25 August 2010

Lelaki sembelih anak direman di Hospital



KOTA BHARU: “Saya tergamam melihat leher anak saya terkulai berlumuran darah selepas disembelih suami,” kata Nik Suzila Nik Hashim, 32, ibu kepada Mohamad Adam Muszahffar Muhaimin, 3, yang mati selepas dipercayai disembelih bapanya di Kampung Sungai Keladi semalam. Nik Suzila berkata, selepas menyembelih anak, suaminya yang mengalami masalah mental cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya menggunakan pisau sama, namun tidak berjaya kerana ditahan polis.
Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dia dan suaminya, Muhaimin Sauntar, 33, sempat berbual-bual sebelum suaminya mengadu kepanasan dan berjalan ke arah dapur sambil diekori Mohamad Adam Muszahffar.

Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar jeritan kuat Mohamad Adam Muszahffar dan pada mulanya menyangka anak kedua daripada tiga beradik itu terjatuh di dapur.

“Saya segera ke dapur dan terkejut melihat anak saya terkulai berlumuran darah selepas disembelih suami. Saya tak sangka dia sanggup berbuat begitu. Saya mampu menjerit dan makin terkejut apabila suami cuba mengelar lehernya sendiri,” katanya.

Menurut Nik Suzila, turut berada di rumah ketika kejadian, anak bongsunya, Siti Aisyah, 2, manakala anak sulung, Nur Syafikah, 8, berada di sekolah.

Difahamkan, suspek pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasar raya di sini, sebelum berhenti sebulan lalu.

Nik Suzila berkata, suaminya sudah lama menghidap penyakit mental dan sering mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Sudah lama dia tidak mengalami sebarang gangguan mental sehinggalah kejadian semalam.

“Sejak akhir-akhir ini, dia tak mahu ambil ubat kerana menyebabkan dia sakit kepala. Sudah lama penyakitnya tidak menyerang dan saya sangka dia sudah pulih. Namun sangkaan saya meleset,” katanya.

Datuk mangsa, Nik Hashim Nik Abdullah, 64, berkata dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu Nik Suzila.

Nik Hashim yang ketika itu berehat di rumahnya tidak jauh dari rumah mangsa menghubungi polis yang kemudian menahan menantunya dan merampas pisau.

Menurutnya, dia menyedari menantunya itu berperangai pelik sejak dua hari lalu tetapi tidak menjangkakan dia bertindak demikian.

“Sukar untuk saya menerima apabila dia sanggup menyembelih anak sendiri memandangkan kedua-duanya rapat selain mangsa satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, Mohamad Adam Muszahffar mati di tempat kejadian akibat parah di bahagian leher.

Direman 5 hari di Hospital

Seorang lelaki berusia 33 tahun yang sedang menerima rawatan di hospital di sini, dikenakan perintah reman berhubung kematian seorang kanak-kanak berumur tiga tahun semalam akibat disembelih.


Pendaftar Kanan Mahkamah di sini, Rashid Mustafa, memaklumkan bahawa mahkamah telah mengeluarkan reman selama lima hari bermula hari ini.

Rashid yang hadir bersama seorang jurubahasa dan seorang kerani jenayah di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 11.05 pagi tadi turut dilihat menemui doktor yang merawat suspek sebelum mengajukan beberapa soalan kepada lelaki itu.


Bagaimanapun suspek yang kelihatan lemah kerana turut cedera di leher akibat tindakannya cuba menyembelih lehernya sendiri, dilihat lebih banyak menggelengg kepala tanpa bercakap. Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor dekat sini semalam, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian, manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih dirinya sendiri.


Lelaki terbabit yang juga seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Baharu itu dipercayai pernah mendapat rawatan mental.-Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads