PUTRAJAYA - Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013 yang dijadualkan pada 30 dan 31 Ogos, 13 hingga 15 September, dan 2 Oktober ini dijangka menarik tiga juta pengunjung.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, sebanyak enam negara menyertai pertandingan kali ini iaitu China, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Perancis dan Malaysia. Pertandingan ini berlainan daripada pertunjukan bunga api biasa kerana setiap pertunjukan diiringi muzik pilihan negara peserta, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, dianggarkan seramai 500,000 pengunjung akan datang ke Pusat Maritim, Presint 5, Putrajaya pada setiap tarikh pertandingan diadakan.
Selain persembahan bunga api, PPj selaku penganjur bersama Duago Corp Sdn. Bhd. juga akan mengadakan acara sampingan seperti konsert mini, bazar dan jualan makanan jalanan.
Menurut Aseh, bagi kemudahan pengunjung PPj menyediakan kawasan letak kereta dan perkhidmatan bas berhampiran tapak pertandingan.
Sementara itu, beliau berkata bermula 30 Ogos ini nama Pusat Maritim akan ditukar kepada Marina Putrajaya.
"Pertukaran ini bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai yang mengaitkan pusat ini dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan sebagainya,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment