11 August 2012

Pelancaran Ops Selamat 01/12, PDRM Tingkatkan Keselamatan


Oleh: L/kpl Mohd Helmi bin Saadin

SHAH ALAM, 10 Ogos - Seperti kebiasaan pada setiap tahun di musim perayaan PDRM akan melancarkan kempen keselamatan jalan raya. Telekom Malaysia Berhad (TM) sekali lagi, dengan usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan kempen keselamatan tahunan yang dikenali sebagai "Ops Selamat 01/12" yang telah berlangsung di Dataran Shah Alam.


Susulan daripada "Ops Sikap" sebelum ini yang menekankan tentang keselamatan jalan raya, tahun ini, kempen tersebut telah dipertingkatkan dengan memberi focus yang lebih luas termasuklah keselamatan kediaman semasa ketiadaan penghuni sempena cuti perayaan.

Pelancaran program ini sekaligus menggantikan Ops Sikap namun masih mengekalkan konsep sama iaitu memastikan pengguna mematuhi undang-undang jalan raya supaya tidak menjadi penyumbang kepada kemalangan maut.

Ops Sikap yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2001 berubah wajah dengan pendekatan yang lebih baik apabila pasukan itu melancarkan Ops Selamat pada hari ini.

Sebelum itu, Ops Sikap dikenali sebagai Ops Statik dan Ops Pacak. Pelancaran Ops Selamat telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Dato' Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara di Dataran Shah Alam, Selangor.

Selain mengurangkan kadar kemalangan maut serta jumlah kematian pada musim perayaan ini, Ops Selamat juga merangkumi pencegahan jenayah termasuk kes-kes berkaitan harta benda serta jenayah jalanan.

Ops Selamat yang diberi suntikan lebih segar untuk memantapkan operasi PDRM di musim perayaan adalah selari dengan permintaan orang ramai yang mahukan kehadiran polis di kawasan perumahan semasa penghuninya balik kampung.

Beliau juga turut berkata, Ops Selamat yang bertemakan "Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi", akan bermula Ahad ini dan berakhir 26 Ogos 2012.

"Program ini bertujuan untuk mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan bukan sahaja di jalan raya sewaktu musim perayaan malah melibatkan rumah yang ditinggalkan pengguna.

"Program ini amat rasional bagi membentuk tabiat dan sikap pengguna dalam memastikan mereka terpelihara atau terhindar daripada bahaya", katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Ops Selamat di Dataran Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis telah menetapkan kehadiran polis atau omnipresence melalui Konsep Ronda dan Statik di 150 lokasi-lokasi "black spot", iaitu kawasan yang selalu berlaku kemalangan. Konsep ini melibatkan pendekatan menggunakan kanopi di R&R dan Lay-by sebagai tempat pertemuan petugas-petugas polis trafik dan lain-lain agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Polis akan melakukan beberapa pembaharuan dalam penugasan anggotanya, ini termasuk untuk mengurangkan kejadian jenayah ketika sambutan Aidilfitri.

"Kita akan fikirkan bagaimana untuk kurangkan jenayah pada musim perayaan ini supaya orang ramai dapat balik kampung dengan perasaan selamat dan tidak perlu bimbang dengan kejadian jenayah," katanya.

Objektif utama operasi ini adalah untuk memberi kesedaran serta menanam nilai-nilai murni kepada pengguna jalan raya, supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa memandu, di samping meninggalkan rumah dalam keadaan selamat apabila pulang ke kampung halaman masing-masing. Ini amat bertepatan dengan tema Ops Selamat kali ini iaitu, "Rumah selamat, selamat sampai ke destinasi".

Beliau juga mengambil kesempatan memberi nasihat kepada pengguna jalan raya iaitu patuhilah panduan keselamatan jalan raya, dan pastikan kenderaan sentiasa berada dalam kondisi terbaik dan semua kelengkapan keselamatan berfungsi dengan spesifikasi yang sepatutnya. Patuhilah had laju yang telah ditetapkan, kerana kelajuan membunuh!

Turut ditekankan juga kepada aspek keselamatan harta-benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari bagi tujuan balik ke kampung halaman dan memastikan anggotanya membuat rondaan cegah jenayah dilakukan dengan terancang dan strategik untuk mencegah jenayah terutamanya pecah rumah. Gunakanlah Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh didapati di portal Laman Web Rasmi PDRM (www.rmp.gov.my).

Pelaksanaan Ops Selamat, PDRM menggembleng usaha bersepadu melalui Emergency Response Team (ERT) yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Persatuan Bulan Sabit Merah, PLUS, MIROS, konsesi-konsesi Lebuh Raya, pihak media, serta agensi-agensi lain seperti Prince Court Medical Centre yang turut bersama membantu PDRM dalam Ops Selamat ini.

Seperti operasi sebelumnya, Ops Selamat pada kali ini akan memberi pengiktirafan kepada pengguna jalan raya yang berhemah. Di akhir operasi nanti, PDRM dan pihak penaja akan menyampaikan "Anugerah Pemandu dan Penunggang Berhemah" kepada 50 orang pengguna jalan raya.

Pada majlis yang sama, PDRM turut mengumumkan talian bebas tol Ops Selamat, 1800 88 1412, ihsan daripada TM. Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol berkenaan untuk melaporkan kesesakan trafik, kemalangan jalan raya, serta kejadian pecah rumah. Talian ini beroperasi 24 jam sepanjang kempen ini.

Pada kesempatan ini juga, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) turut berbesar hati menyampaikan bungkusan kuih raya untuk diserahkan kepada Pengarah-pengarah, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Polis dan Ketua-ketua Polis Negeri, dan Komander-komander Briged sebagai tanda ingatan kepada pegawai dan anggota yang akan bertugas sepanjang lebaran ini.

Sumbangan ini bukan sahaja simbol keprihatinan PERKEP, tetapi juga menjadi lambang rasa kasih, yang menyemarakkan lagi naluri warga PDRM untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, walaupun terpaksa menempuh lautan yang penuh dengan ombak dan cabaran dan memberikan perkhidmatan yang terbaik walaupun terpaksa menjalankan tugas semasa musim perayaan.

Turut hadir pada pagi ini ialah YDH Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Dato' Haji Solah bin Mat Hassan, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Y.Bhg Datuk Dr. Halim bin Shafie, Pengerusi Telekom Malaysia Berhad, Pengarah-pengarah PDRM, Ketua-Ketua Polis Negeri, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Polis Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM dan jemputan jemputan khas.

Nuffnag ads