26 November 2010

Kerajaan Singapura bagi Bonus dua bulan bagi pekerja sektor awam


Bayaran khas pada Mac bagi kakitangan yang baik kelakonan

KAKITANGAN perkhidmatan awam Singapura akan menerima bonus sebanyak dua bulan gaji bulan depan. Bonus itu merangkumi bonus Komponen Berubah-ubah Tahunan (AVC) sebanyak satu bulan gaji dan Elaun Tahunan Bukan Pencen (NPAA), atau gaji bulan ke-13.
Dengan bonus AVC sebanyak 0.5 bulan dan bayaran khas sebanyak $300 (RM738) yang telah mereka nikmati Julai lalu, kakitangan awam secara keseluruhannya menerima bonus sejumlah 2.5 bulan campur $220 (RM492) tahun ini.

Kakitangan awam yang menunjukkan kelakonan baik akan menerima Bayaran Berubah-ubah Khas (SVP), atau yang dikenali sebagai Bonus Pertumbuhan antara 1 dengan 1.6 bulan gaji pada Mac depan (2011).

SVP diagihkan apabila Singapura menikmati pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, dan bayarannya berubah-ubah bergantung kepada kelakonan individu.

Ini diumumkan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meramalkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dijangka tumbuh 15 peratus tahun ini.

Tahun lalu, kakitangan awam menerima bonus lebih rendah, sebanyak 0.25 bulan, tidak melebihi $750 (RM1,845) sementara kakitangan awam peringkat rendah menikmati pembayaran penuh akhir tahun sebanyak suku bulan itu. Kesemua kakitangan awam juga menerima gaji bulan ke-13.

'Pada Mac 2011, kakitangan awam yang memaparkan kelakonan yang baik akan menerima satu bulan gaji dan mereka yang menunjukkan kelakonan yang lebih baik akan menerima sehingga 1.6 bulan gaji, sementara mereka yang menunjukkan kelakonan yang mengecewakan tidak akan menerima sebarang SVP,' jelas PSD lagi.

Namun penyesuaian gaji bagi pegawai Perkhidmatan Pentadbiran, dan pemegang jawatan politik, kehakiman dan berkanun akan terus dibekukan.

'Walaupun Singapura menikmati pemulihan ekonomi yang kukuh pada 2010, pemerintah memutuskan untuk menangguhkan dahulu penyesuaian gaji bagi pegawai Perkhidmatan Pentadbiran dan pemegang jawatan politik, kehakiman dan berkanun,' jelas PSD lagi.

Mengulas mengenai bayaran bonus itu, Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Cik Halimah Yacob, berkata bonus yang lebih tinggi itu mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang baik.

'Bayaran bonus yang lebih tinggi juga menunjukkan bahawa Skim Bayaran Berubah-ubah di perkhidmatan awam dilaksanakan secara baik kerana pekerja diberi ganjaran lebih rendah semasa waktu sukar dan diberi ganjaran lebih tinggi apabila ekonomi tumbuh dengan baik,' jelas Cik Halimah lagi.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads