09 August 2012

SEPULUH MALAM TERAKHIR RAMADHAN

"Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam Lailatul qadar, Tahukah kamu apakah Lailatul qadar itu. Lailatul qadaritu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar". (Surah al-Qadr:1-5)


SEPULUH MALAM TERAKHIR

Hari ini merupakan hari ke-20 kita berpuasa, ini bermakna fasa kedua puasa kita telah berlalu dengan harapan kita semua beroleh rahmat dan pengampunan Allah. Fasa ketiga pula adalah fasa pelepasan daripada api neraka. Justeru marilah sama-sama kita perbanyakkan doa memohon pelepasan daripada api neraka sempena keberkatan yang masih berbaki di bulan yang penuh barakah ini.

Malam-malam 10 akhir Ramadhan merupakan di antara malam-malam yang penuh keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Rasulullah s.a.w menggesa umatnya agar merebut 10 akhir Ramadhan kerana padanya akan berlaku malam Lailatul Qadar.

Sebagaimana yang kita maklum, Bulan Ramadhan, al-Quran dan Lailatul qadar adalah sinonim antara satu sama lain sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatul qadar. Gandaan satu malam pada malam lailatulqadar menyamai beramal 1000 bulan. Begitu besar kelebihan yang disediakan oleh Allah untuk kita umat Muhammad s.a.w. Bergantung kepada kita bersedia atau sebaliknya untuk meraih bonus yang disediakan oleh Allah setiap tahun selagi hayat masih berbaki.



Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan yang bermaksud : "Bahawa Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan mengejutkan seluruh keluarga baginda untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."



Antara amalan yang digalakkan pada malam-malam 10 yang akhir ialah beriktikaf di Masjid, membaca al-Quran, memperbanyakkan berdoa dan mengerjakan pelbagai amal ibadah. 10 malam yang terakhir itu pula Nabi s.a.w mengkhususkan pada malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan.

Nuffnag ads