19 October 2010

Bekas timbalan KP Imigresen diarah bela diri


Kuala Lumpur, 19 Oktober-Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen berusia 56 tahun, membela diri terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Mahkamah kemudian menetap 23 November ini untuk tertuduh membela diri.

Pada 14 Okt 2008, tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Semua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 14 Nov 2008, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Klang terhadap empat pertuduhan yang sama dan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melibatkan pertuduhan yang sama.

Semua kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bermula pada 22 Feb lalu untuk perbicaraan.

Seramai 15 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang kes itu.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads