01 August 2010

myMetro | TM, Annuar jadi pilihan




















GANDINGAN BARU...Annuar (kiri) bersalaman dengan Tengku Abdullah selepas sidang Pemilihan Kongres FAM ke-47, semalam.

TIADA kejutan berlaku pada sidang Pemilihan Kongres ke-47 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam apabila ‘gandingan impian’ yang dicanang-canang sejak awal untuk mengisi posisi nombor dua badan induk tanah air itu akhirnya sah menjadi milik Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa.


Namun Annuar yang memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terpaksa bersaing hebat dengan wakil dari Selangor, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang terus menghilangkan diri sebaik keputusan diumumkan dengan majoriti enam undi selepas mendapat 23 undi.


Bagaimanapun tsunami perubahan yang diharapkan berlaku dalam FAM bagi mengorak langkah baru dalam tempoh empat tahun akan datang menyebabkan penyandang, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad tidak mendapat sokongan perwakilan manakala percubaan ‘orang kuat’ bola sepak negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh merebut jawatan Timbalan Presiden juga tidak kesampaian.


Tengku Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali berkecimpung dalam bola sepak yang cukup dekat di hatinya.


Malah beliau yakin gandingannya bersama Annuar dapat memberikan gelombang baru dalam bola sepak tanah air.


“Saya tidak ada masalah untuk bekerja dengannya, Annuar memiliki pengalaman luas, beliau bekas Menteri Belia dan Sukan dan beliau juga cukup arif dengan bola sepak.


“Saya juga tidak ada masalah untuk menjaga hoki dan bola sepak, saya boleh bahagikan masa. Saya tidak boleh tinggalkan bola sepak kerana sukan ini terlalu dekat di hati saya. Hoki kini sudah berada di landasan yang baik dan saya harap untuk melakukan perkara yang sama dalam bola sepak tanah air,” katanya.


Tengku Mahkota Pahang sebelum ini pernah memegang jawatan itu pada Februari 1992, namun melepaskannya pada Mac tahun berikutnya. Beliau bagaimanapun dipilih memegang jawatan itu semula pada Februari 1994, sebelum melepaskannya kembali pada Julai 2007.


Ketika ditanya mengenai wawasan yang akan dibawa dalam membangkitkan semula prestasi dan kemeriahan bola sepak tempatan, Tengku Abdullah lebih tenang dengan mengambil pendekatan berbincang terlebih dulu dengan ahli majlis yang baru dibentuk.


“Masih terlalu awal, saya perlu berbincang dengan ahli jawatankuasa terlebih dulu, kalau saya nyatakan misi saya sendiri itu tidak adil, soalan itu akan saya jawab selepas kami bersidang,” jelasnya.


Sementara itu, Annuar mengakui tanggungjawab yang diamanahkan itu amat berat dan berharap dapat melaksanakannya dengan baik dengan beberapa perubahan yang akan cuba dilakukannya.


“Saya selepas ini akan bersama Tengku Mahkota membawa beberapa pandangan untuk perbincangan bersama ahli majlis, kami perlu melakukan pembaharuan kerana rakyat negara ini meletakkan harapan tinggi untuk melihat bola sepak kembali berjaya,” katanya.


Kongres kali ini turut melakar sejarah baru FAM dengan wujudnya Jawatankuasa Eksekutif FAM, sejajar dengan undang-undang badan induk dunia, Fifa, yang menetapkan semua anggota gabungannya memansuhkan Majlis dan sebaliknya membentuk sebuah Jawatankuasa Eksekutif dalam mengurus tadbir persatuan.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads