01 August 2012

Sorotan Kemalangan Maut di bulan Ramdhan


Setelah 12 hari umat Islam berpuasa kita terbaca di dada akhabar,terdengar di radio serta menonton di kaca televisyen yang mana disajikan dengan berita kemalangan maut. Saksikan sorotan 12 Ramadhan.....Admin mengucapkan takziah buat keluarga mangsa kemalangan...Al-Fatihah buat arwah.
Rempuhan di lampu isyarat
31.07.2012
IPOH: Seorang wanita warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis jentera bomba yang dalam perjalanan untuk memadamkan kebakaran.
Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam itu, kenderaan jentera bomba membawa lebih lima anggota itu dikatakan melanggar mangsa yang ketika itu menunggang motosikal bersendirian berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Raja Idris Shah, di sini.

Rempuhan menyebabkan topi keledar dipakai mangsa pecah.
Berdasar identiti pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa, wanita malang itu dikenali sebagai Saadiah Yahya, 55, berasal dari Kampung Tersusun, Buntong, di sini.

Saksi kejadian hanya mahu dikenali sebagai Jude, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggu lampu isyarat hijau untuk melintas jalan berhampiran simpang empat itu.

Menurutnya, dia terdengar bunyi siren jentera bomba datang dari arah Jalan Raja Musa Aziz sebelum melihat beberapa kenderaan menghimpit ke kiri jalan untuk memberi laluan.
“Ketika itu saya melihat asap tebal naik ke udara tidak jauh dari lokasi kejadian, saya yakin jentera bomba itu menuju ke lokasi kebakaran untuk memadamkan api.

“Wanita malang terbabit yang menunggang motosikal di laluan tengah jalan tiga lorong itu dipercayai cuba membelok ke kiri sebelum dirempuh jentera bomba yang juga datang dari arah sama,” katanya.
Pelajar kolej swasta itu mendakwa nahas ngeri berkenaan berlaku sekelip mata sebelum mangsa digilis jentera bomba itu.

“Saya tergamam melihat tubuh mangsa terbujur kaku di atas jalan sambil darahnya mengalir tidak henti-henti dari kepalanya.

“Pemandu jentera bomba berkenaan memberhentikan kenderaan berat itu kira-kira 30 meter dari mayat mangsa. Mereka meletakkan kon keselamatan sebelum menutup mayat mangsa dengan jaket,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 01/08/2012 @ Harian Metro

Nahas 4 sahabat maut: Mangsa kelima meninggal
30/07/2012 8:36pm

KUANTAN – Mangsa kelima kemalangan yang mengorbankan empat sahabat semalam yang dilapor kritikal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, disahkan meninggal dunia petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, Wan Samsiah Wan Abdul Ghani, 29, dari Jalan Nibong Stesen, Dungun, Terengganu disahkan meninggal dunia pukul 2.30 petang tadi.
"Mangsa yang kritikal dan dirawat di wad unit rawatan rapi di HTAA meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya selepas kemalangan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian 11.15 malam semalam itu, tiga sahabatnya, Mohd Shahidan Shaari, 26; Mohd Shahafiz Othman, 22; dan Muhd Taufik Abd Rahman, 20, maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Nazrin Hafizi Abdul Latif, 19, meninggal dunia pada 6 pagi semalam di HTAA ketika menerima rawatan.
Kemalangan ngeri itu berlaku setelah kereta yang dipandu Mohd Shahidan merempuh treler berisi bijih besi sebelum dilanggar sebuah kereta lain di KM 18, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dekat sini. – BERNAMA

Bayi maut tercampak dari kereta
28/07/2012 4:57pm

SEREMBAN - Seorang bayi berusia enam bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 232.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam semalam, Faris Iqbal Abdullah mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Melaka.
Bapa mangsa, Faiq Irfan Abdullah, 38, pula patah bahu kiri manakala ibunya Faniseh Mohamad, 35, yang turut berada di dalam kenderaan itu patah bahu kanan dan bengkak di muka dan kedua-dua mereka menerima rawatan di hospital sama.
Jurucakap polis berkata siasatan awal mendapati kereta proton Iswara Aeroback yang dipandu bapa mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi menyebabkan kereta dinaiki mangsa hilang kawalan.
"Akibat geselan itu, kereta yang dinaiki tiga beranak itu terbabas ke kiri jalan dan merempuh tembok batu penghadang jalan menyebabkan mangsa tercampak keluar.
"Pemandu bersama isteri dan bayi lelaki cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 pagi tadi,” katanya.
Katanya, pemandu kereta Perodua Myvi terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian masih dijalankan. — BERNAMA

Peniaga nanas maut dirempuh lori ketika berniaga
27/07/2012 8:51pm

PASIR MAS – Seorang peniaga nanas maut akibat dirempuh lori tanah ketika dia sedang berniaga di tepi jalan di KM 3, Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang dekat sini petang tadi.
Mangsa ialah Nik Mariam Nik Ja, 52, dari Kampung Gual Tinggi. Lori itu dikatakan dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Kota Bharu apabila kejadian berlaku kira-kira 1.15 petang.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nasuha Ahmad Mijal berkata, lori itu dilaporkan dipandu dalam keadaan laju dan hilang kawalan sebelum ia terbabas dan merempuh gerai Nik Mariam.
Pemandu lori itu hanya mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan berhampiran, katanya.
Nasuha berkata, pihaknya mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori.
Mayat Nik Mariam telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan di kampungnya, katanya. – BERNAMA

Gadis maut motosikal dirempuh lori simen
25/07/2012 6:12pm

ALOR SETAR – Seorang gadis maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori simen di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah berhampiran sebuah sekolah agama di sini, petang semalam.
Pada kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, Nor Farhana Ahmad, 21, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Mergong di sini, dirempuh lori berkenaan semasa kenderaan berat itu membuat pusingan-U.
Nor Farhana yang cedera parah di beberapa anggota badan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah kira-kira pukul 9 malam tadi.
Ibunya, Sharifah Shafie, 63, berkata, Nor Farhana yang tinggal bersama rakannya di Simpang Empat dekat sini, sepatutnya pulang berbuka puasa bersamanya di rumah mereka di Taman Wira, Mergong, namun tidak sempat kerana anaknya itu mahu segera ke tempat kerjanya.
"Dia (Nor Farhana) sudah membeli juadah berbuka puasa kerana semasa kejadian terdapat cekodok, mi segera dan milo (tiga dalam satu) bertaburan di jalan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian. – BERNAMA

Warga emas maut, kereta dipandu anak terbabas
25/07/2012 4:08pm

KUANTAN – Seorang wanita warga emas maut selepas kereta Proton Saga yang dipandu oleh anak lelakinya terbabas ke dalam parit di KM17 Jalan Lanchang-Raub dekat Temerloh, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.20 petang itu, mangsa Salmiah Mukim Othman, 86, dari Kampung Tanjung Besar Benta, Kuala Lipis disahkan meninggal dunia pada 10.47 malam tadi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian mangsa bersama anak lelakinya berusia 59 tahun serta tiga lagi anggota keluarga mereka dalam perjalanan dari arah Raub menuju ke Temerloh.
"Ketika melalui satu selekoh, pemandu kereta hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit. Akibat itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah di beberapa anggota badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Fauzi berkata, pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan sementara tiga lagi anggota keluarga mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA


Remaja maut, motosikal rempuh kereta
24/07/2012 3:51pm

BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditunggangnya memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Merah, Permatang Pauh, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ASP S. Manogaran berkata, Aqmar Azwar Zulkifli, 16, dari Taman Ara Indah di sini, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 10.40 malam itu.
Remaja itu dipercayai menunggang dengan laju bersama sekumpulan rakan apabila motosikalnya memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Manogaran berkata, pelajar itu juga tidak memiliki lesen memandu. – BERNAMA

Nahas: Kanak-kanak maut, ibu dan adik parah
24/07/2012 2:23pm

KUANTAN — Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km37, Jalan Temerloh-Mayam berhampiran Bera semalam.
Mohamad Aysisy Mohd. Rizail mati di tempat kejadian. Ibunya, Salma Mohd. Sadali, 21, dan adik perempuannya, Qasih Nur Syifa” Mohd. Rizail yang berusia setahun cedera parah dalam kemalangan 2.40 petang itu.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim, bapa mangsa Mohd. Rizail Abd. Kadir, 27, seorang anggota tentera, yang memandu kereta jenis Proton Pesona itu turut cedera.
"Kejadian berlaku apabila lori yang datang dari arah Mayam ke Temerloh dikatakan terbabas dan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.— BERNAMA

Pelajar tingkatan dua maut nahas motosikal
22/07/2012 3:55pm


KUANTAN — Seorang pelajar tingkatan dua maut pada hari pertama Ramadan, selepas terbabit dalam kemalangan di KM 33, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Ular, di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP, Mohd. Jasmani Yusoff berkata, dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, Wan Nur Amanina Wan Ramzi, 14, maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung kenderaan pacuan empat roda.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Baging itu dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Stesen Penyelidikan Mardi, Sungai Baging menuju ke sebuah kedai runcit ketika kejadian, katanya ketika dihubungi hari ini.
Kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuantan menuju ke Cherating itu dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal Wan Nur Amanina menyebabkan remaja tersebut tercampak dan terjatuh di atas jalan.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan polis telah mengambil keterangan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 24 tahun itu untuk membantu siasatan. — BERNAMA

Nahas 2 kereta: Seorang maut, seorang parah
21/07/2012 3:25pm

KOTA BHARU — Seorang peniaga maut dan seorang lagi cedera apabila kenderaan yang dipandu mereka bertembung di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Lepan Tupai, Gua Musang hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Abdul Ghani Yaakob berkata, peniaga, Hermang Ahmad, 49, dari Taman Tas, Kuantan, Pahang maut di tempat kejadian dalam kemalangan pada pukul 9.30 pagi itu.
Mangsa yang memandu Iswara Sedan yang sarat dengan buah-buahan dilaporkan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Lipis, katanya..
Pemandu sebuah kereta lagi, Azrul Nizam Omar, 20, yang beralamat di PPR Cochrance Perkasa, Jalan Nakhoda Yusoff, Kuala Lumpur cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Gua Musang. — BERNAMA

Nuffnag ads