03 August 2010

Mayat Lelaki Dengan Tangan Bergari Ditemui Di Puchong

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Mayat seorang lelaki dalam lingkungan 30an ditemui dengan kedua belah tangannya digari di Batu 12, Sungai Klang, Puchong, dekat sini malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata mayat lelaki yang dipercayai warga tempatan itu ditemui terdampar di tepi sungai berkenaan oleh seorang pemancing kira-kira pukul 7.30 malam.

"Mayat itu ditemui dalam keadaan kedua-dua tangannya digari ke bahagian belakang.

"Pemeriksaan mendapati mayat itu yang dijumpai berbaju t-shirt dan berseluar jeans cedera di bahagian kepala serta belakang leher dan tangan kiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan mereka yang kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk membantu mengenal pasti identiti lelaki tersebut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads