13 December 2010

Dedah siapa penyerang lepas sedar dari koma

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis yang koma selama sebulan sedar semula Rabu lalu.

Beliau kemudian memberi maklumat tentang orang yang menyerang- nya iaitu kekasih isterinya.

Ekoran maklumat itu, penyerang tersebut ditahan polis.

Menurut laporan, serangan berlaku selepas kedua-dua lelaki itu bertengkar dan kemudian berkelahi.
Pegawai polis berpangkat lans koperal dan berpangkalan di Balai Polis Gombak itu mendakwa beliau dihentak dengan kuat di kepalanya dan dibawa ke hospital oleh penyerangnya.

Pegawai polis itu dimasukkan ke Hospital Slim River pada 11 November lalu dan menjalani pembedahan kerana kecederaan di kepala.

Menurut sumber, isteri lans koperal yang berusia 27 tahun itu membuat laporan polis bulan lalu bahawa suaminya hilang sehari sebelum itu.

Beberapa hari selepas laporan dibuat, saudara lelaki polis yang hilang itu menerima panggilan telefon daripada seorang tidak dikenali yang mendakwa dia menculik lans koperal itu.

Pemanggil memberi amaran supaya keluarga mangsa tidak mencari pegawai polis berkenaan.

Menurut laporan, wanita yang kini menjadi isteri pegawai polis itu dipaksa berkahwin dengannya meskipun beliau mempunyai hubungan dengan penyerang berusia 27 tahun itu.

Lans koperal tersebut hanya mengetahui perkara itu selepas beliau mengahwini wanita berkenaan.

Sebaik saja lans koperal itu sedar Rabu lalu, kakitangan hospital menghubungi pihak polis.

Menyusuli dakwaan pegawai polis itu, isterinya dan kekasih isterinya diberkas polis di Selangor Jumaat lalu untuk disoal siasat.

Wanita itu ditahan di sebuah perhentian bas di Rawang, manakala kekasihnya ditahan di Kuala Kubu Baru.

Mereka ditahan reman hingga 17 Disember ini.

Ketua Polis Gombak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rahim Abdullah, mengesahkan kes itu yang dianggap masalah keluarga.

'Namun, polis membuka siasatan kerana kecederaan serius yang dialami lans koperal berkenaan,' katanya.

'Kami serahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindak selanjutnya,' tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads