12 October 2010

Gubal Akta Jenayah Sihir


11 Oktober, Kuantan- Malaysia disaran agar menggubal Akta Jenayah Sihir bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu hitam melalui mekanisme perundangan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Ikip Dr Mahyuddin Ismail berkata, penggubalan akta berkenaan memberikan kuasa kepada pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan berhubung jenayah membabitkan sihir.


"Bukan hanya di Malaysia, tetapi negara-negara lain juga mengalami masalah sama (sihir) tetapi tidak ada penyelesaian dari segi undang-undang. Sebenarnya, jenayah sihir ini boleh dibuktikan di mahkamah syariah dan sivil," katanya ketika membentangkan kertas kerja Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Sihir pada seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di Kuantan hari ini.

Seminar itu dirasmikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Rahman Md Yunus.

Dr Mahyuddin berkata akta tersebut juga perlu mengandungi peruntukan bagi penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir di bawah Polis Diraja Malaysia, yang berkuasa menyiasat dan menjalankan segala prosedur berkaitan untuk membanteras kegiatan jenayah membabitkan ilmu sihir.

Beliau juga mencadangkan jabatan itu dibantu lembaga penasihat khas daripada golongan berpengalaman luas dalam bidang berkaitan sihir kerana mereka perlu menyiasat suatu jenayah yang sukar dikesan dengan mata kasar.

Dengan penubuhan jabatan berkenaan, maka proses undang-undang iaitu aduan, siasatan, tangkapan, penggeledahan, pendakwaan dan perbicaraan akan dapat dilaksanakan, katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rahman berkata perlaksanaan undang-undang jenayah sihir tidak mustahil untuk direalisasikan, namun memerlukan kajian menyeluruh.

Beliau berkata cabaran utama pelaksanaan akta itu ialah pendakwaan di mahkamah kerana memerlukan bukti zahir dan kukuh.

Justeru, katanya, seminar anjuran bersama Kolej Antarabangsa Ikip dan Yayasan Pahang itu diharap dapat membincangkan isu berkenaan dengan lebih mendalam, selain menjadi perintis kepada pihak lain bagi merealisasikan perlaksanaan undang-undang jenayah sihir.

--Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads