09 November 2010

Nyaris dirompak di kawasan rehat Pagoh


Gambar: Cermin tingkap kereta milik Encik Zainal ini dipecahkan seorang lelaki yang cuba merampas beg isterinya yang berada di tempat duduk penumpang depan. -- Foto ZAINAL HAJI JADI

GARA-GARA ingin membeli sepeket air teh, seorang warga Singapura nyaris kehilangan wang dan barang kemas dalam satu percubaan merompak di kawasan rehat Pagoh di Lebuh Raya Utara Selatan malam Khamis lalu.
Mujur isterinya, yang ketika itu berada dalam kereta, menggunakan kakinya untuk menghalang beg tote berisi wang RM3,000 dan barang kemas daripada dirampas si perompak.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.45 malam itu, Encik Zainal Haji Jadi, 55 tahun, bersama isteri dan anak bongsunya sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menziarahi abangnya.

Mengimbas peristiwa itu, isteri Encik Zainal, Cik Sumiyah Hadim, 50 tahun, berkata suaminya berhenti di Pagoh untuk mendapatkan air panas.

Sedang beliau menanti suaminya, Cik Sumiyah berkata sebuah kereta putih berhenti di kiri kereta mereka dan pemandu kereta itu membuka pintu lalu melanggar tepi keretanya.

'Pada mulanya, saya tidak fikir apa-apa cuma sangka dia terlanggar. Tapi tiba-tiba tingkap penumpang depan kereta saya dipecahkan dan tangan seorang lelaki cuba mencapai beg yang berada di kaki saya.

'Saya terus jerit 'Ya Allah! Ya Allah' sambil menendang tangan lelaki itu daripada mencapai beg saya. Agaknya dia perasan orang ramai dah nampak, dia pun larikan diri dengan tangan kosong. Mujur saya pun tidak diapa-apakan,' kata Cik Sumiyah, yang masih menggigil semasa menceritakan tentang kisah tersebut.

Beliau tidak pasti wajah lelaki itu tetapi hanya ingat dia dipercayai berbangsa Cina dan berseluar pendek.

'Ramai orang kita yang gemar berehat di Pagoh dan saya harap pengalaman saya ini dapat menjadi iktibar kepada orang lain. Hati-hati dengan taktik rompakan ini,' kata Encik Zainal, seorang penolong pengurus.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads