13 December 2010

Kicap Manis Cap 'Kipas Udang' Tiruan Dirampas


SEREMBAN, 13 Dis (Bernama) -- Sebanyak 3,360 botol kicap manis tiruan yang menggunakan jenama 'Kipas Udang' bernilai hampir RM10,000 dirampas dalam operasi Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, hari ini.
Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong di Jalan Tuanku Antah di sini, kata Ketua Pengerusi PPDNKK Mohd Nor Musa.

"Kami mendapat aduan dari orang ramai menyebabkan kita membuat pemeriksaan di setor syarikat pemborong terbabit. Pemilik syarikat itu yang berusia 50-an bagaimanapun tidak mengetahui kicap itu adalah tiruan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata sampel daripada kicap tiruan itu akan dihantar ke makmal untuk melihat sama ada ia menggunakan bahan merbahaya atau tidak.

Terdapat perbezaan yang agak ketara di antara kicap tiruan itu dengan yang asli iaitu tulisan tamat tempoh penggunaan kicap tiruan itu tidak dicetak dengan laser sebaliknya menggunakan pencetak komputer biasa, katanya.

Beliau berkata pihaknya kini mengesan pembekal kicap itu dan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads