27 July 2010

524 Termasuk 175 Laman Web Lucah Disekat Dari Januari Hingga Julai


KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 524 laman web yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk 175 laman web lucah, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata tindakan menyekat laman-laman web tersebut dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menawarkan kandungan yang berunsur lucah, ganas, jelik, palsu dan mengancam.

"Tindakan undang-undang di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil terhadap individu yang menyalahgunakan internet untuk kegunaan menyebarkan maklumat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

"Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya di Dewan Negara, di sini.

Beliau berkata penyedia perkhidmatan internet yang memegang lesen di bawah akta yang sama juga dikehendaki membantu SKMM dan pihak berkuasa berkaitan bagi mencegah sebarang kelakukan yang salah menerusi internet mengikut mana-mana undang-undang negara ini.

Mereka juga dikehendaki menyekat mana-mana laman web yang terlibat memberi kandungan berunsur lucah dan ganas di negara ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads