KUANTAN, 4 Dis - Dua sepupu maut manakala seorang yang lain cedera parah selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dinaiki satu keluarga di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating, dekat sini. Azlan Ahmad, 33, dari Taman Kemajuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan Bernard Arasad, 34, yang berasal dari Kampung Peringatan Petagas, Penampang, Sabah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Datu Kumpasan Ali, 30-an, yang merupakan pemandu kereta Kancil terbabit mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.
Sementara itu pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford tersebut, Ahmad Amri Mahmad Razali, 33, dan lima ahli keluarganya yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 8 pagi tadi itu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata ketika kejadian, kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari Kuantan ke sebuah asrama kilang di Kemaman, Terengganu itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya. "Bagaimanapun kereta berkenaan gagal untuk memotong dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan," katanya.. Beliau berkata akibat pertembungan itu kereta Perodua Kancil berkenaan remuk teruk dan dua penumpang kereta itu mati di tempat kejadian.
Sementara itu, Ahmad Amri yang merupakan pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut berkata berkata ketika kejadian, dia bersama isteri, Rohaida Awang, 33, dan empat anak mereka dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke kampung mereka di Pekan. Katanya dia menyaksikan kereta Perodua Kancil berkenaan yang datang dari arah hadapan yang secara tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan dia tidak sempat mengelak kenderaannya itu kerana jarak sudah terlalu dekat. "Akibat perlanggaran, kenderaan saya berpusing sebelum terbabas ke tepi jalan namun saya bersyukur kerana isteri dan empat anak berusia lingkungan satu hingga enam tahun hanya cedera ringan," katanya.
No comments:
Post a Comment