29 November 2010

Rasuah: Dua anggota polis dipenjara dua bulan, didenda RM10,000


ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan dua anggota polis daripada tuduhan menerima rasuah sebaliknya mengenakan hukuman penjara dua bulan dan
denda RM10,000.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu setelah menerima rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret di sini yang membebaskan Lans Koperal Mohd Salleh Musa, 47, dan Lans Koperal Hasnul Malik Yeop Mat Rasid, 51, daripada tuduhan itu pada 29 Okt tahun lalu.

Hakim Mohd Azman bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya permohonan untuk menangguhkan pembayaran denda pula ditolak menyebabkannya perlu dijelaskan pada hari ini.

Pihak pendakwaan yang bertindak sebagai perayu dalam kes ini diwakili
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim manakala kedua-dua anggota polis berkenaan diwakili peguam K.C Ang.

Mengikut pertuduhan, Mohd Salleh dan Hasnul Malik telah meminta suapan wang tunai RM500 di balai polis Kota Sarang Semut di sini pada 5.15 petang 2 Dis 2005 daripada Wong Kok Choon sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan yang didakwa telah mengganggu seorang gadis.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan selepas Mohd Salleh, yang telah
berkhidmat selama 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia dan Hasnul Malik, yang telah berkhidmat 32 tahun, dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Majistret di sini di akhir kes pembelaan.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Sesyen berlainan di sini hari ini, dua
penyelia gudang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berasingan menerima rasuah.

Koh Kok Shiun, 30, dituduh memberi suapan RM3,000 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 pada 22 Okt lalu di Honest Acceptance (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

Loi Kok Lun, 29, pula dituduh memberi suapan RM4,000 kepada seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNKK untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya berhubung kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 pada 22 Okt lalu di Mas Petroleum Sdn Bhd, juga terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

Bagi Koh, Hakim Mohd Sabri Ismail mengenakan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan kes itu pada 18 Jan tahun depan manakala Loi pula dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin oleh Hakim Cha Jit Li dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 11 Jan tahun depan. Koh dan Loi juga diwakili peguam sama iaitu T.Jegadeeson, dan kedua-dua pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Iznina Hanim Hashim. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads