13 February 2011

Wakil Rakyat Yang Meninggal Dunia Selepas PRU 12.


Sejak pilihan raya umum 2008, 12 wakil rakyat telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit termasuk serangan jantung, kanser, angin ahmar dan jangkitan paru-paru.
Daripada baki itu, tiga pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas wakil rakyatnya mengosongkan kerusi masing-masing - iaitu di paerlimen Permatang Pauh dan kerusi negeri di Penanti dan Bukit Selambau.

Pilihan raya kecil pula terpaksa diadakan di parlimen Batu Sapi apabila penyandangnya, Datuk Edmund Chong terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya.

Jumlah pilihan raya kecil sepanjang tempoh tiga tahun lalu ini dianggap antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya negara.

ADUN Kerdau meninggal dunia


ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia petang semalam. Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia
di hospital berkenaan pada jam 7.15 petang.

"Datuk Zaharuddin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.

Sementara itu, ahli parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin yang terjatuh di dalam bilik air di rumahnya itu telah dibawa ke hospital dan dimasukkan di unit rawatan rapi, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan.

"Menurut pembantunya, Datuk Zaharuddin sebelum itu mengadu sakit perut dan pembantunya membawanya ke bilik air, tiba-tiba beliau terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.

Ismail berkata allahyarham ketika itu sedang bersiap-siap untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di Temerloh.

Dikebumikan Hari ini.

Beliau berkata jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram, Kerdau selepas Zohor.

Perkembangan itu menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Ia adalah pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya kecil ke-15 bagi mengisi kekosongan kerusi dewan undang negeri Merlimau, Melaka akibat kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kerana sakit jantung.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim. -AL-FATIHAH-

12 February 2011

Hosni Mubarak letak jawatan Presiden


KAHERAH - CAIRO (AP) - Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan semalam selepas beliau meninggalkan Istana Presiden di sini.

Pengumuman beliau meletakkan jawatan diumumkan oleh Naib Presiden, Omar Suleiman menerusi televisyen semalam.
"Dalam situasi yang sukar ini, Presiden Hosni Mubarak memutuskan untuk meninggalkan kedudukannya sebagai presiden," kata Omar.

Omar turut mengumumkan bahawa satu majlis ketenteraan akan mengendalikan hal ehwal negara tersebut.

Hosni telah memerintah Mesir hampir 30 tahun. Sebelum ini, stesen televisyen Al-Arabiya semalam melaporkan Hosni Mubarak, 82, dan semua ahli keluarganya telah meninggalkan Istana Presiden di sini ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Presiden.

Hosni dan keluarganya itu menuju ke pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah.

Menurut saksi-saksi, sekurang-kurangnya dua buah helikopter dilihat berlepas dari istana tersebut.

Stesen televisyen Al-Arabiya mengesahkan ketibaan keluarga tersebut di Sharm el-Sheikh.

Berita itu timbul ketika penunjuk perasaan bergerak ke istana tersebut yang terletak di kawasan pinggir bandar Kaherah, Heliopolis.

Pergerakan penunjuk perasaan itu dibuat pertama kali sejak tunjuk perasaan berlangsung pada 25 Januari lalu.

Penunjuk perasaan berkumpul di tepi kawat duri yang mengelilingi istana.

Sementara itu, kereta-kereta kebal dan tentera elit yang bertanggungjawab ke atas keselamatan presiden berkawal di sekeliling istana.

"Tentera Penjaga Republik mengawal Istana Presiden," jelas satu sumber pasukan bersenjata.

Hosni sering menghabiskan masa di Sharm el-Sheikh yang merupakan destinasi pelancongan terkenal di Laut Merah dan bertemu dengan tetamu-tetamunya di sana.

Kelmarin, para penunjuk perasaan di Dataran Tahrir kecewa dan marah terhadap Hosni kerana beliau masih enggan meletakkan jawatan.

- Agensi

11 February 2011

Pusat Darah Negara perlukan darah 'A' dan 'O'


Pusat Darah Negara (PDN) memerlukan antara 400 hingga 500 unit darah terutama jenis ”A” dan ”O” untuk menampung keperluan darah di hospital-hospital sekitar Lembah Klang.

PDN dalam kenyataannya hari ini, berkata, simpanan darah itu bagi menampung bekalan selepas musim perayaan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah pada Mac ini.
"Simpanan darah ini amat diperlukan bagi rawatan kes seperti pemindahan organ, pesakit Thalasemia, Haemofolia, denggi berdarah dan sebagainya,” kata kenyataan itu.

PDN juga akan beroperasi pada hari Maulidur Rasul yang jatuh pada Selasa ini, iaitu dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Operasi pada hari-hari bekerja pula dilanjutkan sehingga pukul 8 malam dari pukul 7.30 pagi, dan hari Sabtu dari 7.30 pagi hingga 4 petang.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi PDN di talian 03-2695 5557 atau 03-2695 5558.

08 February 2011

500 penumpang bas tambahan kecewa


PASIR PUTEH – Kecewa dan geram! Itulah gambaran perasaan sebahagian 500 penumpang bas tambahan di negeri ini yang terkandas apabila tidak dapat menaiki bas persiaran yang disediakan untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, malam semalam.
Difahamkan, bas persiaran itu tidak mendapat permit pengangkutan dari Lembaga Pengangkutan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perhentian bas di Pasir Puteh di sini, mendapati semua penumpang yang menaiki bas tambahan terkandas hampir dua jam dan sebahagian mereka diberikan kembali wang tiket berjumlah RM43.

Kebanyakan mereka kakitangan kerajaan, swasta dan penuntut institusi pengajian tinggi dan swasta yang akan memulakan pengajian hari ini.

Seorang pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd Rizwan Abdullah, 20, berkata, walaupun mendapat kembali wang tambang tetapi ia tidak banyak membantu beliau dan rakan-rakannya yang lain.

“Sekarang ini kami terpaksalah mencari jalan lain untuk ke Kuala Lumpur, lagipun semua tiket bas dan pengangkutan lain sudah habis dijual, terpaksalah kami bersabar,” katanya yang berasal dari Kampung Jeram, di sini,.

Menurutnya, masalah tersebut tidak berlaku jika bas ekspres disediakan dalam bilangan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna di negeri ini.

Sementara itu, penuntut jurusan Animasi Multi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM), Azlan Mohamad, 26, berkata, beliau terpaksa membatalkan perjalanannya ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan diri sebagai pelatih amali di Syarikat Digital Durian kerana masalah yang sama, walau pun tiket perjalanan dibelinya sejak sebulan lalu.

“Saya kecewa dengan kejadian ini kerana ia menunjukkan perkhidmatan yang kurang cekap di mana keperluan bas sebagai pengangkutan awam di negara ini masih belum mencukupi.

”Tidak perlu saling menyalahkan di antara satu sama lain sama ada penjual tiket, syarikat bas dan pihak LPKP berkaitan permit kerana yang menjadi mangsa pengurusan pihak terbabit ialah penumpang,’’ katanya.

Menurutnya yang berasal dari Kampung Bukit Yong berkata, mereka hanya dimaklumkan pihak tertentu pada jam 9 malam semalam, selepas lebih setengah jam menunggu di sini.

Dalam pada itu, seorang pemandu bas yang enggan dikenali berkata, pada malam tersebut sebanyak 15 bas persiaran disediakan bagi mengangkut penumpang yang melibatkan lapan bas di Kota Bharu, Tanah Merah (5) dan masing-masing sebuah di Pasir Puteh serta Jerteh.

Beliau berkata, sebelum ini mereka tidak dimaklumkan mengenai larangan menggunakan bas persiaran sebagai bas tambahan pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini.

CUEPACS mahu kerajaan wujudkan gaji minimum


CUEPACS hari ini meminta kerajaan menetapkan gaji minimum bagi penjawat awam supaya mereka dapat menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pada masa ini, gaji yang diterima penjawat awam terutamanya kumpulan sokongan, masih lagi berada di bawah garis kemiskinan RM720 sebulan.
"Contohnya bagi Gred 1 hingga Gred 16 dalam Kumpulan Sokongan II, permulaan gaji RM647, bawah paras gaji kemiskinan. Sekarang paling tidak mesti RM850 atau RM920, dan ini tak termasuk elaun, hanya gaji pokok.

"Kakitangan kerajaan sekarang ni, kalau ikut betul-betul gaji, memang belum sampai gaji minimum. Tapi disebabkan tambah elaun, maka sampai (paras gaji minimum)," katanya kepada pemberita selepas Bengkel Pemantapan Disiplin dan Integriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata gaji yang rendah boleh mengakibatkan produktiviti pekerja terjejas terutamanya apabila mereka melakukan pekerjaan sambilan.

Justeru, Omar berkata kerajaan perlu menyemak semula gaji minimum bagi penjawat awam dan menyelaraskannya dengan sektor swasta untuk mengelakkan perkara melibatkan disiplin pekerja itu berlarutan.

Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji ialah pada Mei 2007.

Omar juga berharap Makmal Gaji Minimum yang akan berlangsung esok dapat mencari rumusan terbaik masalah gaji yang rendah di kalangan penjawat awam.

Makmal tiga hari itu yang akan berlangsung pada 8, 11 dan 14 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dijangka dapat mencapai kata sepakat berhubung cadangan penetapan gaji minimum sebanyak RM900 sebulan.

Mengenai isu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan dimansuhkan Jun depan, Omar berkata bahagian kompetensi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi mencari bentuk penilaian baru yang sesuai berbanding konsep peperiksaan dalam PTK.

- Bernama

07 February 2011

Karnival Wow! Putrajaya 2011


PUTRAJAYA- Selepas kejayaan mencatat kehadiran penonton hampir 50,000 pada penganjuran kali pertama Karnival Wow! Putrajaya, ia sekali lagi dianjurkan tahun ini.

Karnival yang diadakan selama tiga hari berturut-turut itu akan bermula pada 11 Februari ini di Tapak Pasar Tani, Presint 2.

04 February 2011

"Kami tidur dalam ketakutan dengan bertemankan pisau dan penyembur lada di sisi"


kata dua sahabat baik yang merupakan penuntut tahun ketiga jurusan perubatan di Universiti Mansoura, Mesir.

Nazeera Mohd Nasir dan Nurul Shafiqah Mohd Tajudin, masing-masing 21 tahun ditemui Bernama selepas selamat tiba bersama tiga lagi pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 10 malam tadi dengan menaiki penerbangan EK0342 Emirates dari Kaherah.
Nazeera berkata mereka dibelenggu perasaan cemas dan takut ekoran kawasan rumah sewa mereka di Mansoura agak tegang terutamanya ketika malam dengan bunyi tembakan dan cermin rumah dipecahkan.

"Pada hari pertama, ketika itu kami sedang tidur dan tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman dari masjid berdekatan yang meminta semua penduduk agar menutup lampu dan mengunci semua pintu kerana banduan terlepas di penjara yang berdekatan dengan rumah sewa kami.

"Kami berkongsi katil setiap malam dan asyik berjaga kerana terdengar bunyi pecah rumah, pengumuman dari masjid jika ada rumah yang dipecah, kereta kebal lalu lalang selain bunyi tembakan hingga menyebabkan kami terpaksa tidur dengan pisau dan penyembur lada demi keselamatan," katanya.

Beliau berkata bimbang dengan keadaan tersebut, mereka nekad menyewa sebuah kenderaan tiga hari lalu untuk membawa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah namun terkandas di lapangan terbang tersebut setelah gagal menaiki kapal terbang meskipun telah membeli tiket.

"Keadaan di dalam terminal sangat tegang.. semua orang berebut-rebut untuk menaiki kapal terbang. Meskipun kita sudah beli tiket dahulu tetapi itu tidak menjamin kita boleh dapat naik penerbangan tersebut," katanya sambil menambah mereka menggunakan kad kredit untuk membeli tiket penerbangan lain.

Nurul Shafiqah pula berkata terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia yang terkandas di lapangan terbang itu sejak meletusnya tunjuk perasaan pada 29 Januari lalu dan keadaan menjadi lebih meruncing apabila mereka kehabisan wang selain bekalan makanan semakin berkurangan.

"Kami semua duduk dan tidur di atas lantai dengan beralaskan kotak. Malah ramai yang menangis ketakutan dan ada yang telah berada di lapangan terbang tersebut sejak empat hari lalu.

"Kami hanya makan sedikit roti dan air mineral dan terpaksa mencatu makanan kerana bekalan makanan semakin berkurangan selain tidak dapat membuat pengeluaran wang malah roti dan air dijual dengan harga yang sangat mahal," katanya.

Sementara itu, Nor Akhbariah Md Najas, 20, pelajar tahun pertama jurusan perubatan di Universiti Tanta, Mesir berkata keadaan di Tanta tidak seteruk Mansoura tetapi mereka tetap mematuhi perintah berkurung pada setiap malam.

"Banduan berada di mana-mana dan setiap hari ada sahaja rumah yang dipecah masuk serta barang dilarikan malah kereta kebal dan tentera juga ada di semua kawasan. Keadaan seperti itu sangat menakutkan," katanya yang turut terkandas di lapangan terbang itu selama dua hari.

Ibu kepada Nor Akhbariah, Jamaliah Mohd Salleh, 57, pula berkata ketika pertama kali mendengar insiden Mesir di televisyen, beliau berasa susah hati dan bimbang keselamatan anak kelimanya itu sebelum bertindak memasukkan wang ke dalam akaun Medic Mesir.

"Medic Mesir sangat bertanggungjawab, mereka membelikan tiket untuk Nor Akhbariah pulang ke tanah air. Kita cuma berharap pihak kedutaan juga dapat menghulurkan bantuan dengan lebih pantas kepada pelajar-pelajar yang masih terkandas di sana," katanya.

- Sumber berita Bernama

Nuffnag ads