06 October 2010

Pegawai Tentera Istana Mahkota Terima SMS -Komplot larikan Sultan Ismail Petra


Istana Mahkota hari ini membuat satu laporan polis berhubung penerimaan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) mengatakan bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke negara Thailand.

Laporan itu dibuat Pegawai Tentera Istana Mahkota Zahari Bakri di Balai Polis Kubang Kerian kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.

Zahari yang hadir bersama seorang kakitangan Istana Mahkota ketika ditemui pemberita berkata beliau menerima satu sms daripada individu yang tidak dikenali pada 9.21 pagi, 21 September lepas memaklumkan ada pakatan jahat untuk membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke Thailand.

Katanya sms itu berbunyi: "salam, mohon kawalan ketat dan rapi di sempadan (Kelantan-Thailand) ini kerana maklumat yang diperolehi ada pakatan jahat untuk membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke Thailand, minta dikeluarkan serta-merta arahan ini kepada semua yang bertugas di sempadan untuk bersiap sedia untuk menyekat niat jahat ini, marilah kita berdoa semoga Sultan
Ismail Petra selamat dari golongan yang zalim. Please take nec action. Apa yang mungkin berlaku mereka ini akan menjadikan kem tentera sebagai tempat untuk berlindung. Elakkan dari perkara ini berlaku atau dituduh bersubahat."

Selain sms itu katanya beliau turut membaca satu laporan di sebuah laman blog 'The Kelantan Insider' pada 4 Oktober lalu yang bertajuk 'Posting 45: Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke Thailand?'

"Dalam laporan di blog itu juga menyentuh perkara yang sama iaitu mengenai perancangan pihak tertentu untuk membawa keluar secara sembunyi Sultan Ismail Petra untuk bersemayam di Thailand.

"Selain itu turut ditulis kebimbangan pihak blog berkenaan sekiranya benar kejadian itu berlaku selain menyeru pihak berkuasa menjalankan tindakan agar perkara berkenaan tidak terlaksana," katanya.

Justeru katanya beliau membuat laporan polis agar pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut kerana ianya dikhuatiri boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menjejaskan nama baik Institusi Diraja Kelantan.

Zahari berkata penulis blog Kelantan Insider juga perlu disiasat agar dapat mengetahui dari sumber mana yang diperolehi mereka ketika menulis laporan mengenai komplot membawa lari bekas Sultan itu.

--Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads