29 July 2010

Argentina gugurkan Maradona


BUENOS AIRES – Karier Diego Maradona sebagai jurulatih Argentina berakhir awal pagi semalam.Kontraknya tidak disambung dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) membuat keputusan mengejut untuk tidak memperbaharuinya.
Masa depan Maradona sememangnya dilihat terumbang-ambing selepas Argentina dibelasah 4-0 oleh Jerman pada pusingan suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, kurang dua tahun selepas dia menggalas tugas tersebut.

“Kami tidak memperbaharui kontrak barisan kejurulatihan di bawah Maradona dalam skuad kebangsaan. Kami rasa tiada keperluan untuk berbuat demikian,” kata Presiden AFA, Julio Grondona.

Jurucakap AFA turut mendedahkan bahawa terdapat perbezaan pendapat di antara mereka dan juga Maradona yang pernah menjadi kapten skuad negara itu ketika menjulang Piala Dunia 1986.

Pada Piala Dunia 2010, Argentina tersingkir awal daripada jangkaan tetapi Maradona tetap diberi sambutan umpama wira apabila skuad negara itu kembali dari Afrika Selatan dan Presiden Argentina, Cristina Fernandez turut memintanya kekal sebagai jurulatih.

Pada Ahad lalu, Maradona memberitahu bahawa dia akan terus berkhidmat sekiranya barisan kejurulatihan yang dipilihnya sebelum ini turut dikekalkan AFA.

Dengan ketiadaan Maradona, selepas ini Argentina perlu mencari jurulatih baru bagi mengendalikan pasukan itu ke saingan Copa Amerika 2011.

Media tempatan Argentina melaporkan bahawa bekas jurulatih Boca Juniors, Carlos Bianchi disebut-sebut sebagai calon popular menggantikan tempat Maradona itu. Nama lain yang turut dikaitkan sebagai calon jurulatih baru Argentina termasuklah jurulatih Estudiantes, Alex Sabella, bekas jurulatih Independiente, Americo Gallego, bekas jurulatih Argentina, Marcelo Bielsa serta bekas penyerang River Plate, Inter Milan dan Argentina, Ramon Diaz sementara jurulatih skuad remaja Argentian, Sergio Batista bakal menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan. – Sumber Reuters

Peniaga ikan rentung kereta dirempuh lori










KEADAAN kereta Mohd. Zahazeri yang hangus dalam kemalangan di Kampung Pak Mayong, Tok Bali, Pasir Puteh semalam.

PASIR PUTEH - Seorang peniaga ikan rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di Kampung Pak Mayong, Tok Bali di sini semalam.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, mangsa, Mohd. Zahazeri Mat Yaman, 28, yang memandu berseorangan rentung selepas terperangkap dalam kereta yang terbakar pada pukul 5 pagi.

Menurut beliau, kemalangan itu berlaku ketika mangsa yang tinggal di Kampung Kuala Semarak di sini dalam perjalanan mengambil ikan di Kampung Mayong untuk dijual di Pasar Basah Tok Bali.

Katanya, seramai sembilan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

"Anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengumpil pintu kereta yang hangus itu untuk mengeluarkan mayat mangsa yang rentung," katanya di sini semalam.

Mohd. Zahazeri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa, Wan Manziana Wan Mamat, 26, pengsan apabila melihat mayat suaminya yang rentung dikeluarkan dari kereta tersebut.

Sumber akhbar Kosmo!

Pelaburan auta syarikat MLM


sebahagian daripada 18 buah kereta mewah yang dirampas daripada 59 individu di Subang Jaya semalam.

KUALA LUMPUR - Keghairahan golongan muda yang ingin mendapatkan keuntungan cara mudah melalui satu skim jualan langsung (MLM) dengan cara mencari orang bawahan yang mampu melabur sehingga RM41,000 musnah apabila mendapati mereka sebenarnya ditipu.
Modus operandi sindiket tersebut ialah dengan mengedarkan risalah di sekitar kawasan perniagaan dan perumahan di Subang Jaya. Risalah tersebut mengandungi kata-kata manis untuk mengecap kekayaan dengan usaha yang minimum.

Anggota-anggota sindiket itu pula akan menggunakan kereta-kereta mewah seperti BMW pelbagai siri, Mercedes Benz, Toyota Aplhard dan Nissan Fairlady setiap kali hadir menyampaikan ceramah di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Difahamkan, kesemua kereta itu didaftarkan dengan digit nombor yang sama bagi meyakinkan orang ramai.

Mangsa-mangsa dikehendaki membayar antara RM10,000 dan RM41,000 mengikut pakej yang ditetapkan dan perlu mencari orang bawahan bagi melayakkan mereka menerima imbuhan iaitu sebanyak RM2,500 dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, kegiatan penipuan sindiket yang beroperasi di Subang Jaya sejak dua tahun lalu itu terbongkar apabila seramai 59 ahli sindiket termasuk sembilan wanita ditahan selepas polis menerima tiga laporan daripada mangsanya yang terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Serbuan pada pukul 10 malam kelmarin di dua buah restoran di kawasan Mentari Court Subang Jaya itu dilakukan ketika ahli sindiket berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an itu sedang leka mengadakan ceramah.

Difahamkan, ketika serbuan terdapat lebih 30 pengunjung berada di situ.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa (gambar) berkata, selain pulangan wang, sindiket itu juga menawarkan hadiah berupa barangan serta percutian.

Katanya, mangsa yang gelap mata akan mudah terpedaya dengan imbuhan serta hadiah yang ditawarkan dan terus membuat pinjaman untuk melabur ke dalam skim tersebut.

"Sindiket juga membantu menyediakan bantuan kewangan bagi pelabur yang berminat. Mereka kemudian akan mengarahkan mangsa supaya mencari orang bawahan bagi merancakkan perjalanan wang tersebut.

"Itu hanyalah taktik sindiket di mana mereka akan menggunakan wang yang dicari daripada orang bawahan untuk dibayar kepada pelabur berkenaan dan begitulah seterusnya. Skim tersebut sebenarnya tidak membuat sebarang keuntungan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rohaimi berkata, tiga kakitangan kerajaan yang membuat laporan polis tersebut mendakwa mereka ditipu sindiket berkenaan apabila langsung tidak menerima pulangan wang yang dijanjikan.

sumber Kosmo!

28 July 2010

7 pemuda di tahan menyamar pelajar

gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tujuh pemuda ditahan polis selepas menyamar pelajar di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati di sini, semalam. Semuanya yang berumur 20 tahun di tahan dalam berpakaian seragam sekolah termasuk seorang berbaju kurung ditahan ketika sedang mengikuti pembelajaran dalam kelas.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan semua Mereka masuk ke sekolah itu kira-kira jam 7.30 pagi dan menyertai perhimpunan pagi sekolah. Selepas tamat perhimpunan, ketujuh-tujuh bekas pelajar itu masuk ke kelas lama masing-masing iaitu kelas mereka ketika tingkatan lima sesi 2007.

Kehadiran ‘pelajar baru’ di dalam kelas itu disedari guru yang kemudian menghubungi polis. “Hasil soal siasat, kami mendapati punca mereka menyamar pelajar sekolah itu atas alasan ingin kembali semula ke alam persekolahan. Mereka duduk dalam keadaan sopan tanpa sedikit pun mengganggu sesi pembelajaran,” kata Abdul Jalil.

kes itu disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan ketujuh-tujuh lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

TheRedWarriorsFM (Trw.FM) tercatat dalam Malaysia Book of Records


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi persatuan bola sepak pertama di negara ini mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai radio online rasminya, TheRedWarriorsFM (Trw.FM) selain mengeluarkan produk perniagaan jenama Warriors.

Sijil rekod tersebut diserahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan disaksikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Leona Paul.

Majlis penyerahan sijil itu diadakan sempena perasmian Karnival The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Trw.FM dilancarkan oleh Ahmad Shabery pada 21 Mei lalu manakala produk perniagaan jenama Warriors ialah jersi, seluar, jam, baju-T, topi, pelekat kenderaan dan beg.

Selain itu, KAFA juga membuka kafe The Red Warriors Stations yang terletak di bangunan Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu.

Ahmad Shabery pada sidang akhbar selepas majlis tersebut berkata, beliau kagum dengan kemajuan KAFA dalam usaha mengangkat imej bola sepak tanah air setaraf kelab-kelab bola sepak tersohor luar negara.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha persatuan itu untuk memastikan bola sepak menjadi sebuah industri perniagaan yang menguntungkan dan mampu menjana pendapatan kepada pasukan.

Tambahnya, keupayaan KAFA dalam menjadikan bola sepak sebagai satu perniagaan memberikan peluang kepada mereka untuk berdikari.

“Di negara maju, konsep ini sudah lama diamalkan apabila pasukan bola sepak menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, inisiatif KAFA merupakan contoh yang perlu diteladani oleh persatuan bola sepak lain di negara ini.

“Ini cara baru dan gelombang baru yang bermula di Kota Bharu. Idea ini memberi konsep baru dalam pembangunan sukan bola sepak negara,” ujarnya.

-Sumber Kosmo

27 July 2010

Pengambilan Ubat Melalui SMS Di Hospital Dan Klinik Kerajaan


PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan mungkin akan memperluaskan kemudahan pengambilan ubat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu 'SMS Take N Go' di kesemua hospital dan klinik kerajaan seluruh negara tidak lama lagi.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, ini berikutan sambutan menggalakkan terhadap kemudahan itu di Hospital Putrajaya, 14 buah klinik kesihatan di Wilayah Persekutuan dan 62 Klinik Kesihatan di Kedah.

Beliau berkata bagi Wilayah Persekutuan, sejak 12 Julai lalu seramai 192 pelanggan telah menggunakannya manakala di Kedah pula sejumlah 202 pelanggan memanfaatkannya sejak 27 April lalu.

"Jika sambutan orang ramai terus meningkat, inisiatif 'SMS Take N Go' itu akan diperluaskan ke hospital dan klinik kesihatan yang lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Sektor Awam di sini.

Mohd Sidek berkata inisiatif 'SMS Take N Go' itu adalah gabungan sistem beratur dan SMS bagi pengambilan ubat yang mulanya dilaksanakan oleh Hospital Putrajaya.

"Kemudahan itu hanya untuk mengambil ubat ulangan dan pesakit juga boleh membuat tempahan melalui SMS. Selain itu, ia melibatkan panggilan telefon atau e-mel serta boleh datang ke hospital atau klinik kerajaan pada kemudian hari untuk mengambil ubat," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya jabatan dan agensi kerajaan mencari jalan untuk membolehkan segala urusan dibuat secara online sepenuhnya dan bukan hanya setakat muat turun borang yang diperlukan tetapi juga untuk mengisi serta menghantarnya secara online lain.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Mohd Sidek berkata kemudahan e-Filing, Semakan Keputusan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam, e-Declare Kastam Diraja dan Status Pendaftaran Pekerjaan adalah perkhidmatan kerajaan secara online yang mencatatkan penggunaan tertinggi bagi April, Mei dan Jun tahun ini.

Katanya, bagi tempoh itu, e-Filing mencatatkan sebanyak 1.2 juta transaksi manakala Semakan Keputusan Kemasukan ke IPTA adalah 12.2 juta transaksi.

"Selain itu, e-Declare Kastam Diraja adalah 776,275 transaksi dan Status Pendaftaran Pekerjaan pula mencatatkan 537,048 transaksi," katanya.

-- BERNAMA

524 Termasuk 175 Laman Web Lucah Disekat Dari Januari Hingga Julai


KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 524 laman web yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk 175 laman web lucah, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata tindakan menyekat laman-laman web tersebut dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menawarkan kandungan yang berunsur lucah, ganas, jelik, palsu dan mengancam.

"Tindakan undang-undang di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil terhadap individu yang menyalahgunakan internet untuk kegunaan menyebarkan maklumat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

"Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya di Dewan Negara, di sini.

Beliau berkata penyedia perkhidmatan internet yang memegang lesen di bawah akta yang sama juga dikehendaki membantu SKMM dan pihak berkuasa berkaitan bagi mencegah sebarang kelakukan yang salah menerusi internet mengikut mana-mana undang-undang negara ini.

Mereka juga dikehendaki menyekat mana-mana laman web yang terlibat memberi kandungan berunsur lucah dan ganas di negara ini.

-- BERNAMA

Nuffnag ads