19 July 2010

Kerajaan timbang hak eksklusif warna biru seragam polis


TELUK KEMANG 18 Julai – Kerajaan akan mempertimbangkan permintaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan hak eksklusif warna biru hanya kepada uniform pasukan itu sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu perlu dikaji kerana ia melibatkan banyak pihak.

“Kita tidak boleh membuat keputusan sekarang kerana ia tentu ada pro dan kontranya. Tetapi saya faham sangat dengan kehendak polis ini, jadi kita perlu periksa dan lihat terperinci.
“Ini termasuk melihat uniform pasukan lain yang ada persamaan dengan polis dan berapa agensi menggunakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Kemang, di sini hari ini.

Beliau mengulas permintaan PDRM agar uniform pasukan itu digazetkan sekali gus memberikan mereka hak eksklusif menggunakan warna biru.

Dalam laporan akhbar hari ini, Timbalan Pengarah Pengurusan dan Latihan Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, persamaan uniform anggota PDRM dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain mencetuskan kekeliruan.

Beliau berkata, persamaan itu turut melibatkan soal integriti PDRM di kalangan masyarakat ekoran ada anggota pasukan terbabit yang disalah anggap sebagai anggota daripada agensi lain.

Menurut Hishammuddin, pihaknya tidak akan tergesa-gesa untuk melaksanakan perkara tersebut kerana ia melibatkan banyak pihak termasuk agensi di bawah kementerian lain.

“Walaupun dikatakan mencetuskan kekeliruan, namun kita harus memikirkan pasukan lain seperti kastam misalannya, akan tergugat kerana mereka sudah membuat beribu-ribu uniform,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan pihaknya tidak berhasrat untuk menyelesaikan isu uniform itu dalam tempoh terdekat kerana ada perkara lain yang lebih penting.

“Saya tidak mahu sebarang kekeliruan. Pasukan polis semakin diterima baik oleh masyarakat kerana penurunan kadar jenayah. Jadi kita tidak mahu isu uniform menjadi penghalang,” katanya.

Tambah beliau, tugas serta tanggungjawab polis tidak berkisar kepada uniform yang mereka pakai kerana lebih penting adalah persepsi dan harapan rakyat.

“Bagi saya soal uniform boleh kita selesaikan kemudian,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads