 sen, diesel dan gas turut naik


Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula naik mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi. Petrol RON95, dinaikkan 5 sen menjadikan RM1.90 seliter.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu. Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram. Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram. Semua harga baru berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok.

Subsidi Bahan Api Dan Gula Dikurangkan

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kg bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula berkuatkuasa Sabtu.

Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Pengumuman tentang rationalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan itu berkata walaupun mengalami kenaikan, harga runcit bagi semua barangan berkenaan di Malaysia masih rendah berbanding di negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sebagai contoh, petrol RON95 berharga RM2.46 seliter di Indonesia, RM4.36 di Singapura dan RM4.25 di Thailand, manakala harga diesel pula ialah RM2.50 seliter di Indonesia, RM3.18 di Singapura dan RM2.96 di Thailand.

Harga LPG ialah RM2 bagi satu kg di Indonesia, RM6.42 di Singapura dan RM1.93 di Thailand, manakala harga gula ialah RM3.50 bagi satu kg di Indonesia, RM3.80 di Singapura dan RM2.80 di Thailand.

Langkah pertama program rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada 16 Julai apabila subsidi bagi petrol RON95 petrol dan diesel dikurangkan sebanyak lima sen seliter, 10 sen bagi satu kg untuk LPG dan 25 sen bagi satu kg gula.

Kenyataan itu berkata rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerana kerajaan mendapati ia perlu terus mengurus kedudukan fiskalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan, pada waktu yang sama, mengurangkan perbelanjaan.

Program Transformasi Ekonomi (PTE) bertujuan meningkatkan perkapita Pendapatan Dalam Negara Kasar (PDNK) kepada US$15,000 menjelang 2020, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata untuk mencapai sasaran tersebut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu berkembang sekurang-kurangnya enam peratus setahun untuk membolehkan hasil yang diperoleh kerajaan meningkat melalui kutipan cukai.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan untuk menangani isu dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan daripada enam bidang itu, NKRA mengenai kemiskinan, infrastruktur asas luar bandar dan pendidikan awal dengan jelas memberi kesan terhadap 40 peratus penduduk peringkat bawah di negara ini, kata kenyataan itu.

Sebagai contoh, kata kenyataan itu, sejak Januari tahun ini, kerajaan telah membina 538km jalan luar bandar, 260 peratus lebih banyak berbanding tahun lepas, membuka 1,358 kelas prasekolah yang memberi manfaat kepada 54,569 kanak-kanak dan mengurangkan jumlah isi rumah miskin tegar sebanyak 55 peratus.

Di bawah GTP, kerajaan memberi keutamaan terhadap kebajikan golongan miskin, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

02 December 2010

RapiKL perkenalkan bas khas wanita pula



RapidKL memulakan tempoh percubaan bagi perkhidmatan bas untuk golongan wanita sahaja, yang dikenali sebagai Rapid Bas Wanita, mulai semalam hingga 31 Disember.

Menurut kenyataan Bas RapidKL semalam, ia adalah tambahan kepada operasi biasa syarikat berkenaan dan menyediakan perkhidmatan berbaloi kepada orang awam.
Tempoh percubaan itu dijalankan di tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81(Hab Subang Suria).

Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8(Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

Ketua Pegawai Eksekutif Bas RapidKL Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata perkhidmatan khas itu dilaksanakan untuk memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada penumpang wanita, selain melindungi mereka daripada gangguan seksual serta bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.

Beliau berkata Rapid Bas Wanita tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada syarikat itu kerana ia akan menggunakan bas tambahan.

Walaupun dikhaskan untuk wanita sahaja, kanak-kanak di bawah usia dua belas tahun dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas tersebut dengan ditemani rakan atau saudara perempuan.

Ikon bas 'untuk wanita sahaja' akan diletakkan pada cermin depan bas, tingkap, pintu dan skrin LED dalam kenderaan itu bagi membezakannya daripada bas biasa.

- Bernama

01 December 2010

Kopi manis tingkatkan kemampuan otak manusia


BARCELONA- Satu kajian terbaru menunjukkan minum secawan kopi yang bergula boleh meningkatkan kemampuan otak, lapor sebuah akhbar. Menurut kajian, kopi manis merupakan cara terbaik untuk menyediakan otak bagi menghadapi cabaran pekerjaan.

Saintis-saintis di Universiti Barcelona di sini mendapati pengambilan kafeina dan gula pada masa yang sama meningkatkan prestasi otak. Para penyelidik percaya kafeina dan gula dapat meningkatkan fungsi otak seperti daya ingatan.
Hasil kajian tersebut diperolehi selepas 40 sukarelawan diuji dengan pengambilan kopi bergula, kopi tanpa gula dan air masak. - Angesi

Harga petrol RON97 naik 15 sen hari ini.


Harga petrol RON97 akan dinaikkan 15 sen lagi kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa 1 Disember ini, mengikut sumber.

Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat lewat hari ini. Bagaimanapun harga petrol RON 95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.

Harga petrol RON 97 tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.
Pada 1 Nov lalu, harga petrol RON97 dinaikkan 5 sen menjadi RM2.15 seliter.

Sementara itu, selepas mempengerusi mesyuarat majlis tertinggi Umno, malam semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kenaikan harga petrol RON97 yang kini
tidak lagi diberikan subsidi oleh kerajaan, adalah berdasarkan kepada harga semasa pasaran dunia dan bukan ditetapkan oleh kerajaan.

"RON97 merupakan sesuatu yang ditentukan oleh pasaran bukan oleh kerajaan, (iaitu) kalau ada kenaikan (harga) disebabkan harga minyak itu naik dan kalau ada penurunan adalah disebabkan harga minyak turun," katanya.

Nuffnag ads