22 July 2010

Penjawat Awam Perlu Cipta Pembaharuan Seiring Keperluan Pelanggan


PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Penjawat awam perlu sentiasa mencipta pembaharuan dalam perkhidmatan yang disampaikan agar seiring dengan keperluan pelanggan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau berkata ini kerana pelanggan perkhidmatan awam sekarang sudah lebih bersikap pendesak terhadap keperluan mereka.

Katanya para pegawai perlu dibimbing untuk lebih berinovasi dan kreatif ketika melaksanakan tugasan yang dapat membantu organisasi untuk lebih berjaya dan kekal dalam arus perdana.

"Syarikat yang diasaskan oleh William Wrigley masih kukuh selepas 60 tahun dalam pasaran kerana kejayaan mereka mencipta pelbagai jenis dan perasa gula getah.

"Kreativiti kakitangan syarikat ini telah membantu mereka sentiasa mengikuti peredaran masa dengan keperluan pelanggan.

Ini berbeza dengan syarikat Motorola dan Polaroid, yang dahulunya gah dengan penghasilan telefon bimbit dan kamera, tetapi tidak mampu bertahan lama kerana gagal mencipta sesuatu yang baru dalam era digital," katanya pada majlis Khidmat Bakti Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Seramai 40 pegawai kanan yang telah dan akan bersara serta tamat lantikan kontrak, dan 19 lantikan baru yang dinaikkan pangkat diraikan pada majlis itu.

Sementara itu, Mohd Sidek mengalu-alukan pandangan dan teguran yang positif serta membina daripada rakan-rakan yang telah bersara bagi memastikan perkhidmatan awam lebih berkualiti dan rakyat berpuas hati.

Katanya sumbangan dan sokongan serta pengamatan sebagai pemerhati di luar sistem perkhidmatan awam boleh diberikan, khususnya dalam mendokong gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata bagi pegawai tinggi yang baru dilantik, kejayaan mencapai aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak harus dimulakan dengan usaha yang gigih, keupayaan pengetahuan yang tinggi, kesediaan untuk berubah dan berani mengambil risiko.

"Keluarlah dari zon selamat, terokai peluang yang ada untuk kita berjaya. Janganlah kita sentiasa selesa berada dalam zon selamat yang belum tentu dapat membawa apa-apa peningkatan kualiti atau produktiviti dalam jabatan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads