08 August 2010

myMetro | Meninggal bagai pahlawan


USUNG... jenazah Hafizie dibawa ke kampung halamannya di Gua Musang untuk dikebumikan.

KUALA LUMPUR: “Sedih memang sedih, tetapi pakcik bangga anak pakcik meninggal sebagai pahlawan,” kata Nik Din Wan Musa, 49, bapa kepada Lans Koperal Nik Hafizie Nik Din, 25, yang meninggal dunia pagi semalam. Menurut Nik Din, Allahyarham anak kedua daripada enam beradik, dianggap sebagai anak lelaki tunggal yang manja dengannya tetapi dalam kerja, dia seorang yang berdisiplin.
“Pakcik reda dengan apa yang berlaku walaupun hati ini sedih. Pakcik mendidik dia dengan penuh kasih sayang, mengajarnya ilmu mempertahankan diri dan mendidiknya cara berdisiplin untuk hidup,” katanya.


Dalam kejadian itu, Hafizie yang bertindak berani mengejar seorang penunggang motosikal yang lari daripada sekatan jalan raya di Bulatan Segambut, gagal mengawal motosikal yang ditunggang sebelum merempuh treler berkenaan apabila berpatah balik melawan arus.


Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

Jenazahnya disembahyangkan di Surau Kompleks Kuarters HKL selepas Zuhur dan dikebumikan di Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, beliau bangga mempunyai anggota berani seperti Allahyarham yang tidak menghiraukan keselamatannya dengan tindakan pantas mengejar suspek yang disyaki membawa barang haram di dalam beg plastik hitam.


Katanya, suspek sehingga kini belum dapat dikenal pasti disebabkan kejadian pada waktu Subuh mengakibatkan anggota sukar mengecam wajah suspek.


“Kami kehilangan seorang anggota yang sangat berdisiplin, berani, berbudi bahasa dan dianggap sentiasa serius dalam kerja,” katanya.


Allahyarham mula berkhidmat sebagai polis pada Mei 2005 dengan menjadi peninju Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mula berkhidmat di Balai Polis Sentul pada April tahun ini.


Sehubungan itu, pihak Balai Polis Sentul mengadakan bacaan tahlil malam tadi dan akan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham melalui tabung kebajikan.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads