28 April 2011

Polis keluar notis saman bergambar - 1 Mei ini


Mulai 1 Mei ini, Polis Diraja Malaysia akan menghantar notis saman berserta gambar mana-mana kenderaan yang didapati melanggar undang-undang jalan raya di kawasan yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah itu bagi mengemas kini cara saman dikeluarkan supaya lebih tepat dan berkesan.

"Kalau ada yang dakwa itu bukan kenderaan mereka (walaupun selepas notis saman beserta gambar dihantar), sila kemukakan bukti di mana-mana kaunter trafik," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, kaedah itu akan diguna pakai bagi kesemua kesalahan termasuk memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar, membuat pusingan di kawasan yang tidak dibenarkan dan sebagainya.

Kaedah itu digunakan sebagai "bahan bukti" bagi menunjukkan seseorang itu melanggar undang-undang jalan raya, katanya.

Khalid berkata, bagi kawasan yang tidak mempunyai CCTV, saman akan tetap dikeluarkan secara normal oleh anggota dan pegawai trafik.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana anggota dan pegawai polis yang enggan menerima sesuatu laporan polis.

Katanya, isu terbabit antara yang dibangkitkan dalam mesyuarat "Delivery Task Force" bagi mengurangkan kes jenayah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Khalid berkata, pengurusan tertinggi PDRM menerima banyak aduan mengenai isu itu dan masyarakat perlu tampil melaporkan mana-mana anggota yang enggan menerima sesuatu laporan polis.

"Tulis nombor mereka dan catat di mana kes itu berlaku. Kita tidak akan berdolak-dalik dalam hal ini dan akan mengambil tindakan kepada mereka yang enggan mengikut arahan ini," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya, laporan boleh dilakukan di mana-mana balai dan siasatan akan dilakukan segera dan memanggil individu yang memuat laporan itu bagi membantu siasatan.

Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan strategi dan kaedah bagi mengurangkan rasa takut masyarakat ketika berhadapan dengan sesuatu kes jenayah.

Bagi tujuan itu, Khalid berkata, lebih banyak program kemasyarakatan akan diadakan bagi membolehkan polis dan orang ramai bertukar-tukar pendapat dalam menghadapi sesuatu kes jenayah.

- Bernama

PEKELILING PERBENDAHARAAN BIL.4/2004 - PERUNTUKAN KHAS KERAJAAN UNTUK AKTIVITI SOSIAL, KEBAJIKAN DAN SUKAN


27 April 2011

Taktik menipu melalui SMS; "tahniah, anda telah menang hadiah percuma. Dapatkannya dengan menghantar sms kepada nombor...".


Masihkah anda ingat pada peraduan 'gores dan menang' yang pernah digunakan sesetengah pihak bagi menipu orang ramai untuk membeli produk yang mereka tidak perlukan?

Kini taktik yang sama telah timbul semula, tetapi kali ini ia melalui 'sms' (khidmat pesanan ringkas).
Baru-baru ini ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, pengamal perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Krishnan telah menerima satu sms yang menyatakan "tahniah, anda telah menang hadiah percuma. Dapatkannya dengan menghantar sms kepada nombor...".

Tidak sabar untuk mengetahui apa hadiah tersebut, Dr Krishnan terus menjawab sms tersebut dan menghantarnya kepada nombor lima digit yang disertakan dan beberapa saat kemudian beliau menerima satu mesej yang menyatakan beliau telah melanggani satu perkhidmatan.

"Saya terkejut dengan mesej yang saya terima, selepas memberi respon menyebabkan saya kehilangan kredit prabayar sebanyak RM4. Jika saya terima beberapa sms sedemikian, berapa bayaran kredit saya yang akan hilang? Saya memang tidak perlukan khidmat yang ditawarkan.

"Apa yang buat saya naik angin lagi, saya perlu menjawab jika saya mahu khidmat tersebut dihentikan dan sebanyak RM1 lagi kredit saya dipotong.

"Hanya dengan sekelip mata sahaja kerana tertipu dengan sms pertama, saya telah hilang RM5. Semuanya kerana saya ingin tahu apa hadiah yang saya menang (dapat). Sekiranya 100 pengguna prabayar yang terkena taktik ini, pihak itu dapat RM500 hanya dalam beberapa minit sahaja dan di negara ini terdapat ratusan ribu pengguna prabayar", katanya dengan nada yang geram.

Ahli perniagaan S Muthu juga terkena helah yang sama.

"Tanpa disangka saya terima satu sms mengucapkan tahniah menyatakan saya telah menang hadiah percuma. Sudah tentu saya mahu tahu apa yang saya telah menang. Jadi saya jawablah sms itu.

"Tetapi datang pula balasan mesej menyatakan saya telah melanggan satu perkhidmatan yang saya tidak perlu langsung. Kalaulah dari awal lagi saya tahu tentang taktik ini, saya tidak akan sekali-kali memberi respon dan mengabaikan sahaja mesej yang terdahulu," kata beliau.

Menurut aktivis sosial dan pengguna Gurmukh Singh, hanya pengguna telefon prabayar sahaja yang menerima sms sebegini.

"Setiap orang yang menerima sms sebegini akan memberi respon tanpa usul-periksa".


Katanya tidak salah dari segi undang-undang jika pihak yang terlibat menawarkan khidmat kepada pengguna talian prabayar kerana mereka punya pilihan untuk kata ya atau tidak terhadap perkhidmatan tersebut.

"Tetapi dengan menyatakan ada hadiah percuma merupakan satu umpan yang cukup efektif. Hampir semua penerima mesej itu mahu tahu apa hadiah yang mereka dapat", kata Gurmukh.

Kerana tidak sabar untuk mengetahui apa hadiahnya, si penerima mesej tersebut tidak akan membuang masa untuk memberikan respon tetapi kemudian diberitahu mereka telah melanggani satu perkhidmatan yang mereka sebenarnya tidak perlukan.

"Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah produk yang ada dalam pasaran atau lawatan melancong. Tetapi semuanya bukan percuma. Sebenarnya pengguna tidak perlu khidmat seperti ini kerana mereka boleh mendapatkan maklumat melalui cara lain dengan percuma.

"Memburukkan lagi keadaan, pengguna prabayar terpaksa membayar dengan harga yang tinggi bagi khidmat sms sebegini, kata beliau.

Pengguna talian akan mengalami pengurangan kredit prabayar mereka dengan banyak bila menjadi mangsa 'helah' untuk melanggani perkhidmatan tertentu.

Kata Gurmukh hanya mereka yang menggunakan talian prabayar akan menjadi mangsa kepada taktik sebegini.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab biasanya mencari pengguna talian prabayar, mungkin kerana mereka dengan mudahnya dapat memotong jumlah kredit secara terus. Mereka biasanya menjauhi pengguna talian posbayar".

"Mereka yang terkena sepatutnya melaporkan kepada pihak berkuasa. Tetapi dalam kebanyakan kes, mangsa hanya mendiamkan diri sahaja.

"Mereka ini akan menganggap yang mereka hilang RM5 sahaja (RM4 ketika menerima mesej yang mereka telah melanggani perkhidmatan dan RM1 lagi untuk menghentikan perkhidmatan).

"Biasanya mangsa akan ditipu sekali sahaja. Mereka akan menamatkan perkhidmatan bila sedar mereka telah terpedaya. Maka tamatlah cerita dan mereka tidak akan terpedaya lagi".

Gurmukh punya satu nasihat bagi pengguna.

"Pengguna perlu mengabaikan saja apa-apa sms yang mereka terima tentang kononnya mereka dapat hadiah. Ini semua strategi untuk menperdayakan pengguna.

"Tidak ada sesiapa yang mahu memberi hadiah melainkan ada tujuan atau niat lain di sebaliknya".

- Bernama

24 April 2011

Aktiviti Hari Belia Negara 2011, di Putrajaya.




Memancing Sejuta Belia
Tawaran istimewa kepada pemancing – pemancing di seluruh negara sempena Sambutan Hari Belia Negara 2011 di Putrajaya bagi menghimpunkan Sejuta Belia pada 27 – 29 Mei 2011.





Karnival Sukan Air

Karnival Sukan Air Hari Belia 2011 ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan
Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kanu Malaysia dan Perbadanan Putrajaya
sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 bagi tujuan menghimpunkan satu juta
belia dalam 200 aktiviti yang disediakan. Bagi aktiviti berpusat di air, Karnival ini dianjurkan untuk menggalakkan aktiviti rekreasi dan sukan air di Presint 6, Kompleks Sukan Air, Tasik Putrajaya selari dengan hasrat Perbadanan Putrajaya untuk menjadikannya sebagai pusat sukan air terunggul di Malaysia dan antarabangsa.

Karnival Jom Makan 1 Malaysia



6th Malaysia International Ekiden Run Putrajaya 2011


untuk mandapatkan borang pendaftaran / penyertaan sila kunjungi laman web http://www.haribelianegara.org.my/.

Festival Pengantin 2011 di PICC, Putrajayan


19 April 2011

Khalwat: Timbalan KSU mengaku tidak bersalah


Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di George Town hari ini, atas tuduhan berkhalwat bersama seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lepas.
Nur Diayana Norslan, 29, bekas pembantu peribadi kepada Salim, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya, yang menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Salim, yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi, 16 April lepas, pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu itu, dalam prosiding itu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,000 daripada RM3,000, seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

"Jumlah RM3,000 dicadangkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi dan seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan selesai kerana jumlah itu sama dengan denda maksimum dalam pertuduhan itu.

"Sudah menjadi kebiasaan dan amalan mahkamah syariah menetapkan jaminan antara RM1,000 dan RM1,500 bagi kes khalwat," katanya.

Wan Faridulhadi turut memberitahu mahkamah bahawa isteri Salim yang turut hadir pada prosiding hari ini bersedia untuk menjadi penjamin kepada kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz memohon supaya jaminan dibayar oleh pemastautin di negeri itu.

Nik Bukhari Hashimy menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Pulau Pinang bagi setiap tertuduh.

Salim tiba di mahkamah bersama isterinya pada kira-kira pukul 8 pagi manakala Nur Diayana tiba berasingan pada kira-kira pukul 9.10 pagi.

Sementara itu, di luar mahkamah, Wan Faridulhadi berkata Salim dan Nur Diayana telah berkahwin di luar negara dan dalam proses mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

- Bernama

P'raya umum ke-11: Singapura bubar parlimen


Kerajaan Singapura hari ini mengumumkan pembubaran Parlimennya, sekaligus membuka jalan untuk Pilihan Raya Umum ke-11 republik itu diadakan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Presiden Singapura SR Nathan membubarkan Parlimen selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Pilihan raya umum itu akan menjadi ujian pertama kepimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Lee, anak sulung Perdana Menteri pertama Singapura dan Menteri Mentor Lee Kuan Yew, dilantik ke jawatan itu pada Ogos 2004.

Sebelum ini, beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak 1990.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, telah mendominasi Parlimen sejak lima dekad dan diuar-uarkan akan mengadakan pilihan raya lebih awal, walaupun tarikh akhir ialah Februari 2012, bagi mengambil kesempatan dengan keadaan ekonomi negara yang kukuh ketika ini.

Ahad lepas, PAP mengumumkan manifestonya pada pilihan raya umum akan datang yang dinamakan "Securing Our Future Together."

Menerusi manifesto itu, PAP berkata rakyat Singapura boleh bergantung kepada parti itu untuk memberikan yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat, serta menyatupadukan mereka ketika senang dan susah.

- Bernama

Nuffnag ads