23 October 2010

Bakal pengatin dilaporkan hilang selepas keluar ke tempat kerjanya


POKOK SENA (Kedah): Seorang lagi gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan - pada 20 November ini - dilaporkan hilang selepas keluar ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai, Alor Setar, pagi Sabtu lalu.
Cik Siti Sakinah Ismail, 25 tahun, seorang kerani di sebuah syarikat kuari, keluar dari rumahnya di Kampung Kolam, di sini, kira-kira 7 pagi untuk bekerja tetapi beliau tidak datang ke pejabatnya.

Ibunya, Cik Zaiton Abdul Halim, 58 tahun, berkata Cik Siti Sakinah, yang memakai baju kurung biru dan tudung merah, memandu kereta jenis Perodua Viva miliknya, dengan nombor pendaftaran KCB 7249.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik itu bertunang dengan seorang pemuda berusia 24 tahun dari Kuala Sanglang, Perlis, seminggu sebelum Ramadan lalu atas pilihan keluarga.

'Kedua-dua pihak sudah pun menyediakan pelbagai persiapan termasuk bunga telur, pakaian pengantin dan kad jemputan.

'Keluarga kami juga sudah menerima wang hantaran daripada pihak lelaki sebanyak RM8,284 tetapi ketika tarikh berkenaan semakin hampir dia pula menghilangkan diri tanpa khabar berita,' katanya.

Cik Zaiton berkata beliau menyedari kehilangan anaknya apabila pengurus tempat anaknya bekerja menelefon pada jam 9.30 pagi Sabtu lalu bertanyakan mengapa dia tidak hadir ke pejabat.

Beliau kemudian menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi tidak berjawab dan, pada sebelah petang hari yang sama, mereka cuba menghubunginya sekali lagi tetapi gagal juga kerana telefon bimbit itu dimatikan.

'Tiada perselisihan antara kami sekeluarga dengannya, malah kami gembira kerana dia bakal berkahwin. Dia juga tidak membantah calon pilihan keluarga itu. Kami bimbang keadaannya kerana dia memakai barangan kemas,' katanya lagi.

Keluarga Cik Zaiton, yang mengesyaki anaknya itu dilarikan pihak tertentu, sudah membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads