02 September 2010

Sebahagian besar premis Pavillion tiada logo halal


Melihat pemeriksaan mengejut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap sebuah premis makanan di medan selera di pusat beli-belah Pavillion, beberapa pengusaha premis makanan lain bergegas menanggalkan logo dan sijil halal bukan diiktiraf jabatan itu dari dinding premis mereka.


Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim Amri Abdullah berkata tindakan itu dipercayai untuk mengelakkan premis berkenaan diambil tindakan kerana penggunaan logo dan sijil halal yang bukan dikeluarkan Jakim.

Beliau berkata keadaan menjadi kecoh seketika apabila Jakim disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memeriksa premis menjual ayam dan itik panggang kerana cara penyembelihan diragui.

"Apa yang menimbulkan tanda-tanya, semasa tinjauan awal, kami mendapati adanya logo halal yang dipamerkan. Tetapi ketika pemeriksaan berikutnya, logo berkenaan sudah tiada lagi dipamerkan," katanya kepada pemberita selepas selesai memeriksa premis-premis di medan selera berkenaan.

Pemeriksaan itu yang disertai tiga pegawai Jakim, tiga pegawai KPDNKK dan lima anggota PPIM dilakukan setelah menerima rungutan dan aduan orang ramai berkaitan penyalahgunaan sijil halal yang diguna pakai premis makanan berkenaan.

Dalam pemeriksaan semalam itu, pengusaha premis makanan itu berkata mereka memperoleh logo dan sijil halal melalui pihak pengurusan pusat beli-belah itu tanpa berurusan terus dengan pengeluar sijil halal terbabit.

Amri kemudiannya mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan medan selera itu untuk mendapat penjelasan berhubung penggunaan logo berkenaan.

"Pihak pengurusan itu menjelaskan kepada saya permohonan logo dan sijil halal daripada Jakim sudah dibuat untuk semua premis-premis makanan di medan makan menggunakan pihak ketiga.

"Oleh itu, saya menasihatkan mereka supaya berurusan terus dengan Jakim dan Jakim juga bersedia datang ke premis untuk memberi panduan tentang kaedah-kaedah yang betul untuk memastikan makanan disediakan secara halal," katanya.

Beliau berkata premis berkenaan belum pernah dipantau atau diaudit oleh pihak berkuasa berkaitan menyebabkan mereka kurang arif tentang isu penggunaan logo halal.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PPIM Datuk Nadzim Johan berkata tindakan terburu-buru peniaga menanggalkan logo dan sijil halal berkenaan menunjukkan mereka sedar penggunaan logo halal selain Jakim adalah salah tetapi mereka masih menggunakannya.

Katanya semasa tinjauan itu, PPIM mendapati sijil halal yang digunakan di premis-premis berkenaan dikeluarkan oleh syarikat Bahtera Lagenda Sdn Bhd melalui logo tertera IFRC. Syarikat berkenaan merupakan antara enam syarikat yang tidak diiktiraf akan kesahihan sijil halalnya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnag ads