19 July 2010

Daging kerbau India bukan daging kelas ketiga


Putrajaya, 19 Julai-Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini menafikan daging kerbau yang diimport dari India adalah daging kelas ketiga sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

Ketua Pengarah JPV Datuk Dr Aziz Jamaluddin berkata daging itu berasal daripada kerbau yang menghasilkan susu dan bukan kerbau tua yang diguna untuk mengerjakan sawah.

"Terdapat 11 loji penyembelihan kerbau di India perlu diaudit dan disemak secara bersama oleh JPV, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Kesihatan pada setiap tahun untuk memastikan kualitinya terjamin," katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang mendakwa daging kerbau dari India itu adalah daging kelas ketiga yang dihasilkan daripada kerbau tua.

Katanya daging kerbau yang diimport dari India itu juga digunakan secara meluas untuk menghasilkan makanan di negara ini termasuk stik, sate, nasi kandar, serunding, burger, daging salai dan sosej, selain menjadi pilihan beberapa pengeluar makanan berasaskan daging yang popular.

Beliau berkata daging kerbau itu juga telah menjadi sumber protein yang murah untuk rakyat negara ini sejak 1982 dan harganya jauh lebih murah berbanding daging premium yang diimport dari Australia, New Zealand dan negara-negara Amerika Latin yang dijual antara RM120 hingga RM150 sekilogram.

Selain Malaysia yang merupakan pengimport penting, daging kerbau India turut dieksport ke Timur Tengah, Rusia dan Afrika, katanya.

Dalam pada itu, Aziz berkata kerajaan sedang berusaha untuk mencapai tahap sara diri sebanyak 40 peratus bagi daging lembu dan kerbau menjelang tahun 2015.

Ia dilakukan menerusi projek berimpak besar dan pembangunan 71 buah ladang satelit di seluruh negara dengan menggunakan anak lembu dari Australia dan Thailand, kata beliau.

"Felda Global Ventures Sdn Bhd melalui syarikat Felda IffcoAllana Malaysia Sdn Bhd juga melaksanakan projek ternakan lembu bersepadu di ladang milik Felda," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads