10 December 2010

Isu Sultan Kelantan: Terima saja keputusan majlis perajaan


KUALA LUMPUR - Pemasyhuran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, tidak perlu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan kerana Majlis Perajaan lebih berkuasa dalam perkara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beliau berkata, apabila berlakunya sesuatu lantikan oleh majlis terbabit, apa yang perlu dilakukan ialah pemasyhuran iaitu memaklumkan kepada rakyat.

“Sebagai kerajaan, sebenarnya tidak boleh campur tangan dalam apa yang berlaku dalam institusi beraja di Kelantan kerana ada Majlis Perajaan yang boleh menentukan siapa berhak menjadi sultan.

“Apabila mereka menentukan siapa yang menjadi raja, proses seterusnya ialah pemasyhuran, maknanya memaklumkan kepada rakyat. Jadi, kalau kita faham sistem ini, tidak ada ruang dan sebab mengapa pihak Kerajaan Pusat, mengapa kerajaan negeri dan mengapa rakyat perlu mempertikaikan apa yang berlaku di istana Kelantan itu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan tokoh veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, baru-baru ini yang meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Ketika membuat kenyataan itu, Tengku Razaleigh turut mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.

“Ini hak mereka (pemasyhuran) dan tidak ada kena mengena dari segi mesti mendapat persetujuan, malahan recognition daripada Kerajaan Pusat pun tidak perlu kerana apa yang diputuskan Majlis Perajaan itulah mesti diterima oleh semua,” kata Mohamed Nazri.

Tuanku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei tahun lalu setelah ayahanda baginda menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu. Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei tahun lalu.

Mohamed Nazri berkata, permintaan Tengku Razaleigh tidak perlu diberi perhatian kerana institusi beraja di Kelantan wujud sebelum kewujudan Kerajaan Pusat pada 1957 malah tidak pernah berlaku pemasyhuran sultan perlu membabitkan persetujuan Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri.

“Saya katakan di sini tak ada masalah pun sebenarnya dalam pemasyhuran itu. Jadi, takkanlah jika hanya seorang, iaitu Tengku Razaleigh tidak berpuas hati kita akan ambil kira pandangan beliau dan tidak pernah berlaku pun rakyat, Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri dibabitkan dalam soal pemasyhuran sultan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads