29 July 2010

Argentina gugurkan Maradona


BUENOS AIRES – Karier Diego Maradona sebagai jurulatih Argentina berakhir awal pagi semalam.Kontraknya tidak disambung dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) membuat keputusan mengejut untuk tidak memperbaharuinya.
Masa depan Maradona sememangnya dilihat terumbang-ambing selepas Argentina dibelasah 4-0 oleh Jerman pada pusingan suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, kurang dua tahun selepas dia menggalas tugas tersebut.

“Kami tidak memperbaharui kontrak barisan kejurulatihan di bawah Maradona dalam skuad kebangsaan. Kami rasa tiada keperluan untuk berbuat demikian,” kata Presiden AFA, Julio Grondona.

Jurucakap AFA turut mendedahkan bahawa terdapat perbezaan pendapat di antara mereka dan juga Maradona yang pernah menjadi kapten skuad negara itu ketika menjulang Piala Dunia 1986.

Pada Piala Dunia 2010, Argentina tersingkir awal daripada jangkaan tetapi Maradona tetap diberi sambutan umpama wira apabila skuad negara itu kembali dari Afrika Selatan dan Presiden Argentina, Cristina Fernandez turut memintanya kekal sebagai jurulatih.

Pada Ahad lalu, Maradona memberitahu bahawa dia akan terus berkhidmat sekiranya barisan kejurulatihan yang dipilihnya sebelum ini turut dikekalkan AFA.

Dengan ketiadaan Maradona, selepas ini Argentina perlu mencari jurulatih baru bagi mengendalikan pasukan itu ke saingan Copa Amerika 2011.

Media tempatan Argentina melaporkan bahawa bekas jurulatih Boca Juniors, Carlos Bianchi disebut-sebut sebagai calon popular menggantikan tempat Maradona itu. Nama lain yang turut dikaitkan sebagai calon jurulatih baru Argentina termasuklah jurulatih Estudiantes, Alex Sabella, bekas jurulatih Independiente, Americo Gallego, bekas jurulatih Argentina, Marcelo Bielsa serta bekas penyerang River Plate, Inter Milan dan Argentina, Ramon Diaz sementara jurulatih skuad remaja Argentian, Sergio Batista bakal menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan. – Sumber Reuters

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads