19 July 2010

Industri iklan radio terus berkembang


PETALING JAYA 18 Julai – Industri pengiklanan radio tempatan dijangka terus berkembang pada tahun ini berdasarkan prestasi pertumbuhan pada Januari hingga April sebanyak 19 peratus, kata Radio Komersial Malaysia (CRM).

Ahli jawatankuasanya, Malek Ali berkata, peningkatan tersebut disebabkan oleh beberapa faktor termasuk penambahan jumlah pendengar yang kini telah mencecah 15.5 juta.
‘‘Medium radio yang begitu dekat dengan pendengar juga telah membantu meningkatkan pertumbuhan pengiklanan tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan kenaikan jumlah jam pendengar radio kepada 21.1 jam seminggu berbanding 20.4 jam sebelum ini.

‘‘Melalui kaji selidik Nielsen perolehan bagi pengiklanan telah menunjukkan tanda-tanda sihat apabila telah berjaya melepasi paras RM100 juta iaitu kepada RM112.6 juta untuk tempoh Januari hingga April berbanding tahun lalu iaitu hanya RM94 juta,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

CRM sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Penggendali Radio Komersial Malaysia (MACRO) sebelum ditukar nama pada 2007. Sehingga kini mereka mempunya 19 stesen radio swasta yang menyertainya.

CRM ditubuhkan untuk membangunkan industri radio Malaysia, melindungi ahli-ahlinya, mempromosi penyiaran radio baik, meningkatkan piawaian, etika, untuk melindungi hubungan baik dengan kerajaan dan pembuat polisi serta mendidik dan melatih ahli-ahli dalam peniagaan penyiaran radio.

Katanya, secara keseluruhan, industri radio mempunyai potensi untuk berkembang pada tahun ini dengan pertumbuhan dalam angka berganda.

Tambah Malek, beberapa perkara istimewa yang turut menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah radio berasaskan penyelidikan pasaran.

‘‘Ia merupakan satu platform untuk mengetahui apa yang konsumer perlu dan orang ramai selalunya sangat vokal mengenai apa yang mereka mahukan. Pasaran akan mendengar apa yang orang ramai perlukan.

‘‘Selain itu, radio juga mempunyai kemampuan untuk mencipta permintaan kerana radio terkenal dengan pembahagian mengikut segmen. Sebagai contoh saluran radio Melayu dapat mengetahui kehendak mereka seperti inginkan produk halal begitu juga dengan saluran yang lain,’’ jelasnya.

Malek berkata, apabila telah mempunyai segmen tertentu ini memudahkan pengiklan memberikan apa yang diinginkan dan akan menjadi lebih dekat dengan konsumer.

Walaupun perkembangan positif dapat dilihat terhadap industri radio, namun terdapat beberapa cabaran untuk mengekalkan momentum tersebut.

‘‘Cabaran utama adalah menyampaikan mesej kepada pendengar. Kami telah menjalankan penyelidikan dan terpaksa menerangkan dengan lebih lanjut kepada semua termasuk pembuat polisi mengenai apa yang diperlukan atau permintaan pendengar.

‘‘Cabaran kedua adalah melahirkan bakat dalam industri ini, untuk mempunyai penyampai adalah mudah tetapi untuk menghasilkan program yang menarik dan terbaik memerlukan jurutera, penerbit dan promosi baik,’’ ujarnya.

Dalam menghadapi cabaran tersebut, CRM telah menganjurkan Siri Radio Planet iaitu program yang menjemput pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dari pelbagai bidang diberi penerangan mengenai industri secara keseluruhan.

‘‘Pada tahun ini kami menganggarkan 200 pelajar akan menyertai program tersebut dan ia akan dilakukan pada setiap tahun. Program itu penting dalam menggalakkan lebih ramai pelajar memilih radio sebagai salah satu bidang bakal diceburi,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads