30 November 2010

Demi Keselamatan Si Manja Anda...



Pihak Industri Wajib memastikan bahawa setiap barang mainan kanak-kanak yang dikilangkan atau dimport telah diuji, diisytihar dan ditandakan label keselamatan.

29 November 2010

BPA: Aduan penjawat awam biadap makin meningkat - Murugiah


IPOH - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes membabitkan penjawat awam berlaku biadap dan bersikap perkauman terhadap orang ramai.

Beliau berkata masalah salah laku penjawat awam terutama yang bertugas di barisan hadapan tersebut disedari meningkatkan berdasarkan peningkatan aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA).

"BPA menerima lebih 60 aduan dari seluruh negara setiap bulan yang membabitkan penjawat awam bersikap kasar, biadap dan menyentuh isu perkauman sehingga menimbulkan rasa kemarahan pengadu dan rakyat," katanya pada sidang akhbar di pejabat BPA Perak di sini.

Aduan terhadap kes seumpama itu menimbulkan kemarahan kaum dan ia boleh digunakan sebagai isu untuk menyebabkan perbalahan di kalangan pemimpin politik, katanya.

Murugiah berkata BPA sedang memantau semua aduan yang diterima itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya diambil oleh jabatan atau agensi terbabit bagi membendung masalah itu.

Katanya, tindakan yang boleh diambil termasuk memecat, menggantung atau mengenakan tindakan disiplin kepada individu yang terbabit.

Menurutnya, satu contoh kes yang diterima BPA ialah aduan pada 10 Nov
lepas yang membabitkan seorang jururawat di sebuah hospital di sini yang
mengeluarkan kata-kata kesat dan bersifat perkauman terhadap satu keluarga.

Murugiah berkata kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan penjawat awam beruniform dan yang berurusan setiap masa bersama pelanggan seperti anggota polis, kakitangan hospital dan sekolah.

Beliau berkata isu seperti itu menimbulkan masalah apabila berlaku campur
tangan ahli politik.

Beliau menasihati penjawat awam supaya lebih peka berhubung isu berkaitan dan berusaha sebaik mungkin memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka. -- BERNAMA

Rasuah: Dua anggota polis dipenjara dua bulan, didenda RM10,000


ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan dua anggota polis daripada tuduhan menerima rasuah sebaliknya mengenakan hukuman penjara dua bulan dan
denda RM10,000.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu setelah menerima rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret di sini yang membebaskan Lans Koperal Mohd Salleh Musa, 47, dan Lans Koperal Hasnul Malik Yeop Mat Rasid, 51, daripada tuduhan itu pada 29 Okt tahun lalu.

Hakim Mohd Azman bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya permohonan untuk menangguhkan pembayaran denda pula ditolak menyebabkannya perlu dijelaskan pada hari ini.

Pihak pendakwaan yang bertindak sebagai perayu dalam kes ini diwakili
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim manakala kedua-dua anggota polis berkenaan diwakili peguam K.C Ang.

Mengikut pertuduhan, Mohd Salleh dan Hasnul Malik telah meminta suapan wang tunai RM500 di balai polis Kota Sarang Semut di sini pada 5.15 petang 2 Dis 2005 daripada Wong Kok Choon sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan yang didakwa telah mengganggu seorang gadis.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan selepas Mohd Salleh, yang telah
berkhidmat selama 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia dan Hasnul Malik, yang telah berkhidmat 32 tahun, dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Majistret di sini di akhir kes pembelaan.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Sesyen berlainan di sini hari ini, dua
penyelia gudang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berasingan menerima rasuah.

Koh Kok Shiun, 30, dituduh memberi suapan RM3,000 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 pada 22 Okt lalu di Honest Acceptance (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

Loi Kok Lun, 29, pula dituduh memberi suapan RM4,000 kepada seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNKK untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya berhubung kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 pada 22 Okt lalu di Mas Petroleum Sdn Bhd, juga terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

Bagi Koh, Hakim Mohd Sabri Ismail mengenakan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan kes itu pada 18 Jan tahun depan manakala Loi pula dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin oleh Hakim Cha Jit Li dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 11 Jan tahun depan. Koh dan Loi juga diwakili peguam sama iaitu T.Jegadeeson, dan kedua-dua pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Iznina Hanim Hashim. -- BERNAMA

27 November 2010

Pejawat awam didapati bersalah terima rasuah; Jel atau denda?

KUCHING- Seorang pembantu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak dijatuhi hukuman pilihan sama ada dipenjara enam bulan atau denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Sarawak.

Tertuduh Aidil Mazha Mazlan, 28, memilih untuk membayar denda berkenaan didakwa mengikut pertuduhan pindaan 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah kepada Seksyen 165 Kanun keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang itu di Restoran Warisan, Jalan Stutong jam 2.45 petang, 5 April 2007. Tertuduh melakukan urusan menukar telefon lama kepada baru dengan harga ditawarkannya adalah RM450 biarpun harga sebenar telefon tertuduh RM300.

Dia dituduh menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu RM150 tanpa apap-apa balasan berharga dari Ting See Siong, yang beliau ketahui ada kena mengena dengan urusan ramisnya, iaitu beliau sebagai Pembantu Penguatkuasa yang bertanggungjawab ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Ting See Siong dibawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

26 November 2010

Kerajaan Singapura bagi Bonus dua bulan bagi pekerja sektor awam


Bayaran khas pada Mac bagi kakitangan yang baik kelakonan

KAKITANGAN perkhidmatan awam Singapura akan menerima bonus sebanyak dua bulan gaji bulan depan. Bonus itu merangkumi bonus Komponen Berubah-ubah Tahunan (AVC) sebanyak satu bulan gaji dan Elaun Tahunan Bukan Pencen (NPAA), atau gaji bulan ke-13.
Dengan bonus AVC sebanyak 0.5 bulan dan bayaran khas sebanyak $300 (RM738) yang telah mereka nikmati Julai lalu, kakitangan awam secara keseluruhannya menerima bonus sejumlah 2.5 bulan campur $220 (RM492) tahun ini.

Kakitangan awam yang menunjukkan kelakonan baik akan menerima Bayaran Berubah-ubah Khas (SVP), atau yang dikenali sebagai Bonus Pertumbuhan antara 1 dengan 1.6 bulan gaji pada Mac depan (2011).

SVP diagihkan apabila Singapura menikmati pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, dan bayarannya berubah-ubah bergantung kepada kelakonan individu.

Ini diumumkan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meramalkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dijangka tumbuh 15 peratus tahun ini.

Tahun lalu, kakitangan awam menerima bonus lebih rendah, sebanyak 0.25 bulan, tidak melebihi $750 (RM1,845) sementara kakitangan awam peringkat rendah menikmati pembayaran penuh akhir tahun sebanyak suku bulan itu. Kesemua kakitangan awam juga menerima gaji bulan ke-13.

'Pada Mac 2011, kakitangan awam yang memaparkan kelakonan yang baik akan menerima satu bulan gaji dan mereka yang menunjukkan kelakonan yang lebih baik akan menerima sehingga 1.6 bulan gaji, sementara mereka yang menunjukkan kelakonan yang mengecewakan tidak akan menerima sebarang SVP,' jelas PSD lagi.

Namun penyesuaian gaji bagi pegawai Perkhidmatan Pentadbiran, dan pemegang jawatan politik, kehakiman dan berkanun akan terus dibekukan.

'Walaupun Singapura menikmati pemulihan ekonomi yang kukuh pada 2010, pemerintah memutuskan untuk menangguhkan dahulu penyesuaian gaji bagi pegawai Perkhidmatan Pentadbiran dan pemegang jawatan politik, kehakiman dan berkanun,' jelas PSD lagi.

Mengulas mengenai bayaran bonus itu, Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Cik Halimah Yacob, berkata bonus yang lebih tinggi itu mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang baik.

'Bayaran bonus yang lebih tinggi juga menunjukkan bahawa Skim Bayaran Berubah-ubah di perkhidmatan awam dilaksanakan secara baik kerana pekerja diberi ganjaran lebih rendah semasa waktu sukar dan diberi ganjaran lebih tinggi apabila ekonomi tumbuh dengan baik,' jelas Cik Halimah lagi.

Nenek mohon hidayah untuk Obama


Nenek kepada presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata beliau memanjatkan doa supaya pemimpin negara itu memeluk Islam, lapor sebuah akhbar hari ini.

"Saya berdoa supaya cucu saya Barack memeluk Islam," kata Sarah Omar, 88, dalam satu temuramah dengan akhbar harian Al-Watan Saudi di Jeddah selepas beliau menunaikan ibadat haji.
Akhbar itu melaporkan bahawa Sarah berada di Arab Saudi untuk menunaikan haji bersama anaknya yang juga bapa saudara kepada Obama, Saeed Hussein Obama, serta empat lagi cucunya.

Sarah memberitahu akhbar itu bahawa beliau hanya dapat mengulas mengenai perkara melibatkan ibadah haji dan memberi komen berkaitan politik Obama.

Keluarga berkenaan menjalankan ibadah berkenaan dengan ehsan kerajaan Arab Saudi. Saeed berterima kasih kepada pemerintah Arah Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz atas "layanan mesra" itu, laporan akhbar berkenaan.

Pungutan pendapat awam di AS pada Ogos mendedahkan bahawa satu daripada lima orang warganya percaya bahawa Obama merupakan seorang muslim.

Pandangan itu dinafikan keras oleh White House yang menegaskan bahawa Obama merupakan seorang kristian yang "komited."

- AFP

25 November 2010

Rasuah Penguatkuasa KPDNKK, Pemandu Lori di jel 2 tahun


IPOH – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM10,000 ke atas seorang pemandu lori yang didakwa atas tuduhan memberi suapan kepada penjawat awam membabitkan penyimpanan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.
Tertuduh, Sofli Ahmad, 33, bapa kepada lima anak itu bagaimanapun jika gagal membayar denda berkenaan, dia bakal berdepan hukuman penjara enam bulan lagi.

Sofli yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah atas dakwaan itu namun merayu agar dikurangkan denda dan tidak mengenakan hukuman penjara memandangkan isterinya tidak bekerja serta menyesal di atas perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan, meminta agar mahkamah mengambil kira kerugian Kerajaan Malaysia berikutan kegiatan mencuri diesel iaitu mencecah nilai berbilion ringgit setahun.

Tertuduh yang baru enam bulan menjadi pemandu lori itu didakwa memberi suapan wang tunai bernilai RM2,000 kepada Mohd Fairul Izwan Mohd Fadzir iaitu Pembantu Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Berdasarkan fakta kes, Sofli didakwa memberi suapan itu pada 6 Ogos 2010, kira-kira jam 1 pagi di KM 55, Jalan Pengkalan Baru, Pantai Remis, Manjung kepada Mohd Fairul sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan kerana menyimpan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Mayat Wanita Separuh Bogel Ditemui


KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan sebilah pisau tertusuk di dada mangsa di sebuah rumah di Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini petang Rabu.
etua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata mayat itu ditemui oleh penyewa bilik di rumah sama yang didiami mangsa dan suaminya kira-kira pukul 2 petang selepas terhidu bau busuk dari bilik bersebelahan.

"Wanita terbabit dikenali sebagai Riris Jessyca, 27 tahun dan dipercayai mati dibunuh sejak beberapa hari lepas.

"Ketika ditemui, mayat itu dalam keadaan terlentang dan separuh bogel. Terdapat sebilah pisau tercacak di dadanya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa ditikam oleh suaminya sendiri, seorang pekerja kontrak warga Indonesia yang dikenali sebagai Budi.

Ini kerana menurut penyewa bilik itu, suami mangsa mengarahkannya keluar dari rumah itu ketika pasangan berkenaan bergaduh pada Jumaat lepas, kata Abdul Rahim.

Polis sedang memburu suspek bagi membantu siasatan, katanya.

-- BERNAMA

12 November 2010

"PUTRAJAYA GLOBAL DIABETES WALK" SEMPENA SAMBUTAN "WORLD DIABETES DAY 2010"


NOVO NORDISK PHARMA (MALAYSIA) SDN. BHD. dengan kerjasama Hopital Putrajaya akan mengadakan Program "PUTRAJAYA GLOBAL DIABETES WALK" sempena Sambutan Hari Diabetes sedunia 2010. Maklumat program adalah seperti berikut :

Tarikh : 13 November 2010 (Sabtu)

Masa : 6.00 pagi - 10.00 pagi

Tempat : Dataran Putrajaya, Precinct 3 (Besebelahan Istana Kehakiman)

Sehubungan dengan itu, bagi memeriahkan program ini, orang ramai dijemput hadir dan dialu-alukan untuk turut serta dalam program ini

"Karnival Jualan Ori 2010" Mid Valley


Sempena Kempen Membanteras Cetak Rompak, KPDNKK akan mengadakan "Karnival Jualan Ori" yang akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat berikut:-

Mid Valley Exibition Centre (MVEC)

12-14 November 2010 (Jumaat-Ahad)

10pagi-10 malam

Aktiviti Karnival: Mini Explorace, Persembahan Artis, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak,Counter Strikes Contest, Spin Wheel, Pertandingan SMS Barangan Ori, Acara Lelongan Barangan Ori dan Jualan barangan Ori dengan harga lebih rendah daripada biasa serta Pameran berkaitan barang Tiruan dan Cetak Rompak.Semua aktiviti terbuka kepada pengunjung karnival.

Antara syarikat yang akan menjayakan karnival ini ialah:-

Panasonic, Dewan Bahasa & Pustaka, Deuter bags, HP computers, Canon camera & accessories, Petronas lubricant, Proton spare parts, GPS – Papago, Game – counterstrike, Game – warcraft, Recording Industry Association of Malaysia (RIM), Malaysian Federation Against Copyright Theft (Mfact) sdn. Bhd, Upin& Ipin, Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Persatuan Industri Video dan Filem Malaysia (VIFIM), United Studios Sdn.Bhd KRU, Kualiti Books Sdn Bhd.

JOM BELI BARANGAN ORI dan bersama menjayakan KEMPEN MEMBANTERAS CETAK ROMPAK! Jumpa disana....

10 November 2010

FOMCA: Gesa Kerajaan Kaji Penggunaan RON95, Jawap MIROS:Bukan punca utama


Kuala Lumpur- Gabungan Persatuan-persatuan Penguna-Penguna Malaysia (FOMCA) menggesa angensi kerajaan dan pihak yang berkaitan mengkaji penggunaan minyak RON95, ini berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar tersebut menjadi salah satu faktor kenderaan yang terbabit kemalangan mudah terbakar.

Menurut jurucakap Fomca, perkara ini perlu dipandang serius dan pihak yang berkenaan perlu mengkaji kebarangkalian kebenaran dakwaan tersebut. Mengenai jumlah kemalangan membabitkan kenderaan yang terbakar sehingga meragut nyawa kian meningkat sejak kebelakangan ini. Walaubagaimanapun, kecuaian pemilik kenderaan juga menjadi salah satu faktor kenderaan terbakar apabila terbabit dalam kemalangan.

RON95 Bukan Punca Utama Kenderaan terbakar

KUALA LUMPUR 9 Nov-Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, kebakaran boleh terjadi sekiranya berlaku pelanggaran kenderaan dengan kelajuan yang tinggi. Kebakaran kenderaan akibat kemalangan yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini tidak boleh dikaitkan dengan minyak petrol RON95 kerana apa juga jenis minyak berpotensi menyebabkan kebakaran,
Menurut beliau lagi, setakat ini tidak dapat disahkan sama ada kebakaran yang berlaku akibat kemalangan adalah disebabkan oleh jenis minyak, namun siasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak polis supaya punca kebakaran akibat kemalangan boleh dikenal pasti.

myMetro: AC Mizal dakwa diugut pesaing


AMPANG: Pelakon dan pengacara, Datuk Mizal Zaini, 39, atau nama komersialnya AC Mizal (gambar) membuat laporan polis bagi membersihkan nama dan demi keselamatan selepas mendakwa menerima ugutan melampau serta pelbagai fitnah yang ditulis dalam beberapa blog, kelmarin.


Beliau yang juga seorang ahli perniagaan membuat laporan kira-kira jam 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini.

Menurut sumber polis, artis itu mendakwa menjadi mangsa pesaingnya yang turut menjalankan perniagaan sama dan beberapa blog mengaitkan namanya dengan pelbagai fitnah termasuk tuduhan dia menipu pelanggannya.

“Selain artis terbabit, turut menjadi mangsa ialah pekerja syarikatnya dan kejadian itu berlaku sejak lima bulan lalu. Sebelum ini mereka tidak ambil peduli kerana menganggap tuduhan dan cubaan itu sengaja dilakukan untuk memburuk dirinya dan syarikat.


“Bagaimanapun, ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini hingga memaksa artis terbabit membuat laporan polis kerana individu berkenaan turut mengugut untuk mencederakannya dalam blog itu,” katanya.


Antara ugutan itu ialah ‘elok sembelih je kot’ dan ‘AC Mizal ni dah tak sabar nak masuk ‘jail’ ke apa?’ dipercayai ditulis individu yang juga pesaing dalam perniagaan dilakukannya.

Sumber itu berkata, dalam laporannya AC menyatakan antara tuduhan yang menjejaskan reputasinya dalam blog ialah mengenai harga kos serta jualan produk milik syarikatnya selain dakwaan dia cuba menipu pelanggan dengan testimoni palsu.

Katanya, selain itu, penulis blog itu didakwa turut cuba mengaitkan kehidupan peribadi artis berkenaan yang sengaja dibuat dengan tujuan mempengaruhi orang ramai supaya membencinya.

“Berikutan tuduhan dan fitnah itu, artis terbabit mendakwa perniagaannya mula terjejas selain beberapa kakitangannya mengalami nasib sama kerana orang ramai mula terpengaruh dengan semua yang ditulis dalam blog berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat AC.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya. (Berita Harian Metro)

09 November 2010

Nyaris dirompak di kawasan rehat Pagoh


Gambar: Cermin tingkap kereta milik Encik Zainal ini dipecahkan seorang lelaki yang cuba merampas beg isterinya yang berada di tempat duduk penumpang depan. -- Foto ZAINAL HAJI JADI

GARA-GARA ingin membeli sepeket air teh, seorang warga Singapura nyaris kehilangan wang dan barang kemas dalam satu percubaan merompak di kawasan rehat Pagoh di Lebuh Raya Utara Selatan malam Khamis lalu.
Mujur isterinya, yang ketika itu berada dalam kereta, menggunakan kakinya untuk menghalang beg tote berisi wang RM3,000 dan barang kemas daripada dirampas si perompak.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.45 malam itu, Encik Zainal Haji Jadi, 55 tahun, bersama isteri dan anak bongsunya sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menziarahi abangnya.

Mengimbas peristiwa itu, isteri Encik Zainal, Cik Sumiyah Hadim, 50 tahun, berkata suaminya berhenti di Pagoh untuk mendapatkan air panas.

Sedang beliau menanti suaminya, Cik Sumiyah berkata sebuah kereta putih berhenti di kiri kereta mereka dan pemandu kereta itu membuka pintu lalu melanggar tepi keretanya.

'Pada mulanya, saya tidak fikir apa-apa cuma sangka dia terlanggar. Tapi tiba-tiba tingkap penumpang depan kereta saya dipecahkan dan tangan seorang lelaki cuba mencapai beg yang berada di kaki saya.

'Saya terus jerit 'Ya Allah! Ya Allah' sambil menendang tangan lelaki itu daripada mencapai beg saya. Agaknya dia perasan orang ramai dah nampak, dia pun larikan diri dengan tangan kosong. Mujur saya pun tidak diapa-apakan,' kata Cik Sumiyah, yang masih menggigil semasa menceritakan tentang kisah tersebut.

Beliau tidak pasti wajah lelaki itu tetapi hanya ingat dia dipercayai berbangsa Cina dan berseluar pendek.

'Ramai orang kita yang gemar berehat di Pagoh dan saya harap pengalaman saya ini dapat menjadi iktibar kepada orang lain. Hati-hati dengan taktik rompakan ini,' kata Encik Zainal, seorang penolong pengurus.

Berhati-hati memandu di Kilometer 68 Jalan Gua Musang–Kuala Krai dekat Kampung Sungai Lakit!


Gua Musang- Pemandu Kenderaan diingatkan memandu dengan berhati-hati semasa melaluai Jalan Gua Musang–Kuala Krai lebih-lebih lagi di kilometer 68 dekat Kampung Sungai Lakit, ini kerana jalan tersebut telah menjadi laluan gajah.
Berita melaporkan seorang pemandu , Kamal Syazwan Kamarulzaman bersama isterinya Nur Afiqah dan rakannya Mohd Fikri telah melanggar seekor gajah.
Dalam kejadian tersebut Kamal Syazwan dan isterinya tidak mengalami kecederaan, manakala rakannya mendapat cedera ringan dan dirawat di Pusat Kesihatan Besar bandar Chiku.
Menurut Kamal Syazwan dia hanya dapat mengenal pasti halangan tersebut adalah seekor gajah apabila jarak sudah terlalu dekat hingga tidak sempat berbuat apa-apa.

Memiliki Heroin: Wanita Warga Thai di Penjara


KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal warga Thailand dijel lapan tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memiliki 8.98 gram heroin, pada 24 April lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.
Tertuduh yang memiliki empat anak mengaku salah memiliki dadah jenis itu ketika ditahan di Pengkalan Nibong, Simpangan, Tumpat jam 7.40 petang, pada tarikh berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu dan sepasukan anggota Polis Marin menjalankan operasi di Pengkalan Nibong, Simpangan, mereka mendapati terdapat dua wanita mencurigakan menaiki bot enjin galah dari Thailand.

Ketika tiba di pos kawalan PGA, mereka diarahkan berhenti dan ketika itu tertuduh membuang bungkusan yang dibawanya ke tanah dan menyatakan dia membuang sampah.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap bungkusan surat khabar bertulisan Cina itu terdapat 10 botol plastik cerah bertutup kuning yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah.

Hasil analisa Jabatan Kimia mengesahkan botol-botol berkenaan mengandungi 8.98 gram heroin.

06 November 2010

PENYAKIT KENCING MANIS


Apa Dia Penyakit Kencing Manis

Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.


Dalam keadaan biasa, insulin membantu gula (glukos) dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis, organ pancreas tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa. Akibatnya, glukos atau gula tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya, penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukos, walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.

Siapakah pengidap penyakit kencing manis ?

Sesiapa pun boleh mendapat penyakit ini.Tetapi mereka yang datang daripada keluarga atau keturunan di mana terdapat ahli-ahli yang mengidap penyakit kencing manis sudah meningkat umur (40 tahun ke atas) mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk mempunyai risiko yang lebih untuk mendapat kencing manis

Apakah rawatan untuk penyakit kencing manis ?

Sebelum tahun 1921, tiada ubat-ubat tertentu untuk merawat penyakit ini. Pada masa ini terdapat ubat-ubat untuk mengawal penyakit kencing manis dan ini memberi peluang kepada pengidap-pengidap penyakit ini untuk meneruskan kehidupan yang biasa. Rawatan untuk penyakit kencing manis adalah melalui kawalan pemakanan.

Makanan yang anda makan memainkan peranan yang penting dalam kawalan penyakit kencing manis. Adakalanya, kes-kes yang tidak teruk, dapat diakwal melalui jagaan makanan sahaja.

Ubat

Selain daripada kawalan pemakanan, kebanyakan pesakit memerlukan ubat untuk mengawal penyakit mereka. Ubat-ubat ini terdiri daripada suntikan insulin.Insulin boleh diberi melalui suntikan sahaja kerana ia akan dimusnahkan di dalam perut jika dimakan

Pil

Ubat-ubat ini membantu badan menggunakan gula dengan sempurna dan dengan itu dapat mengawal penyakit ini.

Ada pula pesakit-pesakit yang memerlukan suntukan insulin sementara pesakit-pesakit lain pula boleh mengawal penyakit mereka dengan memakan pil. Doktor anda, setelah menjalankan pemeriksaan terhadapa anda, akan menentukan samaada anda memerlukan suntikan insulin atau pil dalam rawatan anda. Kes penyakit kencing manis anda mungkin tidak sempurna dengan kes orang lain dan oleh itu rawatan yang ditentukan oleh doktor anda mungkin tidak serupa dengan rawatan untukpesakit lain. Doktor akan menentukan rawatan mengikkut keadaan penyakit seseorang.

Rawatan awal adalah penting.

Menyembuhkan tanda-tanda dan gejala kencing manis

Menggelakkan atau mengurangkan akibat-akibat buruk yang berlaku jikalau penyakit ini melarat

Membolehkan pesakit hidup dalam kehidupan biasa dan bahagia

Ubat

Patuhilah nasihat doktor anda mengenai ubat-ubat yang anda perlu ambil

Jangan berhenti mengambil ubat kerana anda merasa sihat dan berfikir bahawa ubat itu tidak perlu lagi. Berhenti mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor anda adalah sangat merbahaya kerana ini boleh mengakibatkan penyakit anda melarat disebabkan tidak dikawal dengan sempurna

Jangan lupa untuk pergi ke hospital atau klinik pada masa yang ditetapkan untuk pemeriksaan doktor

Pemeriksaan dari masa ke semasa termasuk ujian air kencing dan darah adalah sangat penting dalam rawatan dan kawalan kencing manis

Makanan

Seperti yang disebutkan tadi, kawalan makanan sangat penting dalam rawatan penyakit kencing manis

Patuhilah nasihat doktor anda mengenai makanan

Makanan harian yang anda patut makan bergantung kepada beberapa faktor seperti berat badan, umur, pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan oleh anda dan keadaan penyakit anda. Adalah mustahak bahawa makanan harian mestilah seimbang iaitu, mengandungi semua bahan-bahan yang diperlukan oleh badan anda untuk kesihatan dan juga memberi tenaga untuk menjalankan tugas harian

Panduan makanan

Makanan yang patut dielakkan

Gula

Gula melaka

Coklat

Jem

Madu

Sirap

Aiskrim

Biskut-biskut yang manis

Susu pekat

Minuman ringan

Gula-gula jeli

Makanan yang patut dikurangkan

Nasi

Roti

Ubi kentang

Ubi keledek

Ubi kayu

Jus

Kelapa

Daging kambing

Buah-buahan jeruk

Bahan-bahan tenusu

Makanan yang boleh dimakan dengan bebas

Serbuk lada

Rempah-rempah

Serbuk kari

Cecair – air,the, kopi,jus tomato dan limau, sup cair

Sayur-sayuran – kacang panjang, kobis, bawang, timun, lobak merah, kangkong, sawi,cendawan, bayam,tomato,bunga kobis, kacang bendi,terung, ketola.

Penjagaan berat badan

Penyakit kencing manis berlaku dengan lebih kerap di kalangan orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Didapati bahawa tindakan insulin berkesan dalam orang yang gemuk

Amatlah penting bagi pengidap kencing manis untuk sentiasa ,menjaga berat badan. Kalau berat badan turun, badan dapat menggunakan gula dalam darah dengan lebih sempurna dan dengan itu, kadar gula dalam darah akan turun

Kalau anda gemuk

Kurangkan makanan !

Terutama makanan yang terlalu banyak karbohidrat dan lemak

Bersenamlah selalu

Senaman

Cuba melakukan senaman setiap hari seperti berjalan dan berkebun

Senaman yang dilakukan secara teratur adalah sangat baik untuk penyakit kencing manis kerana ini dapat menambahkan lagi pembakaran gula dalam otot-otot dan dengan itu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Pengaliran darah juga bertambah baik

Perkara untuk diawasi : kalau anda kurang aktif dan sudah lama tidak bersenam, dapatkan nasihat doktor anda sebelum memulakan apa-apa senaman

Mengelakkan jangkitan

Pesakit kencing manis lebih mudah mendapat jangkitan daripada orang biasa. Oleh itu, anda perlu menjaga diri sendiri melalui langkah-langkah tersebut :

Selalu menjaga kebersihan diri

Tiap-tiap hari, cucikan kaki dan jari-jari kaki dengan menggunakan sabun dan air, keringkan kaki dan sapukan bedak

Mandilah selalu

Sapukan bedak di bahagian-bahagian kulit yang berpeluh berlebihan

Jaga kebersihan gigi

Menjauhkan diri dari kecederaan

Jangan berjalan tanpa kasut atau selipar

Berhati-hatilah semasa memotong kuku jari dan jari kaki

Bersih dan balutkan mana-mana luka yang ada

Berhati-hati semasa bercukur

Penjagaan kaki

Kalau peredaran darah di bahagian kaki anda tidak dapat mengalir dengan sempurna atau diganggu, ini boleh membawa akibat yang buruk dan mungkin boleh menghilangkan kaki anda disebabkan oleh jangkitan yang melarat. Oleh itu, sentiasa perlu menjaga kaki anda

Jangan menyilangkan kaki anda semasa duduk pada suatu masa yang lama

Jangan pakai kasut yang ketat

Sentiasa urutkan kaki anda

Tiap-tiap hari, berbaringlah dengan meletakkan kaki di paras yang lebih tinggi dari badan anda untuk beberapa minit

Apakah bahaya kalau penyakit kencing manis tidak dirawat atau dikawal dengan baik.

Penyakit ini akan melarat sehingga mendatangkan akibat-akibat buruk seperti :-

Buta

Kerosakan buah pinggang

Sakit jantung dan penyakit lumpuh

Darah tinggi

Penyakit saraf

Ini boleh mengakibatkan pesakit hilang deria di bahagian kaki dan tangan. Ia tidak dapat merasai sakit, panas dengan itu boleh mencederakan diri sendiri tanpa disedari

Jangkitan yang menyebabkan Gangrene (tisu-tisu mati) yang boleh mengakibatkan kehilangan kaki

Tidak sedarkan diri

Kalau tidak dirawati dengan serta merta, pesakit boleh maut

Anda boleh mengelakkan akibat-akibat buruk ini kalau anda menjaga diri anda dengan baik

Mengidap penyakit kencing manis tidak bermakna anda hidup seperti dipenjarakan

Kalau anda ikut langkah-langkah dalam rawatan dan kawalan penyakit ini, anda boleh menikmati kehidupan yang penuh dan bahagia

Kawal penyakti kencing manis untuk menikmati kehidupan yang bahagia dan sihat



Terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia

Aidiladha Disambut Pada 17 Nov.


"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 10 Zulhijah 1431 Hijrah ialah pada 17 Nov 2010 Masehi.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 17 Nov 2010 Masihi," kata, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah .

05 November 2010

Pesawat A380 Qantas,Penumpang dengar letupan dan nampak api pada enjin


SEBUAH pesawat penumpang raksasa Airbus A380 milik syarikat penerbangan Qantas yang dalam perjalanan ke Sydney, Australia, terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Changi pagi semalam.

Ini selepas enjin di bahagian kiri pesawat penerbangan QF32 itu dipercayai meletup sehingga menyebabkan beberapa serpihan dari pesawat itu jatuh bertaburan di kawasan perumahan dan perindustrian di utara Batam, Indonesia.
Pesawat tersebut, yang boleh terbang menggunakan tiga daripada empat enjinnya, terpaksa berlegar-legar dan menghabiskan bekalan minyaknya di udara sebelum membuat pendaratan cemas itu.

Kesemua 469 penumpang dan kru selamat keluar dari pesawat itu di Changi sekitar 1.40 petang. Mereka kemudian dihantar ke dua hotel di sekitar bandar sekitar 5 petang.

Menurut seorang jurucakap Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), pesawat itu berlepas dari Changi sekitar 9.56 pagi tetapi terpaksa berpatah balik atas sebab-sebab teknikal.

'Enam kereta bomba segera dikejarkan ke landasan sejurus pesawat itu mendarat. Bagi memenuhi permintaan juruterbang, pemeriksaan dijalankan di dalam pesawat. Sebaik saja selesai pemeriksaan, penumpang dan kru dibenarkan keluar dari pesawat sekitar 1.40 petang,' ujarnya.

Tinjauan Berita Harian mendapati enjin paling hampir kepada fiuslaj (fuselage) di kiri sayap pesawat itu mempunyai kesan terbakar dan bahagian tertera logo kanggaru Qantas terkopak dan lesap.

Beberapa penumpang yang ditemui di Changi berkata mereka mendengar dentuman kuat dan melihat api di enjin sekitar 15 minit selepas pesawat itu berlepas dari Changi.

Cik Meg Grahan, dari Australia, berkata beliau mendengar dua letupan kuat sebelum pesawat itu berlegar-legar selama satu setengah jam untuk membuang minyaknya.

'Bunyi itu begitu kuat, bukan sesuatu yang anda biasa dengar apabila anda memulakan penerbangan,' ujarnya sambil berkata mereka kemudian dimaklumkan mengenai masalah enjin itu oleh juruterbang menerusi sistem pembesar suara.

Encik Ulf Waschbusch, dari Jerman, turut mendengar bunyi letupan dan nampak enjin pesawat itu mengalami kebakaran kecil. Beliau berkata sebahagian besar penumpang pesawat itu kelihatan tenang.

Namun, seorang lagi penumpang yang tidak mahu namanya disebut berkata beliau mengalami 'pengalaman mengerikan'.

Sementara itu di Batam, empat serpihan badan pesawat itu dilaporkan jatuh di kawasan perumahan di Central Park, Kawasan Industri Batam Centre, bangunan Sekolah Rendah Negeri dan Kompleks Perumahan Eden.

Tiada sesiapa dilaporkan cedera.

Qantas telah menghentikan penerbangan melibatkan kesemua enam pesawat A380 miliknya sehingga siasatan ke atas insiden penerbangan QF32 selesai.

Sementara itu, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) berkata ia akan menangguhkan penerbangan semua pesawat A380-nya menyusuli nasihat pembuat enjin dan pesawat itu, Rolls-Royce Group dan Airbus, agar SIA membuat pemeriksaan teknikal ke atas pesawat-pesawat tersebut.

Namun, SIA tiada rancangan menghentikan penerbangan pesawat A380-nya.

SIA membeli pesawat A380-nya yang pertama pada Oktober 2007, menjadikannya syarikat penerbangan pertama mengendalikan pesawat penumpang terbesar di dunia itu.

Sejumlah 37 pesawat itu kini beroperasi di seluruh dunia.

03 November 2010

Lelaki dipenjara dan disebat, rogol remaja.


KOTA BHARU – Seorang lelaki dipenjara enam tahun setengah dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana merogol remaja berusia 15 tahun di Tawang, Bachok pada 14 Januari 2008.

Hakim Zainal L Saleh memerintahkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 21 tahun, berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan 25 Mei lalu.

Dia didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun 6 bulan antara jam 2.40 pagi hingga 4 pagi di sebuah rumah di Kampung Gajah Mati, Tawang Bachok pada tarikh berkenaan.

Tertuduh yang ditangkap pada 25 Mei lalu, melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh diwakili peguam bela Rozihan Othman manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari.

02 November 2010

Petrol Ron 97 naik 5 sen mulai hari ini


Harga petrol RON 97 dinaikkan 5 sen lagi mulai hari ini. Berikutan itu, harganya kini RM2.15 seliter, demikian menurut laporan. Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah.

01 November 2010

Alamat Pejabat Baru MYIPO


"Karnival Jualan Ori 2010" Mid Valley


Sempena Kempen Membanteras Cetak Rompak, KPDNKK akan mengadakan "Karnival Jualan Ori" yang akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat berikut:-

Mid Valley Exibition Centre (MVEC)

12-14 November 2010 (Jumaat-Ahad)

10pagi-10 malam

Aktiviti Karnival: Mini Explorace, Persembahan Artis, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak,Counter Strikes Contest, Spin Wheel, Pertandingan SMS Barangan Ori, Acara Lelongan Barangan Ori dan Jualan barangan Ori dengan harga lebih rendah daripada biasa serta Pameran berkaitan barang Tiruan dan Cetak Rompak.Semua aktiviti terbuka kepada pengunjung karnival.

Antara syarikat yang akan menjayakan karnival ini ialah:-

Panasonic, Dewan Bahasa & Pustaka, Deuter bags, HP computers, Canon camera & accessories, Petronas lubricant, Proton spare parts, GPS – Papago, Game – counterstrike, Game – warcraft, Recording Industry Association of Malaysia (RIM), Malaysian Federation Against Copyright Theft (Mfact) sdn. Bhd, Upin& Ipin, Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Persatuan Industri Video dan Filem Malaysia (VIFIM), United Studios Sdn.Bhd KRU, Kualiti Books Sdn Bhd.

JOM BELI BARANGAN ORI dan bersama menjayakan KEMPEN MEMBANTERAS CETAK ROMPAK! Jumpa disana....

Nuffnag ads