07 July 2013

Mayat disangka patung

KAMPUNG SUNGAI ULAR - Orang ramai termasuk pengguna Lebuh Raya Pantai Timur gempar dengan penemuan mayat seorang wanita terlentang dalam keadaan tragis dan separuh bogel di Kilometer 41.1 Bukit Besi-Kuala Terengganu, di sini, pagi semalam.

Kejadian menyayat hati itu dipercayai berlaku antara jam 6 hingga 7 pagi berikutan seorang pengawal keselamatan yang melalui lokasi berkenaan sekitar jam 5.30 pagi untuk ke masjid mendapati masih tiada mayat.
Difahamkan, wanita ditemui dalam longkang dengan beberapa kesan kecederaan termasuk di kepala dan dahi tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu dipercayai warga asing kerana tiada suntikan vaksin BCG pada bahunya.

Lebih tragis, ketika ditemui mangsa hanya memakai baju T berwarna oren dan hitam yang terselak serta berseluar dalam.

Mayat berlumuran darah

Pengawal keselamatan berusia 40 tahun yang enggan dikenali berkata, mulanya dia menyangka objek terbaring dalam longkang itu adalah patung dan dia benar-benar terkejut apabila mendapati ia mayat seorang wanita berlumuran darah.

“Kira-kira jam 5.30 pagi, saya menunggang motosikal ke Masjid Sungai Ular untuk solat Subuh dan tiada sebarang objek sewaktu melalui lokasi. Namun, sekitar jam 6.50 pagi sewaktu perjalanan ke tempat bertugas, saya terlihat suatu objek.

“Disebabkan saya mabuk darah, saya hanya memberhentikan motosikal selepas beberapa meter dari tempat kejadian. Ketika itu juga, terdapat seorang pemandu lori yang turut memaklumkan terlihat objek di dalam longkang," katanya yang baru dua bulan bekerja di pondok keselamatan tersebut dan antara individu terawal menemui mayat mangsa.

Menurutnya, pada mulanya dia mengambil keputusan untuk kembali ke tempat bertugas iaitu di pondok keselamatan di Hentian Rehat Ajil bagi mendapatkan nombor telefon balai polis untuk dihubungi tetapi pemandu lori menyarankan supaya terus hubungi talian 999.

Tunggu laporan bedah siasat

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, orang ramai mengerumuni lokasi dan terdapat sepasang selipar berwarna merah jambu berhampiran mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Mangsa ditemui tanpa sebarang pengenalan diri dan hanya memakai baju T berwarna oren. Berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai berumur antara 40 hingga 45 tahun, ketinggian 158 sentimeter serta berkulit putih.

“Oleh itu, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu menerusi talian 09-6811222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Nuffnag ads