17 July 2010

5,936 laporan rasuah tahun lepas

Orang ramai perlu tampil dan membantu memerangi amalan rasuah bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Katanya semua usaha memerangi rasuah hanya akan tercapai jika ada kesedaran yang berterusan dengan disertai sokongan masyarakat.

Sambil menyatakan keyakinan bahawa "kita boleh lakukannya bersama", beliau berkata bahawa "perubahan mesti bermula dari sekarang dan ia perlu bermula dari
kalangan kita.
Ia perlu bermula dengan memerangi rasuah dan bukan dengan "menentang" SPRM, yang diamanahkan dengan tanggungjawab yang mulia untuk memerangi rasuah," katanya dalam laporan tahunan SPRM 2009.

Abu Kassim berkata SPRM membuka sejumlah 939 kertas siasatan tahun lepas daripada 5,936 laporan maklumat yang diterima.

Mengenai kertas siasatan, 633 atau 67.4 peratus telah diselesaikan, kebanyakannya dalam tempoh enam bulan siasatan.

Abu Kassim berkata pada tahun lepas, 500 orang ditangkap kerana amalan rasuah dan 176 didakwa di mahkamah.

Beliau mendedahkan bahawa kadar sabitan di mahkamah rendah adalah 64.4 peratus. Kadar sabitan bagi kes-kes rayuan di Mahkamah Tinggi adalah 65.8
peratus manakala di Mahkamah Rayuan adalah 86.2 peratus kes.

Abu Kassim juga berkata bahawa 88.9 peratus kes yang membabitkan penyitaan harta adalah menyebelahi SPRM.

SPRM juga mendapat kebenaran untuk mengambil 2,620 kakitangan termasuk 1,839 pegawai dan 781 lagi sebagai kakitangan biasa.

Daripada jumlah itu, 1,382 atau 75.1 peratus daripada jawatan pegawai telah dapat diisi tahun lalu.

Sementara itu, Lembaga Penasihat Anti Rasuah berkata SPRM telah menunjukkan prestasi cemerlang walaupun berdepan dengan suasana yang mencabar.

Menjelang akhir 2009, ia secara berperingkat-peringkat menunjukkan perubahan yang baik dan meyakinkan dan ini dapat dibezakan daripada peningkatan signifikan
dalam penangkapan ahli politik (23) dan pendakwaan terhadap ahli politik (15) tahun lepas.

Lembaga itu yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad, juga mencatatkan peningkatan dalam penangkapan orang awam yang memberi rasuah
kepada pegawai awam (108) dan individu yang berprofil tinggi -- 31 pegawai kanan dari sektor awam dan 65 pegawai eksekutif di sektor swasta -- juga ditangkap.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, satu badan yang diketuai Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata ia berharap SPRM akan memberi
perhatian bagi kes-kes kepentingan awam dan berprofil tinggi.

SPRM juga mesti bertindak "tanpa rasa takut dan memihak" dalam usahanya memerangi rasuah, katanya.

Jawatankuasa itu juga menasihatkan SPRM untuk menghebahkan usaha anti-rasuahnya agar ia dapat memperbaiki persepsi di kalangan orang awam.

--Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads