05 November 2010

Pesawat A380 Qantas,Penumpang dengar letupan dan nampak api pada enjin


SEBUAH pesawat penumpang raksasa Airbus A380 milik syarikat penerbangan Qantas yang dalam perjalanan ke Sydney, Australia, terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Changi pagi semalam.

Ini selepas enjin di bahagian kiri pesawat penerbangan QF32 itu dipercayai meletup sehingga menyebabkan beberapa serpihan dari pesawat itu jatuh bertaburan di kawasan perumahan dan perindustrian di utara Batam, Indonesia.
Pesawat tersebut, yang boleh terbang menggunakan tiga daripada empat enjinnya, terpaksa berlegar-legar dan menghabiskan bekalan minyaknya di udara sebelum membuat pendaratan cemas itu.

Kesemua 469 penumpang dan kru selamat keluar dari pesawat itu di Changi sekitar 1.40 petang. Mereka kemudian dihantar ke dua hotel di sekitar bandar sekitar 5 petang.

Menurut seorang jurucakap Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), pesawat itu berlepas dari Changi sekitar 9.56 pagi tetapi terpaksa berpatah balik atas sebab-sebab teknikal.

'Enam kereta bomba segera dikejarkan ke landasan sejurus pesawat itu mendarat. Bagi memenuhi permintaan juruterbang, pemeriksaan dijalankan di dalam pesawat. Sebaik saja selesai pemeriksaan, penumpang dan kru dibenarkan keluar dari pesawat sekitar 1.40 petang,' ujarnya.

Tinjauan Berita Harian mendapati enjin paling hampir kepada fiuslaj (fuselage) di kiri sayap pesawat itu mempunyai kesan terbakar dan bahagian tertera logo kanggaru Qantas terkopak dan lesap.

Beberapa penumpang yang ditemui di Changi berkata mereka mendengar dentuman kuat dan melihat api di enjin sekitar 15 minit selepas pesawat itu berlepas dari Changi.

Cik Meg Grahan, dari Australia, berkata beliau mendengar dua letupan kuat sebelum pesawat itu berlegar-legar selama satu setengah jam untuk membuang minyaknya.

'Bunyi itu begitu kuat, bukan sesuatu yang anda biasa dengar apabila anda memulakan penerbangan,' ujarnya sambil berkata mereka kemudian dimaklumkan mengenai masalah enjin itu oleh juruterbang menerusi sistem pembesar suara.

Encik Ulf Waschbusch, dari Jerman, turut mendengar bunyi letupan dan nampak enjin pesawat itu mengalami kebakaran kecil. Beliau berkata sebahagian besar penumpang pesawat itu kelihatan tenang.

Namun, seorang lagi penumpang yang tidak mahu namanya disebut berkata beliau mengalami 'pengalaman mengerikan'.

Sementara itu di Batam, empat serpihan badan pesawat itu dilaporkan jatuh di kawasan perumahan di Central Park, Kawasan Industri Batam Centre, bangunan Sekolah Rendah Negeri dan Kompleks Perumahan Eden.

Tiada sesiapa dilaporkan cedera.

Qantas telah menghentikan penerbangan melibatkan kesemua enam pesawat A380 miliknya sehingga siasatan ke atas insiden penerbangan QF32 selesai.

Sementara itu, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) berkata ia akan menangguhkan penerbangan semua pesawat A380-nya menyusuli nasihat pembuat enjin dan pesawat itu, Rolls-Royce Group dan Airbus, agar SIA membuat pemeriksaan teknikal ke atas pesawat-pesawat tersebut.

Namun, SIA tiada rancangan menghentikan penerbangan pesawat A380-nya.

SIA membeli pesawat A380-nya yang pertama pada Oktober 2007, menjadikannya syarikat penerbangan pertama mengendalikan pesawat penumpang terbesar di dunia itu.

Sejumlah 37 pesawat itu kini beroperasi di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads