04 August 2010

myMetro | Kikis duit gaji isteri koma

KASIH IBU...Robaeyah menjaga anaknya, Zalina yang terlantar

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang isteri yang terlantar sakit sejak lebih setahun lalu apabila dia diabaikan suami yang bukan saja langsung tidak pernah datang menjenguk, malah turut mengikis gajinya yang amat diperlukan untuk menampung kos perubatan menjangkau ribuan ringgit setiap bulan.
alina Elias, 30, yang juga kakitangan Pejabat Pos Padang Temu, Melaka, kini bergantung hidup kepada ibu kandungnya yang uzur sambil mengharapkan ihsan sanak-saudara.

Ibunya, Robaeyah Mansor, 54, berkata penderitaan Zalina bermula kira-kira setahun lalu apabila dia mengalami batuk berdarah sebelum jatuh pengsan dan dimasukkan ke Hospital Melaka hampir dua bulan.

Doktor yang merawatnya memberitahu Zalina diserang penyakit tibi, namun agak menghairankan kerana dia selalu tidak sedarkan diri dan koma.

“Malah, dia pernah putus nafas hampir 20 minit sebelum doktor memulihkannya. Namun, keadaannya tidak ubah seperti mayat hidup apabila hanya bernafas dengan keadaan mata terbuka tanpa memberi reaksi.

“Lebih menyedihkan, sepanjang dia terlantar sakit dua bulan di hospital, mak cik terpaksa menjaganya bersendirian kerana suaminya bersikap acuh tak acuh dan enggan ambil tahu keadaan isterinya.

“Hati saya terguris apabila mengenangkan anak perempuan saya yang terlantar tanpa perhatian suami. Saya yang menjaganya sepanjang masa terpaksa membawanya pulang ke kampung di Felda Tenggaroh 3, Mersing, Johor,” katanya.

Robaeyah yang kini menjaga Zalina di rumah adiknya di Sijangkang, Banting, Selangor berkata, dia sering menitiskan air mata apabila mengenangkan kelakuan menantu yang langsung tidak mengendahkan keadaan isterinya itu, jauh sekali membantu mengangkat Zalina untuk dimasukkan ke dalam kenderaan bagi menjalani rawatan.

“Lebih mengecewakan, semua wang gaji anak saya diambil suaminya berikutan kad juruwang automatik (ATM) dipegangnya. Kami pernah bertanyakannya, namun jawapan diberi amat mengecewakan.

“Wang gaji bulanan anak saya RM1,400 sepatutnya boleh digunakan bagi menampung kos rawatan, sebaliknya diambil semua si suami,” katanya.

Berikutan itu, kata Robaeyah, adiknya, Ibrahim Mansor, 44, membuat aduan di Ibu Pejabat Pos Besar Malaysia di sini, pada minggu lalu berhubung masalah berkenaan.

Katanya, pihak pengurusan Pos Malaysia berjanji memberikan bantuan sewajarnya dan meminta mereka membuka akuan bank baru atas nama Zalina bagi memudahkan urusan memasukkan gaji bulanannya selepas ini.

“Saya kesal kerana menantu mengambil kesempatan terhadap penderitaan isterinya dan langsung tidak mahu menjenguk isteri yang terlantar di kampung. Zalina kini seperti dibuang suami dan hanya menunggu detik ajal,” katanya.

Menurutnya, kesukaran untuk menjaga Zalina menyebabkan seorang lagi anaknya, Siti Norhamidah Elias, 23, terpaksa berhenti kerja untuk membantu menjaga Zalina.

“Bukan mudah menjaganya berikutan Zalina perlu dipantau sepanjang masa walaupun koma. Dia kini hanya hidup dengan minuman susu menggunakan saluran tiub yang dimasukkan melalui hidung.

“Kami perlu sentiasa memastikan saluran pernafasan di lehernya yang ditebuk tidak tersumbat lendir dan kahak. Dia juga perlu dibersihkan dan dipakaikan lampin pakai buang, ”katanya.

Robaeyah berkata, dia perlu membelanjakan RM60 setiap dua hari bagi membeli susu khas untuk Zalina dan membawanya ke hospital di Johor hampir setiap bulan untuk menjalani pemeriksaan susulan.

“Saya dan adik kini berusaha membawa Zalina ke Banting untuk menjalani rawatan secara tradisional. Kami terpaksa mencuba pelbagai cara sama ada moden atau tradisional dengan harapan Zalina akan sembuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads