07 August 2010

myMetro | 'Samseng tahi kucing’

KUALA LUMPUR: Lagak berani tidak ubah seperti VIP, namun seorang lelaki yang memaki hamun selain mencabar polis supaya memberkasnya hanyalah seorang pekerja pemasang ladam kuda lumba.
Difahamkan, suspek mencabar anggota polis supaya memberkasnya selepas mendakwa dia kenalan rapat seorang pegawai polis.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.25 malam kelmarin, apabila dua anggota polis berkenaan melakukan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Lorong Haji Taib di sini, sebelum dihampiri sebuah kereta Perodua Kancil dari belakang.


“Pemandu kereta terbabit yang juga seorang lelaki tempatan sengaja membunyikan hon dengan kuat ke arah dua anggota polis berkenaan yang terkejut dengan tindakan itu.


“Bagaimanapun, anggota polis berkenaan memberi laluan sebelum kereta terbabit berhenti di hadapan sebuah butik pakaian tidak jauh dari lokasi itu,” katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit kemudian sengaja mengundurkan keretanya sebelum berhenti dan mengeluarkan telefon bimbit dari dalam cermin kenderaan.


“Pada masa sama, lelaki terbabit merakam gambar anggota polis berkenaan menggunakan telefon bimbitnya itu tanpa menyatakan alasan.


“Gerak-geri pelik suspek menyebabkan anggota polis berkenaan bertanya motif dia mengambil gambar. Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri sebelum anggota polis berkenaan memintas keretanya,” katanya.


Menurutnya, anggota polis berkenaan merampas kunci kereta suspek sebelum meminta dia menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.


“Bagaimanapun, suspek berdegil dan cuba mengugut dan menakut-nakutkan kononnya akan mengadu perkara itu kepada pegawai polis bernama ‘Encik Nik’,” katanya.


Menurutnya, suspek berpura-pura mahu menghubungi pegawai polis itu, namun panggilannya tidak dijawab.

“Susulan itu, polis menahan suspek atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads