25 November 2010

Rasuah Penguatkuasa KPDNKK, Pemandu Lori di jel 2 tahun


IPOH – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM10,000 ke atas seorang pemandu lori yang didakwa atas tuduhan memberi suapan kepada penjawat awam membabitkan penyimpanan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.
Tertuduh, Sofli Ahmad, 33, bapa kepada lima anak itu bagaimanapun jika gagal membayar denda berkenaan, dia bakal berdepan hukuman penjara enam bulan lagi.

Sofli yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah atas dakwaan itu namun merayu agar dikurangkan denda dan tidak mengenakan hukuman penjara memandangkan isterinya tidak bekerja serta menyesal di atas perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan, meminta agar mahkamah mengambil kira kerugian Kerajaan Malaysia berikutan kegiatan mencuri diesel iaitu mencecah nilai berbilion ringgit setahun.

Tertuduh yang baru enam bulan menjadi pemandu lori itu didakwa memberi suapan wang tunai bernilai RM2,000 kepada Mohd Fairul Izwan Mohd Fadzir iaitu Pembantu Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Berdasarkan fakta kes, Sofli didakwa memberi suapan itu pada 6 Ogos 2010, kira-kira jam 1 pagi di KM 55, Jalan Pengkalan Baru, Pantai Remis, Manjung kepada Mohd Fairul sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan kerana menyimpan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads