23 October 2010

138 mati dan 1,520 sakit disyaki akibat kolera di Haiti


PORT-AU-PRINCE (Haiti): Hampir 140 orang mati di Haiti akibat wabak disyaki kolera, kata pegawai kesihatan kelmarin.

Pegawai Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) berkata pihak berkuasa kesihatan Haiti memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai 138 kematian dan 1,526 kes sejauh ini di wilayah Hilir Artibonite, ke utara ibu kota Port-au- Prince.

Beberapa kes turut dilaporkan di kawasan Dataran Tinggi Tengah.

Hospital St. Nicholas di bandar Saint-Marc penuh sesak dengan pesakit mengalami cirit-birit dan mayat mereka yang mati akibat dehidrasi, kata pegawai Haiti.

Pasukan perubatan daripada operasi bantuan antarabangsa yang membantu mangsa gempa bumi Haiti sejak 12 Januari lalu turut dihantar ke kawasan yang dilanda wabak di bandar itu.

Namun WHO dan PBB belum dapat mengesahkan kolera punca penyakit itu kerana masih menunggu ujian makmal ke atas sampel yang diambil daripada mereka yang sakit atau mati, kata jurucakap bantuan kemanusiaan PBB di Haiti, Encik Imogen Wall.

Awal dari itu, ketua pengarah Jabatan Kesihatan Haiti, Dr Gabriel Thimote, dan Menteri Kesihatan, Encik Alex Larsen, berkata ujian awal menunjukkan ia kolera.

'Daripada 15 contoh yang diuji, 13 membuat kami percaya ia kolera,' kata Dr Thimote.

Menurutnya, pesakit datang daripada pelbagai peringkat umur, tetapi paling ramai ialah kanak-kanak dan orang tua.

Sejauh ini tiada wabak dilaporkan di Port-au-Prince. Kawasan terjejas teruk ialah Douin, Marchand Dessalines dan Saint-Marc, kata Dr Thimote.

Kolera sejenis penyakit yang disebar menerusi air dan makanan tercemar. Ia menyebabkan cirit-birit dan boleh membawa maut dalam masa beberapa jam jika tidak dirawat segera.

Sementara menunggu hasil ujian, para pegawai Pertubuhan Kesihatan Pan-Amerika (Paho) dan Pejabat Penyelaras Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha) mengaitkan punca kematian kepada 'cirit- birit teruk'.

Timbalan pengarah Ocha bagi Haiti, Cik Catherine Huck, berkata: 'Apa yang kami tahu ialah penduduk mengalami cirit-birit. Mereka muntah-muntah dan akan mati jika tidak dirawat segera.'

Presiden Persatuan Perubatan Haiti, Encik Claude Surena, berkata: 'Kami bimbang penyakit ini (kolera) boleh merebak dari tempat ke tempat. Ia boleh menjangkiti lebih ramai orang atau merebak dari satu kawasan ke kawasan lain.'

Di hospital, sesetengah pesakit berkata mereka jatuh sakit selepas minum air dari sebuah terusan awam. -- AP, Reuters.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads