10 December 2010

Piala Emas Raja-Raja, Kelantan lawan Kedah


KOTA BHARU – Skuad bola sepak Kelantan menjanjikan aksi permainan menarik semasa menghadapi Kedah dalam perlawanan akhir Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam esok.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, pertemuan dengan Kedah, mereka sememangnya tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai kehebatan pasukan masing-masing apatah lagi kedua-duanya pernah merasai nikmat berada di pentas final.

“Pertemuan dengan Kedah merupakan perlawanan yang menarik apabila kita muncul juara pada 2008 ketika menewaskan Pulau Pinang 4-0, sementara Kedah dikecewakan Perlis 0-2 pada edisi musim lalu dan kedua-dua pasukan memasang impian bergelar juara pada edisi kali ini.

“Apa yang dapat saya simpulkan, kita akan menurunkan barisan terkuat bagi mengekang asakan pemain Kedah, lebih melegakan, semua pemain bebas daripada digantung perlawanan dan juga masalah kecederaan. Pasukan yang meminimumkan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang terhidang bakal bergelar juara dalam perlawanan ini,” katanya sambil menambah, Khairan Eruan Razali yang sebelum ini mengalami kecederaan juga telah kembali menjalani latihan, ketika dihubungi semalam.

Zahasmi berkata, keadaan cuaca yang tidak menentukan di Kota Bharu ketika ini mungkin merencatkan persiapan pasukannya, namun beliau percaya itu bukan alasan tidak boleh menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi naib juara edisi musim lalu itu.

“Persiapan kita dalam tempoh dua tiga hari ini sedikit tergendala tetapi saya percaya kita mempunyai formula khusus mengekang asakan pemain Kedah, dari segi mental dan fizikal, pemain sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan malam esok,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya kemampuan lawan, Zahasmi merendah diri sambil mengakui Kedah yang mengulangi kejayaan mara ke pentas final buat kali kedua membuktikan pasukan tersebut harus dihormati.

“Kedah bukan calang-calang pasukan, sudah pasti jurulatih mereka, Mohamad Ramlee mempunyai resipi tersendiri bagi menghadapi Kelantan malam esok, saya fikir ini bukan perlawanan yang mudah bagi kita.

“Mereka diperkuatkan pemain Liga Super seperti Wan Mohd Ashraf Wan Ali, Shafizan Hashim, dan Shafiq Jamal, yang pasti pengaruhi pemain Kedah untuk bermain dengan baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads