08 February 2011

500 penumpang bas tambahan kecewa


PASIR PUTEH – Kecewa dan geram! Itulah gambaran perasaan sebahagian 500 penumpang bas tambahan di negeri ini yang terkandas apabila tidak dapat menaiki bas persiaran yang disediakan untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, malam semalam.
Difahamkan, bas persiaran itu tidak mendapat permit pengangkutan dari Lembaga Pengangkutan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perhentian bas di Pasir Puteh di sini, mendapati semua penumpang yang menaiki bas tambahan terkandas hampir dua jam dan sebahagian mereka diberikan kembali wang tiket berjumlah RM43.

Kebanyakan mereka kakitangan kerajaan, swasta dan penuntut institusi pengajian tinggi dan swasta yang akan memulakan pengajian hari ini.

Seorang pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd Rizwan Abdullah, 20, berkata, walaupun mendapat kembali wang tambang tetapi ia tidak banyak membantu beliau dan rakan-rakannya yang lain.

“Sekarang ini kami terpaksalah mencari jalan lain untuk ke Kuala Lumpur, lagipun semua tiket bas dan pengangkutan lain sudah habis dijual, terpaksalah kami bersabar,” katanya yang berasal dari Kampung Jeram, di sini,.

Menurutnya, masalah tersebut tidak berlaku jika bas ekspres disediakan dalam bilangan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna di negeri ini.

Sementara itu, penuntut jurusan Animasi Multi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM), Azlan Mohamad, 26, berkata, beliau terpaksa membatalkan perjalanannya ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan diri sebagai pelatih amali di Syarikat Digital Durian kerana masalah yang sama, walau pun tiket perjalanan dibelinya sejak sebulan lalu.

“Saya kecewa dengan kejadian ini kerana ia menunjukkan perkhidmatan yang kurang cekap di mana keperluan bas sebagai pengangkutan awam di negara ini masih belum mencukupi.

”Tidak perlu saling menyalahkan di antara satu sama lain sama ada penjual tiket, syarikat bas dan pihak LPKP berkaitan permit kerana yang menjadi mangsa pengurusan pihak terbabit ialah penumpang,’’ katanya.

Menurutnya yang berasal dari Kampung Bukit Yong berkata, mereka hanya dimaklumkan pihak tertentu pada jam 9 malam semalam, selepas lebih setengah jam menunggu di sini.

Dalam pada itu, seorang pemandu bas yang enggan dikenali berkata, pada malam tersebut sebanyak 15 bas persiaran disediakan bagi mengangkut penumpang yang melibatkan lapan bas di Kota Bharu, Tanah Merah (5) dan masing-masing sebuah di Pasir Puteh serta Jerteh.

Beliau berkata, sebelum ini mereka tidak dimaklumkan mengenai larangan menggunakan bas persiaran sebagai bas tambahan pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini.

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads