29 October 2010

Portal berita dedah detik akhir wartawan


Pemberita ada di rumah jurukunci Merapi

JAKARTA: Portal berita Vivanews.com, yang wartawan kanannya mati terkena abu panas di kaki Gunung Merapi malam kelmarin, menceritakan saat-saat akhir perbualan di antara editor beritanya dengan mangsa.
Pada 5.30 petang Selasa lalu, editor portal itu, Encik Nezar Patria, segera menghubungi wartawan kanan mereka, Encik Yuniawan Wahyu Nugroho, yang berada di Yogyakarta semasa letupan gunung berapi itu berlaku.

Wartawan yang dikenali dengan panggilan 'Wawan' itu sudah mengatur janji untuk mewawancara Mbah Maridjan, yang lebih dikenali sebagai jurukunci Gunung Merapi.

Mbah Maridjan, 83 tahun, sebelum ini berkeras tidak mahu meninggalkan gunung itu walaupun pihak berkuasa mengarahkan penduduk sekitar 10 kilometer supaya berpindah.

'Hello, Wan, posisi anda di mana,' tanya Encik Nezar melalui telefon.

'Ini... di rumah Mbah Maridjan,' kata Wawan.

'Sudah ada letusan. Apa tidak berbahaya?' tanya Encik Nezar.

'Di sini masih ada banyak orang. Saya menunggu Mbah Maridjan yang lagi solat,' jawab Wawan.

Lantas, Encik Nezar menekankan: 'Kalau berbahaya dan jika kedengaran siren, segera turun. Jangan bertahan di situ untuk wawancara.'

Wawan menjawab: 'Iya'.

Namun, perbincangan terputus kerana isyarat telefon lemah.

Wawan kemudian mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 5.49 petang (waktu tempatan) dengan mesej yang sama iaitu beliau masih menunggu di rumah Mbah Maridjan.

Setelah itu tidak ada hubungan lagi dengan Wawan.

Sejam kemudian, bilik berita dikejutkan dengan panggilan telefon seorang ahli keluarga Wawan, Cik Rini Soegiharto, yang mengatakan Wawan dalam keadaan berbahaya.

Sidang pengarang Vivanews turut cemas dengan sejumlah rakan cuba mencari maklumat menerusi pelbagai pihak, termasuk membuat laporan kepada pihak polis akan kehilangannya.

Pada 6.29 petang, Cik Rini menerima panggilan daripada Wawan mengatakan beliau masih lagi di rumah Mbah Maridjan.

Namun, di hujung telefon, Cik Rini terdengar bunyi siren kecemasan dan orang menjerit: 'Ada api, ada api, panas, panas.'

Perbualan kemudian terputus.

Di kaca televisyen, beliau melihat awan panas sudah membumbung sedangkan Wawan masih di rumah Mbah Maridjan yang berjarak hanya empat kilometer dari puncak gunung tersebut.

Pada 10.42 malam, Vivanews mendapat panggilan daripada Encik Iman Surahman, seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan.

Pasukan penyelamat menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah Mbah Maridjan, yang melecur akibat suhu tinggi awan panas dan debu.

Salah satu jenazah itu dikenalpasti sebagai Wawan berdasarkan dokumen pengenalan diri di mayat itu. -- Agensi.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads