KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kerajaan menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 20 jenis barangan harga terkawal berkuat kuasa 23 Ogos hingga 6 September ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk dua barangan baru iaitu bawang besar import dan bawang putih import yang mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan.
"Tahun lepas hanya 18 jenis barangan yang kita kawal harganya, tapi tahun ini semua jenis bawang kita kawal harga kerana sebelum ini barangan ini menghadapi kenaikan harga.
"Kita takut peniaga akan menaikkan harga bawang kerana permintaan tinggi pada musim perayaan ini, jadi kita tetapkan harga maksimum bawang bagi bawang besar import adalah RM3 sekilogram dan bawang putih import (China) RM6 setiap kilo,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beberapa barangan runcit lain yang sebelum ini telah disenaraikan di bawah skim itu seperti ayam hidup, ayam standard, ayam super dan daging lembu tempatan masih ditetapkan harga maksimum yang sama seperti tahun lepas. – Bernama
No comments:
Post a Comment