13 August 2010

Pindaan Peraturan Bagi Jualan Murah Berkuat Kuasa Rabu Lepas - Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menguatkuasakan Pindaan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Rabu lepas bagi mengelakkan pengguna ditipu peniaga, terutama pada musim perayaan.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu atau peniaga yang melanggar peraturan tersebut, bakal berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua, mereka boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara enam tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, manakala pertubuhan atau syarikat pula berdepan hukuman denda maksimum RM250,000 bagi kesalahan pertama, dan RM500,000 untuk kesalahan kedua.

"Kesalahan-kesalahan itu ialah jika peniaga mengadakan jualan murah dalam jangka masa 14 hari selepas tamat tempoh jualan murah sebelumnya, kecuali tiga jualan murah yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu Jualan Malaysia GP, Karnival Jualan Mega Malaysia dan Jualan Akhir Tahun Malaysia (M-Yes)," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat KPDNKK di sini pada Jumaat.

Beliau berkata peniaga yang ingin mengadakan jualan murah perlu mengemukakan notis 14 hari sebelum tarikh jualan kepada kementerian untuk mendapatkan nombor pendaftaran.

"Peniaga perlu meletak notis jualan murah dan senarai harga barang di tempat yang mudah dilihat di dalam premis jualan murah tersebut," katanya.

Ismail Sabri berkata peniaga juga perlu menyediakan rekod yang benar dan lengkap berkaitan harga barangan dalam tempoh enam bulan sebelum jualan murah diadakan.

Beliau berkata KPDNKK akan mengambil langkah tegas dalam memastikan jualan murah itu melibatkan tidak kurang daripada 70 peratus produk yang ditawarkan dalam sesebuah premis perniagaan.

"Tempoh jualan murah ini juga tidak boleh melebihi 30 hari, dan dua penandaan harga untuk harga terdahulu dan harga jualan murah perlu dibuat," katanya.

Beliau berkata semua peniaga dibenarkan mengadakan jualan murah sebanyak lima kali setahun, iaitu tiga kali telah ditetapkan oleh kerajaan manakala waktu selebihnya mengikut tarikh pilihan masing-masing.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads