24 October 2010

PEMBUNUH BERANTAI KEPINGIN ZURIAT


DI ambang menanti hukuman mati, Very Idham Henyansyah atau lebih dikenali sebagai Ryan, menimbulkan satu lagi kejutan.

Ryan, 32 tahun, yang dikenali dengan pelbagai julukan termasuk 'The Butcher of Jombang' (Pembunuh Kejam Jombang) dan 'The Smiling Serial Killer' (Pembunuh Berantai Kaki Senyum), mendedahkan dia akan bernikah.
Pilihannya ialah Ely Winarya, 27 tahun, pengedar dadah berketurunan Cina yang baru sahaja dibebaskan dari Rumah Tahanan Pondok Bambu, Jakarta Timur, bulan lalu.

Mereka bertemu apabila kededuanya ditahan di Pusat Tahanan Polis Narkotik Jakarta, tahun lalu.

Namun, selepas berita pernikahan mereka yang dijadualkan berlangsung di Lembaga Pemasyarakatan Kelas, Rumah Tahanan Kesambi, Cirebon (tempat Ryan dipenjara) pada 18 Oktober lalu, digembar-gemburkan, timbul pula berita ia dibatalkan di saat-saat akhir.

Ryan memberitahu wartawan Indonesia yang berpusu-pusu bertunggu tangga di luar penjara, pernikahan itu dibatalkan kerana Ely gerun melihat kelompok wartawan yang membanjiri pejabat penjara itu.

'Tadi, Ely sudah mahu jalan ke sini, tetapi tiba-tiba dia patah balik kerana banyak wartawan.

'Dia enggak mahu acara pernikahan kami diketahui wartawan. Mahu senyap-senyap sahaja,' ujar Ryan kepada akhbar Kompas.

Ini adalah kali kedua pernikahan mereka dibatalkan. Pasangan itu, kata Ryan, mulanya merancang untuk diijabkabulkan pada Disember tahun lalu.

'Tapi, kami berantakan... langsung tidak diteruskan.

'Sekarang ini pula, sudah baik-baik semula. Ely, malahan, temui ibu saya selepas dia dibebaskan dan meminang saya!' katanya dengan nada ceria.

SUDAH BERALIH ARAH?

Apa yang mengejutkan ialah Ryan, yang ditangkap pada 2008 dan kemudian didapati bersalah membunuh secara kejam 11 orang, sebelum ini terang-terangan mengaku dirinya seorang lelaki gay.

Apakah dia sudah berubah?

Katanya, yang sedang menanti kemaafan dari Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, selepas Mahkamah Agung menolak permohonannya untuk dibebaskan dari hukaman mati:

'Keadaan kesihatan saya sebenarnya agak memudaratkan. Saya ada masalah hati dan selalu muntah-muntah sahaja. Berat badan saya turun banyak... 20 kilogram. Tetapi, saya solat, minta kepada Allah agar dimaafkan dosa- dosa saya.

'Saya merancang untuk bernikah dengan Eny walaupun saya tahu masa saya tidak lama lagi di dunia ini, kerana saya yakin perkahwinan itu akan melahirkan zuriat. Cuma payah ya... saya masih di balik penjara.

'Saya tahu saya gay. Justeru, saya tidak tahu kalau saya bisa buat Eny bahagia. Tetapi, ibu saya benar-benar mahu lihat saya bernikah dengan seorang wanita.

'Eny pula kata, dia cintakan saya.'

Dalam satu wawancara berasingan dengan akhbar Sinar Indonesia Baru pula, Ryan sempat berseloroh apabila ditanyakan cantik atau tidak Eny, anak usahawan yang terpikat kepadanya.

Ryan yang dikenali dengan sikap ramahnya dengan wartawan, selamba menjawab:

'Saya enggak bisa bezakan kecantikan perempuan. Kalau disuruh bezakan cowok ganteng dengan yang tidak, saya bisa!

'Cukup sekadar saya katakan, gadis ini keturunan Cina. Orang tuanya di Singapura, tetapi mereka enggak setuju Eny kahwin sama dengan saya.

'Ya... mana ada orang tua yang mahu anak gadisnya kahwin sama saya? Cuma Eny ni nekad. Kerana sering bertemu, dia langsung suka sama saya. Tidak dipedulikan, saya bakal dihukum mati. Katanya, dia yakin saya bisa berubah.'

PERMINTAAN TERAKHIR: DERMA ORGAN

Nada suaranya kemudian bertukar pilu apabila meluahkan harapan terakhirnya sebelum menutup mata, ditembak mati.

'Saya kepingin... kalau mati nanti, mahu sumbangkan organ tubuh saya. Biar saya sekurang- kurangnya merasa berguna,' jelasnya.

Dia telah merujukkan niatnya itu kepada pembimbing rohaninya, Ustaz Arifin.

Bagaimanapun, ustaz berkenaan belum mengizinkannya.

Ditanya apa yang mendorongnya berbuat demikian, Ryan berkata derma itu diharap akan memberi manfaat kepada orang lain.

'Saya menyesal banget dengan semua yang saya sudah perlakukan, bukan dengan orang lain, tetapi dengan ibu saya.

'Saya mahu menebus kesalahan saya kepada ibu. Rasanya, sepanjang hidup ini, saya enggak bisa membahagiakannya,' tambahnya, mengesat air mata yang bergenangan di kelopak matanya.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads