11 July 2013

Mesir-Laman web rasmi Ikhwan Muslmin, Ikhwanonline melaporkan sekurang-kurangnya 40 penyokong Morsi yang berhimpun di hadapan Bangunan Pengawal Republik di sini terbunuh selepas polis Mesir menyuraikan himpunan dengan kekerasan menjelang waktu Subuh.

Dilaporkan insiden tercetus ketika peserta himpunan yang sudah berkampung sejak beberapa hari itu baru menunaikan solat Subuh.
Menurut saksi, polis melepaskan gas pemedih mata ketika rakaat kedua solat sebelum qunut dibacakan. Sejurus selepas itu, mereka kemudian dihujani peluru hidup yang bertalu-talu ditembak ke arah mereka.



Laporan web itu juga menyebut, 200 orang turut tercedera dalam insiden terbaru itu.

Kesemua jenazah yang terkorban kini dikumpulkan di pentas utama himpunan di Dataran Raba'ah.

Sementara itu Ikhwan Muslimin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis yang menembak kejam rakyat yang berhimpun di hadapan Bangunan Pengawal Republik pagi ini sehingga menyebabkan berpuluh terkorban.

Jurucakap rasmi Ikhwanul Muslimin Gehad El-Haddad berkata, kebanyakan mayat yang ditemui dengan kesan tembakan di kepala malah ada yang dijumpai dengan organ hancur dan badan terpisah.

"Kami menjumpai orang yang ditembak di kepala. Kami juga mendapati peluru-peluru yang meletup apabila memasuk badan, menyebabkan organ hancur dan anggota badan terpisah.

"Setiap polis dalam dunia ini perlu memahami bagaimana mahu menyuraikan himpunan. Ini adalah satu aktiviti jenayah yang mensasarkan kepada peserta himpunan. Tiada siapa menjangka perbuatan khianat itu datang dari polis dan pengawal Republik. Arahan untuk membunuh orang-orang Mesir yang datangnya dari tentera Mesir sendiri," katanya dipetik Al-Jazeera.

Menurut beliau lagi, tentera dan polis memulakan tembakan kepada penunjuk perasaan yang berada di bangunan Pengawal Republik kira-kira jam 3.30 pagi.

Maklumat terbaru menyebut sekurang-kurangnya 53 penyokong Morsi terbunuh termasuk 5 kanak-kanak dalam insiden itu manakala lebih 300 yang lain cedera.

Al Fatihah..

Nuffnag ads