08 July 2013

Program perumahan untuk penjawat awam perlu siap menjelang 2020- CUEPACS

KUALA LUMPUR - Mana-mana program atau projek perumahan untuk penjawat awam yang dirancang kerajaan perlu disiapkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata jika tidak, penjawat awam akan menghadapi situasi kritikal kerana sewa rumah dan harga rumah sedia ada akan meningkat.
"Projek perumahan tersebut perlu mempunyai tindakan segera. Hari ini orang bertanya saya bila rumah akan siap, bila boleh nampak bayangan dan bukan lagi tanya di mana projek dirasmikan atau dilancarkan.

"Jadi kita harap sekurang-kurangya pada 2015, projek perumahan untuk penjawat awam telah disiapkan.

"Bayangkan jika sudah berumur 40 tahun baru dapat peluang memiliki rumah, seseorang penjawat awam itu akan dipotong gajinya hingga pencen dan ini akan menyukarkan hidup mereka akibat rumah itu lewat disiapkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa bahawa 100,000 unit rumah dirancang dibina di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk penjawat awam di seluruh negara.

Jumlah itu termasuk program PPA1M membabitkan pembinaan 10,366 unit rumah di Putrajaya yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, April lepas.

Harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim itu adalah antara RM150,000 hingga RM300,000 dan keluasannya pula adalah antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi.

Menerusi program itu, kerajaan akan mengenal pasti kawasan-kawasan strategik termasuk di bandar-bandar dan ibu kota untuk memperluas program itu di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar termasuk Sabah dan Sarawak.

Menyambut baik pengumuman Ketua Setiausaha Negara itu, Omar berkata ia menunjukkan kerajaan prihatin dengan nasib penjawat awam yang tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga.

"Masalah rumah ini telah dibangkitkan beberapa tahun lepas. Sampai masa kita perlukan tindakan segera. Ingatlah penjawat awam adalah pengundi setia dan kebanyakan mereka belum mempunyai rumah," katanya.

Mengenai pemaju projek perumahan penjawat awam, Omar menarik perhatian bahawa kerajaan perlu melantik pemaju yang bertanggungjawab agar projek tidak terbengkalai.

Menurutnya umum mengetahui banyak projek perumahan sering terbengkalai disebabkan kegagalan pemaju menyiapkannya dan situasi ini akan menjejaskan lagi masalah dihadapi penjawat awam.

Sebelum ini CUEPACS meminta kerajaan pusat serta kerajaan negeri menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Menurut CUEPACS, kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih belum berkemampuan memiliki rumah. - Bernama

Nuffnag ads